JEMPUT JOIN KAMI

JEMPUT JOIN KAMI
Klik Logo Di Atas

Followers

RADIO ONLINE KOBATFM

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

Klik tunein untuk dengar melalui peranti mudahalih.

Sunday 30 September 2012

BAJET PILIH KASIH - BEKAS KEMAS DAPAT RM 3 RIBU, BEKAS TENTERA HANYA RM 1 RIBU

Pada petang Jumaat (28 Sept 2012) baru-baru ini,Najib selaku PM dan Menteri Kewangan telah mengumumkan Bajet 2013.  "Bajet Gula-Gula Pilihanraya" seperti yang digelar oleh Pakatan Rakyat jelas menunjukkan Najib begitu bimbang dengan kebangkitan rakyat untuk menukar kerajaan pada PRU ke 13 akan datang.

KOBAT ingin mengingatkan kepada semua bekas tentera terutamanya kepada mereka yang tidak berpencen tentang `kebaikan' Najib terhadap bekas-bekas tentera yang tidak berpencen ini apabila beliau mengumumkan bantuan (bukan untuk fakir miskin kah?) "One-Off" sebanyak RM 1, 000.

Sudah tentu kita patut bersyukur ke hadrat Allah S.W.T di atas apa jua rezeki yang dikurniakan kepada kita.  Tetapi, apa yang menjadi persoalan kepada ramai bekas tentera yang tidak berpencen ini adalah keadilan di dalam memberikan "One-Off" tersebut.  Semua maklum, beberapa bulan yang lalu diumumkan bahawa bekas-bekas Guru KEMAS yang pernah berkhidmat melebihi 5 tahun telah diberikan "One-Off" sebanyak RM3, 000.  Sekiranya bekas-bekas Guru Kemas ini hanya perlu berkhidmat melebihi 5 tahun untuk melayakkan mereka menerima RM 3,000, apakah kurangnya bekas tentera yang pernah berkhidmat lebih dari 5 tahun tetapi sekadar mendapat "One-Off" sebanyak RM 1,000 sahaja?

Adakah jasa Guru KEMAS ini lebih besar kepada negara jika dibandingkan dengan bekas-bekas tentera ini?  Benar, semua tahu peranan KEMAS adalah sebagai jentera Pilihanraya kepada Umno/Bn pada setiap pilihanraya. Guru-guru KEMAS ini akan dikerah untuk membantu Umno/Bn setiap kali diadakan Pilihanraya.  Itukah saja jasa Guru-Guru KEMAS ini sehingga melayakkan mereka berada di atas kepala bekas-bekas tentera? 

Sehubungan itu, KOBAT menyeru agar kerajaan memikirkan kembali kadar "One-Off" kepada bekas-bekas tentera tidak berpencen tersebut.  Sayugia diingatkan, Pakatan Rakyat sekiranya memerintah Putrajaya, kita akan memberikan elaun sara hidup kepada semua bekas tentera yang tidak berpencen berjumlah RM 500 sebulan.  Apakah elaun sara hidup berjumlah RM 500 sebulan itu merugikan mereka jika dibandingkan dengan bayaran RM 1,000 (One-Off) yang hanya akan diberi sekali sahaja?

Marilah kita melakukan perubahan di dalam PRU akan datang.  Percayalah, apa yang mereka janjikan darihal gaji dan elaun warga tentera di dalam Bajet 2013 oleh Najib baru-baru ini tidak akan dibatalkan oleh kerajaan baru (Pakatan Rakyat) nanti, bahkan kita akan meningkatkan lagi sejajar dengan janji kita di dalam Buku Jingga.  

Ertikata lain, tiada apa yang merugikan sekiranya warga tentera dan bekas tentera memilih Pakatan Rakyat di dalam PRU akan datang kerana sememangnya keazaman PR untuk memberikan kesejahteraan dan keselesaan kepada semua warga tentera/keselamatan termasuk Polis dan mereka yang telah bersara atau menamatkan perkhidmatan.

Jangan takut untuk lakukan perubahan bagi jangkamasa panjang.

