JEMPUT JOIN KAMI

JEMPUT JOIN KAMI
Klik Logo Di Atas

Followers

RADIO ONLINE KOBATFM

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

Klik tunein untuk dengar melalui peranti mudahalih.

Tuesday 29 January 2013

ISU LTAT - RAFIZI AKAN GEMPUR KAWASAN MENTERI PERTAHANAN

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli bakal gempur Bagan Datoh, Parlimen Datuk Zahid Hamidi Februari ini bagi menerangkan isu salahguna dan penyelewengan dana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di bawah pentadbiran Menteri Pertahanan itu.

“Saya bersetuju beberapa tarikh untuk turun ke Bagan Datoh dalam bulan Februari.

“Saya juga masih menunggu saman Zahid Hamidi yang belum dihantar kepada saya. Tapi saya dah setuju turun habis-habisan gempur Bagan Datoh,” tulis Rafizi pada twitternya hari ini.

Zahid 25 Januari lalu memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi berhubung satu artikel di dalam laman blognya.

Tegas Rafizi, saman Zahid akan dijawab di mahkamah kerana isu salahguna dan penyelewengan dana LTAT dan kebajikan anggota tentera yang diabai tidak boleh dipadam dengan tipu helah teknologi.

Rafizi semalam turut menolak keras laporan mendakwa beliau memohon maaf kepada Zahid dalam laman facebooknya.

“Kenyataan palsu dan berniat jahat itu dirancang laman pro-Umno dengan tujuan memfitnah saya dan mengelirukan rakyat.

“Saya menafikan sepenuhnya kenyataan maaf dan tetap dengan pendirian membawa perkara ini ke mahkamah.

“Saya tidak akan berganjak membawa isu salahguna dana Angkatan Tentera Malaysia,” katanya pada kenyataan.

Rafizi berkata, tindakan menggodam akaun dan laman pro-Pakatan Rakyat, termasuk laman web dan facebook pimpinan Pakatan berpunca kegagalan Umno BN berdepan pendedahan memalukan.

“Ini kejadian kedua dalam tempoh dua hari selepas laman facebook Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.

“Saya mengutuk muslihat dan tipu helah yang digunakan cybertrooper Umno kerana tidak beretika,” tegasnya./GB

Thursday 24 January 2013

JAMINAN ANWAR KEPADA ATM

PAKATAN PERTAHANKAN KEMULIAAN DAN KEBEBASAN ANGGOTA KESELAMATAN

Pakatan Rakyat menghargai peranan dan sumbangan anggota keselamatan negara yang pernah dan sedang berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Peranan ini hanya boleh dilaksanakan dengan berkesan sekiranya kebebasan, kedudukan, kebajikan dan kemuliaan ATM dipertahankan sepenuhnya.

Justeru, saya membantah tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan penipuan politik untuk perolehan ATM. Soal persenjataan negara yang melibatkan dasar pertahanan strategik dan taktikal adalah kepakaran kepimpinan ATM yang amanahnya perlu dipikul oleh mereka.

Skandal-skandal yang membabitkan pembelian persenjataan dan kelengkapan yang mahal dan melibatkan rasuah sebenarnya mengkhianati pengorbanan dan perkhidmatan anggota keselamatan.

Apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak terlibat meluluskan satu pembayaran komisen yang mahal kepada orang kanannya sendiri dalam pembelian kapal selam Scorpene, tindakan beliau itu mengkhianati kebajikan dan kedudukan pasukan keselamatan negara.

Pertamanya, apabila peruntukan yang sepatutnya dibelanjakan dengan berhemah bagi keperluan dan kebajikan anggota tentera (baik persenjataan, kelengkapan, perumahan dan pendidikan) dihabiskan sebagai habuan rasuah, ini menyebabkan ATM tidak dapat berbelanja bagi keperluan-keperluan yang lebih mendesak kerana kekurangan peruntukan. Keduanya, cemuhan rakyat terhadap perlakuan rasuah yang bersabit dengan pembelian persenjataan turut terpalit kepada ATM yang mencalarkan imej ATM, walaupun skandal itu tidak ada kena mengena dengan anggota keselamatan.

