JEMPUT JOIN KAMI

JEMPUT JOIN KAMI
Klik Logo Di Atas

Followers

RADIO ONLINE KOBATFM

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

Klik tunein untuk dengar melalui peranti mudahalih.

Tuesday 24 April 2012

BEKAS TENTERA DUA TAHUN TIDAK BAYAR SEWA RUMAH?

Bekas tentera, Sdr Mazlan dan Isteri, Pn Norbaini di samping anak bongsunya

Pada 21 Apr 2012 baru-baru ini, Pengerusi KEADILAN Negeri Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman  bersama wakil dari KOBAT (Kor Bekas Angkatan Tentera) serta Pemangku Ketua Cabang KEADILAN Indera Mahkota, Sdr Lee Chean Chung telah menziarahi satu keluarga bekas tentera di Bukit Sekilau, Kuantan.  Lawatan itu juga turut disertai oleh pimpinan PAS kawasan yang diwakili oleh Setiausaha PAS Cawangan Bukit Sekilau, Sdr Asri dan Bendahari PAS Bukit Sekilau, Sdr Zuraini.

Kunjungan kami adalah di rumah Sdr Mazlan bin Mohd Husin (47) , yang tinggal bersama isterinya Puan Norbaini di sebuah rumah yang disewanya.  Beliau memiliki 4 orang anak, 3 orang anak tinggal bersamanya manakala anak yang sulung sudah berkeluarga dan tinggal berasingan.  Sdr Mazlan adalah seorang bekas tentera yang pernah berkhidmat selama 7 tahun yang tamat perkhidmatannya pada tahun 1991.  Pasukan terakhir beliau berkhidmat adalah di pasukan 105 Bn Infanteri di bawah naungan Markas 8 Briged. 

Dato' Fauzi sedang mendengar masalah yang disuarakan oleh isteri Sdr Mazlan

Semenjak dua tahun yang lalu, beliau tidak lagi dapat bekerja untuk menyara keluarganya kerana menghidapi penyakit kencing manis yang serius di samping menghidapi penyakit jantung sehingga mengakibatkan beliau tidak lagi boleh melihat dengan jelas dan terlantar di rumah.  Isterinya pernah memohon gerai perniagaan untuk menyara keluarganya, namun gerai tersebut terpaksa di sita kerana tidak mampu menjelaskan bayaran. Dua anaknya masih bersekolah, seorang perempuan di Tingkatan Tiga manakala yang bongsu berada di Pra Persekolah.  Seorang lagi tidak mampu bekerja ketika ini kerana terlibat di dalam kemalangan.  Anak beliau yang sulung pula telah berkahwin dan mempunyai tanggungannya sendiri.  

Wajah sayu keluarga bekas tentera yang pernah berjasa kepada negara
Akibat penyakitnya itu, Sdr Mazlan terpaksa berulang alik ke Hospital dua kali seminggu untuk pemeriksaan lanjutan.  Setiap minggu anaknya yang sulung terpaksa balik ke rumah untuk menghantar ayahnya ke Hospital dan kadangkala beliau terpaksa menaiki teksi untuk ke Hospital kerana anaknya tidak mendapat cuti.

Puan Norbaini menceritakan, sewa rumah yang didiaminya sekarang sebanyak RM 250 se bulan, sudah dua tahun tidak dibayar.  Alhamdulillah, hasil ihsan dan simpati tuan rumah, setakat ini beliau sekeluarga masih memiliki tempat tinggal.  Akibat kesempitan kewangan, bekalan letrik di rumahnya telah dua kali dipotong kerana kegagalan menjelaskan bayaran bil.  Beliau menerima bantuan dari Kebajikan Masyarakat sebanyak RM 95 sebulan, manakala bantuan dari Zakat pula hanya diperolehi sekali sahaja pada awal Februari yang lalu sebanyak RM 400.  Sehingga kini, pihak Zakat masih memproses permohonan beliau untuk mendapatkan bantuan bulanan bagi menyara keluarganya.