Wednesday 26 September 2012

"IKAN BUSUK BERMULA DI KEPALA" - CERAMAH KOBAT DI PEKAN

KOBAT mengucapkan ribuan terima kasih kepada PAS Kawasan Pekan, Pahang yang telah sudi memberikan sedikit ruang kepada Penyelaras KOBAT, Sdr Wfauzdin NS yang juga  Blogger KOBAT untuk memberikan sedikit penerangan di dalam Program Ceramah Umum yang telah diadakan di Markas PAS, Mengkasar, Pekan pada 23 September baru-baru ini.

Berucap mewakili KOBAT
Program ceramah tersebut telah menampilkan bekas tokoh Umno, iaitu Datuk Tamrin Ghafar, anakanda kepada Almarhum Tun Ghafar Baba, mantan TPM Malaysia sebelum Dato' Seri Anwar Ibrahim.  Datuk Tamrin Ghafar kini telah menjadi ahli PAS.  Turut bersama adalah bekas tokoh Umno Pekan juga bekas Adun Sungai Manis, iaitu Dato' Ariff Sabri (Blogger Sakmongkol) yang kini telah menyertai DAP.  

Saya selaku penceramah KOBAT telah diberi peluang berucap sekitar 45 minit, banyak menerangkan tentang objektif penubuhan KOBAT khususnya di Negeri Pahang ini.   Sepertimana juga Biro Felda dan Orang Asal, KOBAT ingin memperluaskan pengaruhnya di kalangan warga tentera/perajurit termasuk mereka yang telah bersara atau menamatkan perkhidmatan.  Berdiri sebagai salah satu Biro di dalam KEADILAN Pahang, sudah tentu perjuangan KOBAT selari dengan perjuangan parti khususnya, dan Pakatan Rakyat, amnya.



Warga tentera telah diberi penerangan bahawa mereka tidak perlu takut atau bimbang untuk menghadiri mana-mana program parti politik bagi mendapatkan maklumat secara terus agar memudahkan mereka untuk membuat pilihan sewaktu mengundi di dalam Pilihanraya.  Mereka dijamin di bawah Peraturan Majlis Angkatan Tentera, Tahun 1972 di dalam Bahagian 3 Bilangan 7 dan 8.

Namun, harus diingat bagi warga tentera yang masih berkhidmat mereka tidak boleh melakukan 3 perkara seperti berikut;

1.  Tidak dibenarkan menghadiri program politik dengan memakai pakaian seragam, kecuali jika ditugaskan.  Mereka hendaklah berpakaian awam sekiranya menghadiri ceramah politik.

2.  Mereka tidak boleh menjadi ahli mana-mana parti politik, mengambil bahagian di dalam penugasan parti politik, memberikan ucapan politik atau mengedar, mempamir poster parti politik dan terlibat secara langsung membantu parti-parti politik.

3.    Mereka dilarang menghadiri program parti politik sewaktu di dalam tugas. 

Ertinya, warga tentera dibenarkan menghadiri ceramah politik sekadar hadir sebagai pendengar sahaja.

KOBAT juga menerangkan tentang beberapa isu yang melibatkan isu keselamatan yang kurang diberi perhatian oleh kerajaan.  Peristiwa Sauk tahun 2000, yang melibatkan kumpulan Al-Maunah yang berjaya menceroboh kem tentera dan melarikan senjata sepatutnya menjadi pengajaran kepada kerajaan untuk memperbaiki kelemahan di dalam aspek keselamatan.

Isu penyelewengan turut disentuh, di mana isu terbaru melibatkan pembelian sebuah kenderaan RIV oleh Rejimen Gerak Khas berharga lebih kurang RM 690, 000 sebuah yang telah ditegur oleh Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Johor sepatutnya tidak berlaku sekiranya ketelusan di dalam pentadbiran kerajaan dipraktikkan.  Harga kenderaan ini sepatutnya hanya sekitar RM 150,000 sahaja sebuah, tetapi kemungkinan terdapat penyelewengan atau komisyen yang tidak munasabah maka berlakulah apa yang telah didedahkan itu.

Bayangkan, kita hanya didedahkan dengan satu pembelian di dalam satu kor sahaja iaitu Kor RGK.  Bagaimana pula dengan berbagai lagi pembelian peralatan tentera dan lojistik di dalam berbagai Kor lagi?  Adakah sesiapa yang berani tampil untuk mendedahkannya?  Sudah tentu warga tentera samada di peringkat Pegawai atau LLP, tidak akan sanggup untuk mendedahkannya kerana masing-masing terikat dengan berbagai peraturan atau tekanan.