Sebab itu, saya bertegas bahawa Pakatan Rakyat tidak boleh bertolak ansur mengenai rasuah dan amalan kronisme dalam pembelian persenjataan negara. Keputusan dan penilaian kewajaran pembelian persenjataan perlu diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan ATM mengikut tata kelola pentadbiran kerajaan persekutuan yang berteraskan ketelusan dan amanah kepada rakyat. Saya yakin prinsip ini akan menjimatkan berbilion wang rakyat yang kemudiannya boleh diperuntukkan untuk membela kebajikan dan kemajuan anggota tentera.

Berbekalkan peruntukan yang meningkat apabila kita berjaya membanteras amalan rasuah dan kronisme, saya telah meneliti dan mencadangkan perkara-perkara berikut sebagai langkah membela kebajikan anggota-anggota tentera:

* Pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) perlu dirombak semula dengan perwakilan dari kalangan anggota tentera yang lebih adil dan bebas mewakili anggota terbanyak. Keuntungan dan perolehan LTAT wajarlah diagihkan dengan leih adil kepada anggota terbanyak, termasuk melalui peruntukan skim mikrokredit khas anggota tentera untuk memastikan mereka mendapat perhatian selepas meninggalkan perkhidmatan;

* Kerajaan Pakatan Rakyat wajar meningkatkan jumlah caruman yang disumbangkan oleh kerajaan di dalam LTAT kepada 20% daripada gaji setiap bulan (berbanding 15% sekarang). Peningkatan 5% caruman ini perlu diuruskan secara berasingan di dalam dana LTAT dan dikhususkan kepada program-program imbuhan yang berbentuk bantuan bulanan kepada bekas anggota tentera (yang berpencen dan tidak berpencen);

* Kerajaan Pakatan Rakyat wajar memperkenalkan Dividen Khas kepada bekas anggota tentera tidak berpencen bergantung kepada keuntungan LTAT setiap tahun dan caruman tambahan 5% yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan. Dividen Khas ini bagi membantu anggota keselamatan yang tidak mempunyai pencen berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang meruncing;

* Kerajaan Pakatan Rakyat akan memastikan paras pencen adalah setara dengan dasar gaji minima RM1,100 yang diangkat oleh Pakatan Rakyat akan dilakukan, supaya tidak ada bekas anggota keselamatan yang tercicir dari pelarasan pencen seperti yang sering berlaku sekarang.

Saya yakin pendekatan berganda membanteras rasuah dan menggunakan peruntukan yang diselamatkan untuk membela kebajikan anggota tentera akan berjaya mempertahankan kemuliaan ATM di mata rakyat.

Kemuliaan dan kedudukan anggota tentera di mata rakyat adalah sangat penting kerana mereka adalah benteng pertahanan negara. Di bawah Pakatan Rakyat, saya yakin ATM akan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.


ANWAR IBRAHIM
KETUA UMUM KEADILAN
23 JANUARI 2013

Wednesday 23 January 2013

SKANDAL LTAT - KALAULAH WARGA TENTERA MENDAPAT MAKLUMAT INI....


Isu Skandal Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) nampaknya semakin hangat diperkatakan.  Isu ini telah didedahkan oleh Sdr Rafizi Ramli, Pengarah Strategi KEADILAN Pusat berdasarkan beberapa maklumat yang beliau perolehi termasuk pendedahan yang telah dibuat oleh Deepak (Ahli Perniagaan yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Rosmah Mansur).

Sudah tentunya isu ini mempunyai kaitan rapat dengan warga tentera.  Sekiranya warga tentera memahami isu ini sedalam-dalamnya, sudah tentu ianya merisaukan pimpinan Umno sekarang.  Bagaimana seorang Ketua Wanita Umno Selangor semudah itu untuk memperolehi jutaan ringgit dari hasil titik peluh warga tentera?  Apakah nilai jutaan ringgit kepada Deepak merupakan satu cara untuk menutup mulut Deepak yang semakin lancang mengkritik Najib?