Bersama pimpinan PAS kawasan

Sdr Lee Chean Chung (kanan sekali) bersama wakil PAS kawasan

Sdr Mazlan juga telah berhubung dengan PBTM (Persatuan Bekas Tentera Malaysia), tetapi sehingga kini beliau difahamkan permohonan bantuan dari pihak berkenaan masih diproses.  Tanpa bantuan yang diperlukan, kehidupan beliau sekeluarga amat menyedihkan kerana terpaksa menanggung perbelanjaan harian di rumah, persekolahan anak-anak termasuk tambang van sekolah untuk anaknya yang seringkali tertunggak.  

Isterinya, Puan Norbaini telah mengadu masalahnya kepada Pusat Khidmat Parlimen Kuantan.  Justeru itu, lawatan telah dilakukan pada 21 April yang lalu diketuai oleh Pengerusi KEADILAN Pahang, Dato' Fauzi sendiri serta rombongan.  Di dalam kunjungan tersebut, pihak kami telah menghulurkan sedikit sumbangan dan meminta segala bil yang tertunggak untuk kami uruskan bagi meringankan bebanan keluarga tersebut.  Dan, semalam 23 April, sekali lagi Dato' Fauzi dan Datin telah berkunjung ke rumah keluarga berkenaan untuk melihat keadaan dan mengenalpasti sebarang masalah yang boleh dibantu untuk keluarga bekas tentera tersebut.  

Bagi kami, amat tidak wajar sebagai bekas tentera kehidupan beliau dibiarkan begini.  Apakah masuk pada akal kita seorang bekas tentera tidak memiliki walau sebuah rumah usang pun?  Apakah tawaran kami untuk mengurniakan sebidang tanah untuk kediaman kepada bekas-bekas tentera seperti keluarga ini hanya layak dipersendakan oleh kerajaan yang memerintah sekarang?  Sama-samalah kita fikirkan.  

Kepada sesiapa yang sudi membantu sila berhubung dengan KOBAT di No Tel: 013-9410309 atau melalui Pemangku Ketua Cabang KEADILAN, Sdr Lee Chean Chung di No Tel: 012-9540498.

Saturday 21 April 2012

CUKUP-CUKUPLAH BEKAS TENTERA INGIN DIPERBODOHKAN

Sesiapa yang pernah menjadi tentera semestinya akan mengakui bahawa mereka `diperbodohkan' seawal menjejakkan kaki ke alam ketenteraan lagi.  Kerja `memperbodohkan' anggota tentera samada di peringkat Lain-Lain Pangkat (LLP) mahu pun Pegawai bermula sewaktu mereka di Pusat Latihan lagi.

Sewaktu menjalani latihan, kita diajar apa sahaja yang disebut dan diarahkan oleh Jurulatih mestilah betul dan mesti kita terima.  Andainya Jurulatih berkata bahawa panas matahari yang membakar tubuh kita sewaktu kita terpacak berdiri di Padang Kawad itu adalah `sinaran bulan purnama', maka semua pelatih akan bersetuju bahawa matahari itu adalah `bulan'.

Seandainya kita `dilatih' untuk mencuci najis di lantai tandas bilik air dengan menggunakan hidung atau disapu sedikit seorang pada jari kita, maka kita pasti akan menurut arahan berbentuk `latihan' seperti itu.  Di dalam latihan Rekrut umpamanya, sebatang berus gigi boleh dikongsi bersama 20 orang sekaligus jika `diarahkan' oleh Jurulatih.  Ini semua boleh dianggap `memperbodohkan' kita, tetapi kita memahami bahawa ianya merupakan satu bentuk `latihan mental'.  Kita sanggup `diperbodohkan' atas nama latihan bahkan selepas menjadi tentera terlatih pun ada kalanya kerja `memperbodohkan' ini berterusan.