Tiada cara lain lagi buat warga tentera untuk mengubah semuanya ini.  Bak kata pepatah Cina, "Ikan busuk bermula dari kepala".  Ayuh, kita bangkit dan lakukan perubahan.

Sunday 23 September 2012

KOBAT MENYUSUR KE PEKAN, KAWASAN UNDI POS SELAMAT BUAT NAJIB


Benarkah tentera tidak boleh berpolitik?
Relevenkah undi pos ketika ini?
Adakah tentera bersih dari amalan rasuah dan penyelewengan?
Apakah janji-janji PR kepada wara tentera/bekas tentera sekiranya PR memerintah negara ini?
Mengapa tentera mesti lakukan perubahan?

Malam ini KOBAT akan cuba huraikan.  Semua dijemput hadir.

Thursday 20 September 2012

KAJI SELIDIK WARGA TENTERA - APA SOALAN YANG DITANYA?

Artikel kami sebelum ini menyiarkan tentang kaji selidik yang telah dijalankan terhadap warga tentera khususnya di Pahang berkaitan berbagai isu yang melibatkan hal-hal pentadbiran, keselamatan dan juga isu politik semasa.  Sudah tentu ianya bertujuan untuk mengetahui sejauh mana warga tentera peka dan prihatin terhadap isu-isu tersebut di samping ingin mengetahui tahap sokongan warga tentera terhadap kerajaan sekarang.

Gambar hiasan
Dari maklumat yang diberikan kepada kami, majoriti warga tentera (tidak semuanya terlibat di dalam kaji selidik ini) yang mengambil bahagian di dalam kaji selidik ini menunjukkan sokongan positif terhadap majoriti rakyat sekarang yang mahu melakukan perubahan di dalam PRU ke 13 nanti.  Erti kata lain, warga tentera kini telah bersedia untuk menerima sebuah kerajaan baru yang bakal dibentuk nanti, InsyaAllah.

Apakah bentuk soalan yang ditanya di dalam kaji selidik tersebut yang mempunyai kaitan dengan isu-isu politik?  Secara lisannya, kami diberitahu di antara soalan-soalan tersebut adalah seperti berikut:

1.  Sejauh mana plan transformasi negara memberi kesan kepada penghidupan warga tentera?
2.  Isu berkaitan rasuah, adakah ianya diberi perhatian oleh kerajaan sekarang?
3.  Samada ATM mendapat kesannya di dalam isu kehilangan injin jet dan isu Scorpene?
4.  Isu demontrasi, adakah menunjukkan tahap keselamatan negara lemah?
5.  Adakah kepimpinan kerajaan sekarang boleh diterima rakyat?
6.  Relevenkah lagi sistem Undi Pos?
7.  Tentera mesti berkecuali di dalam politik?

Itu adalah di antara lebih kurang 15 soalan yang diberikan selain dari soalan-soalan yang berkaitan dengan pentadbiran dan tugas harian warga tentera termasuk soal gaji dan bonus.  Setiap soalan disediakan jawapan yang boleh dipilih berdasarkan bentuk soalan yang diberi.

Setiap mereka yang mengambil bahagian di dalam kaji selidik ini, hanya perlu mengisi No Kod pasukan masing-masing tanpa menyertakan Nombor, Pangkat atau Nama mereka dan tidak ditandatangani.  Ini membolehkan mereka menjawab soalan secara jujur dan ikhlas tanpa rasa takut dan bimbang.

KOBAT menyanjung tinggi usaha seperti ini kerana pihak atasan di dalam ATM akan dapat menilai sendiri kehendak warga tentera yang sebenarnya.  Harus diingat, warga tentera yang ada di zaman sekarang ini bukan lagi seperti mereka di era 60-70an.  Kebanyakan dari mereka adalah golongan terpelajar dan celik IT di mana mereka boleh mengakses maklumat bagi mendapatkan sesuatu berita tanpa bergantung kepada media perdana yang dikawal oleh kerajaan.

Sunday 16 September 2012

KAJI SELIDIK WARGA TENTERA DI KUANTAN - MAJORITI MAHU PRRUBAHAN?

KOBAT mendapat maklumat pihak kem tentera telah mengadakan kaji selidik secara rambang terhadap warga tentera bagi mengetahui sokongan warga tentera terhadap kerajaan sekarang.