Sdr Rafizi akan menjelajah ke seluruh negeri terutamanya di kawasan-kawasan yang berhampiran dengan kem-kem tentera untuk menyampaikan maklumat ini kepada warga tentera dan bekas-bekas tentera.  Sdr Rafizi bukan seorang tentera atau bekas tentera, namun beliau merasa bertanggungjawab untuk membela warga tentera dan bekas tentera.  Adakah kita sebagai warga tentera atau bekas tentera tidak prihatin akan isu ini?


Friday 18 January 2013

'PERINTAH BERKURUNG' BUAT TENTERA DI PD PADA 20 HB JANUARI (AHAD) INI?

Oleh:  WFAUZDIN NS

PADA 20 hb Januari ini (Ahad), sudah semestinya warga tentera khususnya dan bekas-bekas tentera mesti datang ke Program Ceramah Skandal Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang isunya  semakin panas sekarang.  Program tersebut akan diadakan di Kg SiRusa, Batu 4, Port Dickson (Rumah Pak Ngah, belakang Stesyen Petronas) mulai jam 09.00 malam.
Terutamanya warga-warga tentera di sekitar Port Dickson, tidak kira pangkat apa sekalipun mereka harus turun untuk dapatkan maklumat yang mempunyai kaitan yang rapat dengan kebajikan dan kepentingan mereka.  Penceramah yang akan hadir nanti adalah tokoh yang 'mengorek' isu ini iaitu Pengarah Strategi KEADILAN Pusat, Sdr Rafizi Ramli yang sebelum ini berjaya membongkar isu NFC (lembu kondo) melibatkan keluarga seorang Menteri.  Turut berceramah adalah Brigedier Jeneral (B) Abd Hadi dan juga Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Bahrain (MP Teluk Kemang).
Adakah akan ada 'perintah berkurung; buat warga tentera sekitar Port Dickson pada tarikh tersebut?  Mudah-mudahan ianya tidak berlaku dan jika berlaku, sahih lah isu ini mahu disembunyikan dari pengetahuan warga tentera sendiri.  Ayuh...hadir beramai-ramai.

Tuesday 15 January 2013

CERAMAT KOBAT 'LIVE' DARI K.KRAU MALAM INI


Malam ini (15 Jan 2013), KOBAT akan berceramah di Kg. Kuala Mai, K.Krau, Pahang bersama beberapa tokoh dan pimpinan seperti yang dinyatakan di dalam poster di atas.

InsyaAllah, Radio KOBAT FM akan membawa kepada anda Siaran Langsung program ceramah malam ini bermula jam 08.45 malam.  Anda boleh ikuti siaran Radio KOBAT FM apabila anda membuka blog ini atau mengunjungi blog Wfauzdin.Blogspot di http://wfauzdin.blogspot.com

Kepada warga tentera dan bekas-bekas tentera dijemput hadir untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini berkaitan isu-isu semasa. 

Sunday 13 January 2013

"JANJI DI CAPATI' - MANA RM1,000 YANG DIJANJIKAN JUMAAT LALU?

Semalam (12 Jan 2013), KOBAT turut bersama-sama rakyat untuk berhimpunan di Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) KL112 bertempat di Stadium Merdeka.  Sambutan rakyat amat mengkagumkan dan tidak syak lagi memang rakyat dahagakan perubahan.  Ertinya, rejim yang ada wajib ditukar kepada Kerajaan Pakatan Rakyat yang terbukti di beberapa negeri di bawahnya cemerlang tanpa ada kes-kes yang mengaibkan.

Sempat bertemu dengan beberapa orang bekas tentera samada yang telah berpencen atau pun tidak.  Paling gembira, terjumpa juga beberapa orang warga tentera yang masih lagi berkhidmat.  Seorang bekas tentera yang tidak berpencen mengeluh mengatakan ramai bekas tentera yang tertipu dengan janji kerajaan.

Sebelum ini diwar-warkan di dalam media, semua bekas tentera tidak berpencen akan diberi "One Off" sebanyak RM 1,000 dan bayaran akan dijelaskan pada Jumaat (11 Jan 2013) yang lalu.  Malangnya, apa disemak tiada bayaran dibuat pada hari tersebut.  Semalam (Sabtu) pun masih belum dibayar kepada mereka.  