Apakah kita sanggup diperbodohkan lagi walaupun setelah kita bersara?  Bagi mereka yang bijak, sudah tentu jawapannya tidak mungkin untuk kita terus diperbodohkan.  Sebagai contoh, baru-baru ini seorang Ahli Parlimen mewakili Lipis, Datuk Dr Mohamad Shahrom Osman di dalam ucapannya di hadapan bekas-bekas tentera di Lipis menyebut bahawa bekas-bekas tentera mestilah menyokong Bn kerana jika Pakatan Rakyat memerintah negara akan tergadai.  

Ucapan ini jika diucapkan oleh Jurulatih sewaktu kita di dalam latihan tentera mahupun ketika kita berkursus atau ucapan ini diucapkan oleh Pegawai kita sewaktu kita berkhidmat dahulu, besar kemungkinan kita akan bersetuju atau mengiyakan sahaja.  Tetapi, ucapan bodoh dari Ahli Parlimen ini yang cuba untuk memperbodohkan bekas-bekas tentera sudah pasti tidak lagi mudah untuk diterima.  Tidak tahulah jika masih ada lagi saki baki `suka diperbodohkan' di dalam diri segelintir bekas-bekas tentera sekarang.

Di mana lojiknya jika Pakatan Rakyat memerintah negara akan tergadai?  Lihat sahaja di Kelantan, sudah lebih 20 tahun PAS memerintah Kelantan, di mana tergadainya negeri tersebut?  Di Selangor, P.Pinang dan Kedah, sudah hampir sepenggal Pakatan Rakyat memerintah negeri-negeri tersebut, di mana tergadainya negeri-negeri berkenaan?  Pulau Batu Putih dan Tg Pagar `tergadai' kepada Singapura bukan disebabkan oleh Pakatan Rakyat.  Tetapi siapa punya angkara?  Terlalu banyak tanah rizab Melayu tergadai kepada bangsa lain termasuk tokeh Judi, siapa punya angkara?  Tergadainya wang rakyat RM250 Juta kepada satu keluarga Menteri yang gagal di dalam menguruskan dana yang dipinjam dari kerajaan kononnya untuk mengusahakan ternakan lembu, siapakah menteri berkenaan?  Dari Pakatan Rakyat kah?

Terlalu banyak untuk disebut soal siapa menggadaikan negara ini.  Cuma, gunakanlah akal dan fikiran kita untuk memikirkan benarkah jika Pakatan Rakyat memerintah maka negara ini akan tergadai.  Apakah harta dan hak rakyat di negara ini tidak pernah tergadai di era Bn berkuasa sekarang?  

Bak kata Pengerusi KEADILAN Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman yang memetik kata-kata seorang pemimpin kaum Orang Asal yang menyebut, " Cukuplah lembu menjadi lembu, jangan kita pula menjadi lembu".

Friday 13 April 2012

78 % WARGA TENTERA BERSEDIA UNTUK LAKUKAN PERUBAHAN DI DALAM PRU AKAN DATANG

Siri Jelajah KOBAT akan dipergiatkan bukan sahaja melalui ceramah penerangan kepada bekas-bekas anggota keselamatan, tetapi juga menumpukan kepada warga keselamatan tentera/polis yang sedang berkhidmat.

KOBAT akan menggunakan berbagai kaedah untuk menyalurkan maklumat tentang perjuangan kami yang didukung oleh Pakatan Rakyat.  Menyedari bahawa persatuan bekas-bekas perajurit/polis yang sedia ada dilihat gagal berfungsi untuk membela nasib ahli-ahli persatuan mereka, jauh sekali untuk membela nasib warga keselamatan yang masih berkhidmat, maka KOBAT diwujudkan di bawah PKR Pahang bagi tujuan tersebut.

Memandangkan rata-rata bekas tentera apabila sudah bersara, mereka akan menetap di rumah sendiri atau di kampong, maka bukan mudah untuk bertemu dengan golongan ini.  Tidak seperti warga felda yang berkumpul di satu-satu penempatan, bekas-bekas tentera kebanyakannya tinggal di beberapa kawasaan yang berasingan di antara satu sama lain.  Namun, KOBAT mempunyai kaedah yang tersendiri untuk mendampingi mereka, salah satunya kami akan menjejaki mereka melalui beberapa program parti yang dijalankan di sesuatu kawasan.