Kaji selidik ini telah diadakan di Kem 4 Briged Mekanise, Kuantan iaitu penempatan kem di kawasan Parlimen Pekan minggu lepas.  Borang kaji selidik ini perlu diisi oleh warga tentera tanpa menyertakan nombor, pangkat atau nama mereka, cuma dicatatkan kod pasukan masing-masing sahaja.

Dari sumber yang diperolehi, majoriti mereka yang mengisi borang kaji selidik tersebut memilih untuk melakukan perubahan pada pilihanraya akan datang.

Tuesday 11 September 2012

KELENGKAPAN TENTERA TIDAK BERKUALITI SATU PERKARA YANG SERIUS

Sultan Johor, Sultan Ibrahim pada Sabtu lepas melahirkan rasa dukacita kerana kelengkapan ketenteraan yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak bermutu dan tidak menepati spesifikasi.

Baginda bertitah dalam usaha kerajaan mengawal belanjawan dan perbelanjaan, pihak Kementerian Pertahanan hendaklah meneliti satu persatu pembelian yang dibuat dan memastikan peralatan yang diperolehi bertepatan dengan keperluan dan mempunyai kualiti yang tinggi.  Di samping itu Sultan Johor juga mengingatkan pihak yang berkenaan agar tidak mengambil kesempatan dalam usaha pihak tentera melengkapkan kor itu dengan peralatan terkini.

"...janganlah bekalkan peralatan yang kurang berkualiti tetapi meletakkan harga yang berlipat kali ganda," titah Sultan Ibrahim.
(BERNAMA).

Isu yang ditimbulkan oleh Tuanku bukan perkara baru.  Sudah banyak kali isu ini didedahkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat dari sekecil-kecil isu sehinggalah melibatkan soal keselamatan, khususnya berkaitan penjualan rahsia pertahanan.  Sehubungan itu, kita patut peka dengan teguran Tuanku Sultan Johor.
 
Jika anda seorang warga tentera atau bekas tentera, secara jujurnya adakah anda tahu bahawa sememangnya banyak kes yang melibatkan penyelewengan pembelian peralatan tentera selama ini?  Bolehkah kita menafikan bahawa terdapat salah laku di mana peralatan yang dibekalkan tidak berkualiti malahan peralatan "tiruan' iaitu bukan yang "original" tetapi di dalam borang pesanan atau pembayaran dicatatkan mengikut harga peralatan sebenar (original)?
 
Dari sekecil-kecil barang berupa screw atau pen, masih juga terdapat penyelewengan.  Masalahnya, siapa berani untuk mendedahkannya?  Seperti kes di atas, hanya Tuanku sahaja yang berani mendedahkannya.  Adakah pegawai-pegawai lain atau sesiapa sahaja yang mengetahui hal ini berani mendedahkannya?  Sudah tentu tidak kerana mereka tahu risiko yang bakal dihadapi.  Namun, kita patut berbangga kerana masih ada yang berani membisikkan kepada Tuanku perkara ini.  Jika tidak, kita pun tidak tahu entah berapa lama lagi aset pertahanan kita akan dipergunakan untuk kepentingan orang-orang tertentu.
 

Saturday 8 September 2012

WARGA TENTERA TERTIPU MEMBELI RUMAH DI KELANTAN?

Sebahagian dari pembeli rumah yang kecewa sedang melantik Jawatankuasa Bertindak


Apa perasaan anda jika anda telah membuat pinjaman membeli rumah melalui pinjaman kerajaan, tetapi rumah pula terbengkalai sedangkan potongan pinjaman melalui gaji terus dipotong?  Paling sedih sekali apabila mendapat tahu pemaju yang sepatutnya menyiapkan rumah tersebut dikatakan tidak mempunyai lesen?
Lazimnya, pinjaman perumahan melalui kerajaan akan dijamin oleh kerajaan.  Ini adalah kerana jika mengikut prosedurnya pihak kerajaan akan membayar kepada pemaju mengikut peratus rumah yang disiapkan.  Lazimnya juga, apabila rumah disiapkan dan setelah mendapat Lesen Menduduki (CF), pemilik rumah yang membuat pinjaman tersebut akan dipanggil untuk penyerahan kunci rumah, kemudiannya barulah potongan gaji dibuat.
Ini tidak berlaku kepada lebih 25 orang pembeli rumah yang majoritinya adalah kakitangan kerajaan dan warga tentera yang membeli rumah melalui pemaju SL Work Devoleptment di Kelantan. Diberitakan rumah mereka terbengkalai dan gaji masih terus dipotong. Walaupun berlaku di Kelantan, tetapi ini bukan kuasa Kerajaan Negeri kerana pinjaman dibuat melalui Kerajaan Pusat.  Bagaimana Pemaju boleh diberikan kebenaran untuk menjual rumah tetapi gagal menyiapkannya?  