Hari ini (Ahad), saya rasa tentu tiada bayaran dimasukkan ke dalam akaun atas alasan hari cuti.  Itulah yang mereka rungutkan.  Jika tiada duit, jangan berjanji kata mereka.  Apa pun, saya menyeru kepada semua warga tentera dan bekas tentera agar terus bersama rakyat untuk lakukan perubahan.  Pakatan Rakyat, seperti yang disebut oleh Sdr Rafizi (Pengarah Strategi PKR) berjanji akan beri elaun secara bulanan kepada bekas-bekas tentera tidak bersara sekiranya Pakatan Rakyat diberi peluang memerintah negara ini.  Adakah kita mahu terima "One Off" sekali sahaja (itu pun masih belum dibayar) atau setiap bulan?

Ayuh...bersama kita menyokong Pakatan Rakyat!!

Friday 11 January 2013

KOBAT FM KINI LIVE DI PADANG KELAB SULTAN SULAIMAN! KG BHARU

KOBAT FM sekarang bersiaran langsung di padang kelab sulaiman, ceramah himpunan kebangkitan rakyat sebelum kita ke stadium merdeka esok.

jom ikuti melalui blog ini secara automatik ke udara..

Thursday 10 January 2013

EMAIL DARI WARGA TENTERA - SOAL SELIDIK DALAM KEM TELAH BERMULA

Saya telah menerima email dari seorang warga tentera yang merupakan seorang pengunjung setia Blog KOBAT ini.  Beliau masih berkhidmat dan tidak beberapa lagi akan bersara.  Berikut adalah email beliau kepada saya.  Bagi menjaga keselamatannya, identiti beliau tidak akan saya dedahkan.
-----------------------------------------------------------------------------------------------

Salam bang...

Tadi saya dan anggota di arahkan jawab soalan kaji selidik. Ada 7 soalan saja dan berkisar terhadap perkhidmatan dan kepuasan hati masing2 dlm perkhidmatan. Apa yang nak saya ceritakan disini ialah berkenaan soalan no 5 yang bertanyakan "adakah anda berpuas hati dengan bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan?" Kalau jawab 'TIDAK', kena bagi alasan pendek dan jelas. Dan sebagai orang lama yang telah bertugas dalam pelbagai bahagian dan akan pencen tahun depan, saya menjawab TIDAK dan alasan saya, "Peruntukan kerajaan sangat terhad".

Ketika saya melintas di depan pejabat AO (Pegawai Tadbir) , saya terdengar AO dan CC (Ketua Kerani)  berbincang berkenaan maklumbalas anggota berkenaan kaji selidik itu. Dari apa yang saya faham, soalan no 5 itu lah yang menjadi kunci untuk mereka membuat kesimpulan berapa ramai tentera yang menyokong kerajaan dan berapa ramai yang tidak menyokong. Automatik saya termasuk dalam golongan yang tidak menyokong!! Hahaha!!

Saya tak heran...dah nak pencen pun...Bagi saya, selagi saya menyarung uniform ini, taat setia kepada Ikrar Kesatria dan YDP Agung tak ada siapa boleh pertikaikan. Namun begitu, saya tiadak akan bersetuju dengan kemungkaran dan kebejatan pemimpin yang merompak harta negara sepertimana yang ada sekarang.

LAWAN TETAP LAWAN!!! LAWAN SAMPAI MENANG!!! MAJU PR!!

Wednesday 9 January 2013

BEKAS TENTERA - AYUH TURUN KL112# UNTUK LAKUKAN PERUBAHAN

KOBAT menyeru kepada seluruh bekas tentera samada yang berpencen atau tidak untuk sama-sama hadir ke Perhimpunan Kebangkitan Rakyat KL112# Stadium Merdeka pada 12 Januari 2013 ini nanti.  