KOBAT juga sering dijemput untuk mengisi slot ceramah melalui program parti.  Kami menerangkan hala tuju perjuangan KOBAT dan menerangkan mengapa warga keselamatan dan bekas-bekas anggota keselamatan perlu melakukan perubahan di dalam PRU akan datang.  Alhamdulillah, setakat ini hasil kaji selidik kami di satu penempatan tentera, 78% daripada kekuatan pasukan berkenaan berjanji untuk melakukan perubahan.

Sekiranya anda adalah warga pasukan keselamatan atau bekas anggota keselamatan, sila hadir di dalam mana-mana program parti atau KOBAT di kawasan anda bagi mendapatkan maklumat.  KOBAT juga bersedia untuk bersama anda di dalam mana-mana program yang diaturkan.  Sebarang keterangan atau pertanyaan, sila hubungi kami di email zek_riy@yahoo.com

Sunday 8 April 2012

PESARA TENTERA MENDAPAT PERHATIAN DARI PKR INDERA MAHKOTA

Pemangku Ketua Cabang PKR Indera Mahkota, Sdr Lee Chean Chung bersama En Mazlan dan keluarga

Baru-baru ini, Pemangku Ketua Cabang KEADILAN Indera Mahkota, Sdr Lee Chean Chung bersama rakan-rakan seperjuangan telah melawat dan memberi sedikit bantuan kepada seorang pesara tentera darat (T196128) En. Mazlan B. Mohd Hussain. 
 
Beliau yang tenat kerana serangan kencing manis mengalami masalah penglihatan mata yang memerlukan RM1,600 untuk pembedahan pada bulan Mei dan juga serangan lemah jantung, masalah kulit dan juga sesak nafas. Dengan keadaan kewangan yang mendesak keretanya pun sudah dijual dan sewa rumah bulanan RM250 pun tidak dibayar selama dua tahun, sewa van sekolah tidak dibayar sejak awal tahun ini, kini tiada pendapatan untuk seisi keluarga seramai 5 orang termasuk 3 orang anak.
 
Beliau hanya memperolehi RM95 sebulan dari JKM dan tiada apa-apa dari kerajaan sebagai pesara tentera. Beliau amat memerlukan bantuan kewangan untuk keperluan harian seisi keluarga di samping perbelanjaan tambang teksi ke hospital, sewa rumah, perbelanjaan budak-budak sekolah dan lain-lain keperluan.
 
KOBAT menyeru kepada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan kewangan boleh berbuat demikian melalui Akaun En. MAZLAN B. MOHD HUSSAIN (K/P 650101-11-6825, T196128) - BSN 10041000154783. Lain-lain bantuan untuk keperluan harian juga boleh disampaikan melalui KOBAT di No Tel: 013-9410309 atau terus berhubung dengan Ketua Cabang Indera Mahkota Sdr Lee Chean Chung di Pejabat Khidmat Dun Semambu.

Thursday 5 April 2012

PANGKAT `KOLONEL KEHORMAT' UNTUK DATUK K? APA JASA BELIAU?



Di saat warga tentera dikatakan begitu sukar untuk dinaikkan pangkat, terpaksa menghadiri beberapa kursus dan ada yang berkali-kali menghadiri Lembaga Kenaikan Pangkat tetapi masih tidak dinaikkan pangkat atas beberapa sebab tertentu, tiba-tiba begitu mudah Menteri Pertahanan mengurniakan pangkat Kolonel Terhormat kepada Pengerusi Eksekutif Ace Global Ventures Sdn Bhd yang juga suami kepada penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. 

