Sebahagian dari pembeli rumah yang kecewa sedang melantik Jawatankuasa Bertindak |
Apa perasaan anda jika anda telah membuat pinjaman membeli rumah melalui pinjaman kerajaan, tetapi rumah pula terbengkalai sedangkan potongan pinjaman melalui gaji terus dipotong? Paling sedih sekali apabila mendapat tahu pemaju yang sepatutnya menyiapkan rumah tersebut dikatakan tidak mempunyai lesen?
Lazimnya, pinjaman perumahan melalui kerajaan akan dijamin oleh kerajaan. Ini adalah kerana jika mengikut prosedurnya pihak kerajaan akan membayar kepada pemaju mengikut peratus rumah yang disiapkan. Lazimnya juga, apabila rumah disiapkan dan setelah mendapat Lesen Menduduki (CF), pemilik rumah yang membuat pinjaman tersebut akan dipanggil untuk penyerahan kunci rumah, kemudiannya barulah potongan gaji dibuat.
Ini tidak berlaku kepada lebih 25 orang pembeli rumah yang majoritinya adalah kakitangan kerajaan dan warga tentera yang membeli rumah melalui pemaju SL Work Devoleptment di Kelantan. Diberitakan rumah mereka terbengkalai dan gaji masih terus dipotong. Walaupun berlaku di Kelantan, tetapi ini bukan kuasa Kerajaan Negeri kerana pinjaman dibuat melalui Kerajaan Pusat. Bagaimana Pemaju boleh diberikan kebenaran untuk menjual rumah tetapi gagal menyiapkannya?
Adakah kerajaan telah membuat pembayaran 100 % kepada pemaju di dalam keadaan rumah masih terbengkalai? Apakah tanggungjawab kerajaan terhadap mangsa-mangsa yang terasa tertipu, apatah lagi gaji mereka terus dipotong bertahun lamanya?
Tidak tahan menanggung perasaan kecewa, pada 06 Sept baru-baru ini, sekumpulan 25 orang pembeli rumah tersebut telah melantik beberapa Ahli Jawatankuasa Bertindak di kalangan mereka untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Satu memorandum telah diserahkan kepada PM sewaktu beliau berkunjung ke Machang di dalam satu Majlis Jamuan Hari Raya baru-baru ini. Kini, mereka menanti apakah komitmen kerajaan di dalam menghadapi Pemaju yang tidak bertanggungjawab seperti ini.
Persoalan kita, bagaimanakah perkara ini boleh terjadi di dalam urusan Pemaju dengan pihak kerajaan sendiri? Jika benar wang telah dibayar penuh kepada Pemaju, adakah ini mengikut prosedur sedangkan rumah yang dibina terbengkalai? Mengapakah pemotongan gaji dibuat sedangkan mereka tahu rumah tersebut belum siap sepenuhnya? Di fahamkan 80 % dari pembeli rumah tersebut adalah di kalangan warga tentera. Adakah begini layanan yang harus diberi kepada perajurit-perajurit kita?
Kepada mangsa-mangsa lain yang terlibat di dalam kes di atas, anda diminta menghubungi kami melalui No Telefon 013-9410309 dan sertakan nama dan alamat anda atau email untuk memudahkan kami berusaha membantu anda.
No comments:
Post a Comment