Bekas-bekas tentera mesti berani melakukan perubahan kerana telah sekian lama nasib bekas-bekas tentera berada di tahap yang sedia ada.  Apakah kita tidak boleh berubah?  Apakah kita tidak mahu melihat bekas-bekas tentera walaupun tidak boleh menjadi jutawan, tetapi tidak merempat tanpa rumah dan sebidang tanah untuk mereka?  Adakah kita masih tidak sedar terdapatnya rakan-rakan kita yang kini masih menumpang atau menyewa rumah?  

Janji di dalam Buku Jingga, salah satunya adalah memberikan sebidang tanah kepada bekas-bekas tentera yang langsung tidak mempunyai rumah atau tanah untuk mendirikan rumah kediaman melalui Felda Plantation.  Adakah kita masih menganggap itu hanya janji bulan dan bintang jika kita tidak pernah mahu mengubah nasib kita?

Ayuh...kita hanya boleh lakukan perubahan sekiranya Pilihanraya di negara ini adil dan bersih.  Untuk tujuan itu, marilah kita berhimpun di Stadium Merdeka pada 12 hb Januari ini untuk menunjukkan kepada pihak berkenaan bahawa kita semua mahukan keadilan. 

KOBAT FM BAKAL JADI SALURAN MAKLUMAT ALTERNATIF WARGA TENTERA

Pada 06hb Jan 2013 baru-baru ini, Radio KOBAT FM telah mengadakan Siaran Langsung Program Jelajah Anak Muda dan Ceramah Kebangkitan Rakyat bersama beberapa NGO bertempat di Taman Muhibbah, Temerloh, Pahang.

Sdr Wfauzdin NS sedang berucap

Penyelaras KOBAT, Sdr Wfauzdin NS juga turut dijemput berucap mewakili KOBAT di samping beberapa pimpinan politik dan NGO yang terdiri dari Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Kumpulan 'R" (Royalti), Biro Felda dan banyak lagi.  Pimpinan politik yang turut berucap adalah Pengerusi MPN Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman, YB Ng Swee Lim (Adun Sekinchan), YB Syed Hamid (Adun Semantan) dan Sdr Ahmad Nizam (Ketua Cabang KEADILAN Temerloh).  Aktivis seperti Sdr Hishamuddin Rais (Blogger Tukar Tiub) juga turut berucap menaikkan semangat sekitar 2 ribu yang hadir malam tersebut.

Program malam tersebut adalah untuk menjemput seluruh rakyat Pahang turun beramai-ramai ke Stadium Merdeka, KL pada 12 Januari ini untuk berhimpun dalam Himpunan 1 Juta rakyat menuntut kerajaan dan SPR menunaikan tuntutan BERSIH yang lalu.

KOBAT FM turut mengadakan temubual bersama Penyelaras SAMM, Sdr Badrul Hisham atau Chegu Bard tentang apa sebenarnya tujuan perhimpunan KL112# pada 12 Jan nanti.  Beliau turut memberitahu bahawa pada 11 Jan 2013 iaitu malam sebelum diadakan perhimpunan 1 Juta Rakyat, satu program ceramah akan diadakan di Kg Bharu, KL.  Orang ramai diminta hadir lebih awal ke KL pada sebelum tarikh tersebut.  

Untuk maklumat anda, KOBAT FM kini masih di dalam siri ujian penyiaran.  Setelah kesemuanya bersedia untuk beroperasi, KOBAT FM diharapkan akan menjadi saluran alternatif buat semua rakyat terutamanya warga tentera atau bekas tentera yang berkemungkinan takut untuk hadir di mana-mana program ceramah politik.


Saturday 5 January 2013

MALAM INI (05 JAN), WARGA TENTERA/BEKAS TENTERA DIJEMPUT HADIR IKUTI CERAMAH BRIG JEN (B) HADI DAN KOBAT


Malam ini (05 Jan 2013-Sabtu), kami menjemput warga tentera dan bekas-bekas tentera sekitar kawasan Temerloh, Mentakab dan K.Krau khususnya untuk hadir di dalam program Puisi dan Ceramah Umum di Pejabat PKR K.Krau mulai jam 08.30 malam.