Adakah kerajaan telah membuat pembayaran 100 % kepada pemaju di dalam keadaan rumah masih terbengkalai?  Apakah tanggungjawab kerajaan terhadap mangsa-mangsa yang terasa tertipu, apatah lagi gaji mereka terus dipotong bertahun lamanya?

Tidak tahan menanggung perasaan kecewa, pada 06 Sept baru-baru ini, sekumpulan 25 orang pembeli rumah tersebut telah melantik beberapa Ahli Jawatankuasa Bertindak di kalangan mereka untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.  Satu memorandum telah diserahkan kepada PM sewaktu beliau berkunjung ke Machang di dalam satu Majlis Jamuan Hari Raya baru-baru ini.  Kini, mereka menanti apakah komitmen kerajaan di dalam menghadapi Pemaju yang tidak bertanggungjawab seperti ini.

Persoalan kita, bagaimanakah perkara ini boleh terjadi di dalam urusan Pemaju dengan pihak kerajaan sendiri?  Jika benar wang telah dibayar penuh kepada Pemaju, adakah ini mengikut prosedur sedangkan rumah yang dibina terbengkalai?  Mengapakah pemotongan gaji dibuat sedangkan mereka tahu rumah tersebut belum siap sepenuhnya?  Di fahamkan 80 % dari pembeli rumah tersebut adalah di kalangan warga tentera.  Adakah begini layanan yang harus diberi kepada perajurit-perajurit kita?  

Kepada mangsa-mangsa lain yang terlibat di dalam kes di atas, anda diminta menghubungi kami melalui No Telefon 013-9410309 dan sertakan nama dan alamat anda atau email untuk memudahkan kami berusaha membantu anda. 

Wednesday 5 September 2012

APAKAH SALAH MEMBAWA "SANG SAKA" BERBANDING MENAIKKAN BENDERA ISRAEL?

Media kawalan Umno terus memainkan isu bendera "Sang Saka Bangsa" seolah-olah mereka terkejut bahawa memang wujud bendera bersejarah ini.  Isu ini timbul apabila beberapa orang anak muda membawa "Sang Saka" ke kelompok ribuan manusia di Dataran Merdeka di dalam "Janji Demokras#BERSIH" menjelang sambutan 31 Ogos baru-baru ini.

Tiada siapa yang menjangkakan kehadiran "Sang Saka" pada malam tersebut, namun tiada seorang pun yang cuba menghalang atau menangkap pemuda-pemuda berkenaan sedangkan seluruh kawasan Dataran Merdeka dipenuhi juga oleh Pasukan Keselamatan termasuk SB.  Jika benar membawa "Sang Saka" itu satu kesalahan jenayah besar, mengapa dibiarkan pada malam itu?  Ianya menjadi kesalahan sebaik sahaja media kawalan Umno memainkan isu tersebut dengan fitnah bahawa ini lah benderanya jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan Pusat.  Fitnah sudah menjadi mainan harian puak ini.  Peliknya, pihak Polis pun seperti dipukau oleh propaganda mereka.

KOBAT sendiri tidak pernah terfikir untuk menyokong sebarang rancangan untuk menukar Jalur Gemilang yang sedia ada.  Namun, kami berpendapat bahawa terlalu sukar untuk membendung anak-anak muda dari mencari maklumat tentang sejarah tanahair.  "Sang Saka" ada sejarahnya tersendiri dan mereka mahu rakyat mengingati sejarah tersebut.  Mungkin sebab itulah "Sang Saka" dibawa ke Dataran Merdeka bukan untuk ditukarkan dengan Jalur Gemilang.

Salahkah membawa "Sang Saka"?  Sejarah tidak boleh ditipu, begitu juga sejarah tidak boleh dipadamkan.  Bangunan PWTC juga pernah menaikkan bendera Israel, itu juga satu sejarah.