Kehadiran anda akan bermakna apabila kita berkesempatan mendengar ceramah dari Brig Jen (B) Dato' Abd Hadi selaku Pengerusi PAHLAWAN di samping KOBAT sendiri akan tampil memberikan ceramah malam ini.

Sudah tentu banyak isu yang akan didedahkan oleh bekas Pegawai Kanan tentera ini nanti.  Ayuh...sebarkan.

Thursday 3 January 2013

KOBAT MELANGKAH SETAPAK LAGI MEWUJUDKAN STESYEN RADIO KOBAT FM

KOBAT cuba melangkah sedikit demi sedikit di atas kemampuan dan ihsan rakan-rakan seperjuangan dan mereka yang benar-benar mahu melihat negara ini berubah ke arah yang lebih baik.  Bermula dari mewujudkan blog dan FaceBook, kemudiannya turun memberikan penerangan di pentas ceramah, KOBAT kini cuba memberi saingan di dalam arus media yang lebih hampir di jiwa masyarakat di samping menghiburkan mereka.

KOBAT kini sedang berusaha menubuhkan Stesyen Radio Internet sendiri yang diberi nama KOBAT FM.  Buat masa ini kami sedang mengumpul dana untuk memperkukuhkan Stesyen Radio baru ini dan buat permulaan usaha-usaha mempromosinya mengikut dana yang ada banyak dibantu oleh rakan penyiaran kami iaitu Santai FM.  Sekiranya dana telah mencukupi, kami mahu berdikari untuk menguruskan Stesyen Radio KOBAT FM ddengan mengharapkan sokongan anda semua.

KOBAT FM mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak yang telah pun menghulurkan dana kepada kami sehingga kami boleh memulakan penyiaran walaupun sebagai ujian.  

Untuk mengikuti KOBAT FM, anda hanya perlu membuka blog KOBAT ini, sekiranya KOBAT bersiaran ianya secara automatik ke udara, tetapi sekiranya tidak bersiaran anda boleh mendengar radio Santai FM, rakan penyiaran kami dengan 'klik' pada 'play' Santai FM. 

Setiap program KOBAT FM akan kami war-warkan melalui FaceBook KOBAT atau FaceBook Penyelaras KOBAT, Wfauzdin NS.  Untuk makluman, KOBAT FM juga adalah rakan penyiar bukan sahaja kepada bekas-bekas perajurit atau warga tentera tetapi juga mempunyai misi untuk membawa suara warga felda dan Orang Asal.

Mudah-mudahan KOBAT FM akan lebih maju jaya di masa-masa akan datang, InsyaAllah.


Wednesday 2 January 2013

JOM LAYAN RADIO KOBAT FM SEKARANG

Radio KOBAT FM sedang diuji sekarang....jom masuk blog kami untuk bersama dalam ujian siaran kami di http://kobatpkr.blogspot.com   bersama saya WFAUZDIN NS....

Tuesday 1 January 2013

BAYARAN RM160 JUTA KEPADA ASTACANGGIH/AWAN MEGAH JEJASKAN PROJEK-PROJEK KEMENTERIAN PERTAHANAN DAN MERUGIKAN ANGGOTA TENTERA

Pembayaran yang telah dan akan dibuat kepada Astacanggih Sdn Bhd (“Astacanggih”) dan Awan Megah Sdn Bhd (“Awan Megah”) berjumlah RM160 juta akan menggunapakai dana sedia ada dan pinjaman baru yang terpaksa diambil oleh Bakti Wira Sdn Bhd (“Bakti Wira”).

Bakti Wira adalah anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Berhad (“Boustead”). Saham majoriti Boustead dikuasai oleh Lembaga Tabung Amanah Tentera (“LTAT”) iaitu sebanyak 61.36% (rujuk Laporan Kewangan Tahunan Boustead yang terkini mukasurat 212, setakat 29 Februari 2012). Saham selebihnya di dalam Boustead dipegang oleh pelabur minoriti.

Oleh yang demikian, keputusan Dato’ Seri Zahid Hamidi mengarahkan Boustead (melalui anak syarikat Bakti Wira) membuat pinjaman baru untuk membayar RM160 juta kepada Astacanggih dan Awan Megah adalah keputusan yang melibatkan kepentingan dan kebajikan anggota tentera serta pelabur minoriti di dalam Boustead.

Sekiranya pelaburan ini tidak baik dan membebankan Bakti Wira, ia akhirnya akan merugikan anggota tentera dan pelabur minoriti yang terpaksa menanggung kerugian gara-gara tindakan cemas Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mahu menutup mulut Deepak.

Bakti Wira juga mempunyai sebuah anak syarikat yang menjalankan kerja pembinaan iaitu Jendela Hikmat Sdn Bhd (“Jendela Hikmat”). Syarikat ini diberikan beberapa kontrak penswastaan yang besar oleh Kementerian Pertahanan, termasuklah projek berjumlah RM230 juta untuk membina dan menyiapkan Kem Muara Tuang, Sarawak.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mengkritik Jendela Hikmat kerana gagal menyiapkan projek tersebut walaupun telah diberi lanjutan tempoh masa sebanyak 3 kali. Pada ketika itu, Jendela Hikmat memberi alasan bahawa ia berdepan dengan kesempitan kewangan akibat kenaikan kos barang pembinaan sehingga menjejaskan projek yang dilaksanakannya.

Justeru, sekiranya Bakti Wira terpaksa mengambil pinjaman sebanyak RM160 juta untuk membayar Astacanggih dan Awan Megah, bebanan hutang yang baru ini sudah tentu akan melemahkan lagi kedudukan kewangannya yang seterusnya menjejaskan keupayaan Jendela Hikmat menyiapkan projek-projek kerajaan.

Semakan prestasi kewangan terkini Bakti Wira yang difailkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mengesahkan risiko kewangan yang ditanggungnya berikutan arahan membayar RM160 juta kepada Astacanggih dan Awan Megah.

Bakti Wira yang mengalami kerugian sebanyak RM565,923 bagi tahun 2011 itu terpaksa menanggung kos hutang sekurang-kurangnya RM6.5 juta setiap tahun. Besar kemungkinan, kerugian yang dialami bagi tahun 2012 dan tahun-tahun mendatang lebih teruk dan berpanjangan akibat hutang RM160 juta yang terpaksa ditanggungnya.

Kedudukan kewangan Bakti Wira juga akan dilemahkan dengan hutang RM160 juta yang terlalu besar berbanding dengan asetnya yang kecil iaitu sekitar RM50 juta sahaja. Tambahan lagi, tanah yang kononnya dibeli itu besar kemungkinan tidak dapat dipindahmilik, menyebabkan tidak ada aset baru yang boleh disuntik untuk mengimbangi hutang RM160 juta yang diambil untuk membayar Astacanggih dan Awan Megah.

Maka, keputusan membayar RM160 juta kepada Astacanggih dan Awan Megah ini adalah keputusan yang benar-benar merugikan anggota tentera yang menabung di dalam LTAT dan pelabur minoriti Boustead yang turut sama terjejas.

KEADILAN akan bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan bekas anggota tentera termasuk PAHLAWAN dan KERABAT untuk menggerakkan kempen mendesak LTAT menghentikan urusniaga ini secepat mungkin.

KEADILAN juga akan menulis secara rasmi kepada Badan Pengawas Saham Minoriti Berhad (Minority Shareholder Watchdog Group) untuk segera campur tangan di peringkat Boustead bertujuan menghentikan urusniaga ini secepat mungkin.

Desakan dari kedua-dua kumpulan ini dan keputusan Kerajaan Selangor untuk menghalang pemindahan tanah 200 ekar yang cuba dijual (seperti yang diumumkan Pejabat Menteri Besar Selangor semalam) akan menghalang RM160 juta dana awam dari disalahguna bagi kepentingan peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sewajarnya, Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu berdepan dengan pelbagai tuduhan yang dibuat oleh Deepak dan menyaman Deepak di mahkamah sekiranya tuduhan itu tidak benar, bukannya menyalahgunakan dana awam untuk merasuah Deepak dan Ketua Wanita Umno Selangor seperti ini.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

31 DISEMBER 2012