Menurut laporan sebuah portal berita, anugerah disampaikan pada majlis perhimpunan bulanan dan pemakaian pangkat kehormat di Dataran Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur baru-baru ini.  Apa jasa Datuk K ini?  Batalion atau Rejimen AW manakah yang beliau ketuai?  Adakah kerana `hubungan istimewa' beliau dengan Zahid Hamidi, maka semudah itu pangkat itu diberikan?  Adakah anugerah ini tidak melanggar peraturan yang ditetapkan?  

Amat malang sekali apabila pangkat di dalam ATM seperti begitu `murah' sekali.  Di mana letaknya kedaulatan pasukan beruniform kita jika sewenang-wenangnya pangkat ini diberikan tanpa kita perjelaskan apakah keistimewaan atau pengorbanan Datuk K selama ini terhadap ATM?  Apakah suatu hari nanti pelakun, artis mahupun Juara Lawak pun akan dikurniakan pangkat sebegini? /Sumber

Tuesday 3 April 2012

BEKAS TENTERA: BN KEHILANGAN UNDI TENTERA

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dan bukan pembangkang yang menyaksikan kemerosotan sokongan daripada mereka yang berkhidmat di dalam tentera, kata Persatuan Veteren Tentera Udara Diraja Malaysia.

Presidennya Shahrin Osman berkata, berdiam diri kerajaan ke atas kontroversi yang menyelubungi perolehan tentera boleh menyebabkan tindak balas pilihanraya. "Pembangkang memberitahu cerita-cerita ini, warga tentera dan bekas-bekas tentera akan mengundi untuk pembangkang," kata bekas Sarjan Penerbangan itu.

"Kerajaan harus menentang tuntutan-tuntutan ini dengan membuktikan kepada orang ramai apa yang mereka lakukan itu betul. Tetapi masalahnya tidak ada pendekatan dari kerajaan untuk mengatasi masalah ini, "katanya kepada FMT.

Beliau menjawab kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Abdul Latiff Ahmad yang memberitahu Parlimen semalam bahawa mempolitikkan isu perolehan peralatan tentera akan menyinggung perasaan warga tentera dan mereka pasti akan menyokong BN.

Shahrin juga berkata bahawa kebanyakan bekas anggota tentera tidak mempercayai media arus perdana, terutamanya Utusan Malaysia milik Umno.

"Saya hanya bercakap dengan sebahagian daripada mereka, dan mereka mengatakan mereka tidak membaca Utusan sekarang. Ia hanya membawa 'kisah-kisah manis' (dari kerajaan), "katanya.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Pakatan Rakyat telah mempersoalkan perolehan peralatan pertahanan kerajaan.

Ini termasuk salvos terhadap kapal selam Scorpene, RM9 bilion untuk enam Pertempuran Kapal pesisir (LCS), kira-kira RM2 bilion untuk Mindef projek IT, RM7.55 bilion untuk pembawa perisai dan perkara-perkara lain./FMT (Terjemahan dari B.Inggeris)

Monday 2 April 2012

KOBAT CERAMAH DI KERATUNG 6 - TENTERA DILARANG IKUTI CERAMAH POLITIK?

Pada 31 Mac 2012 baru-baru ini, bertempat di Markas PAS Keratung 6, Rompin, wakil KOBAT PKR Pahang Sdr Wfauzdin NS telah hadir berceramah bersama dengan Ketua Keadilan Cabang Rompin, Sdr Rabidin, Us Suhaimi (Ketua Penerangan Pas Kawasan) dan juga seorang kakitangan kerajaan yang juga Pegawai Khas MTD iaitu Sdr Zulkifli Md Tan. 


Wakil KOBAT telah berucap dengan menjelaskan beberapa isu di antaranya bagaimana warga tentera telah diberi arahan agar tidak mengikuti sebarang ceramah politik sedangkan mereka digalakkan untuk mengundi di dalam Pilihanraya.  Arahan ini jelas bertentangan dengan Perintah Majlis Angkatan Tentera Tahun 1973.

Beliau juga menyebut tentang isu di mana bekas kakitangan KEMAS yang pernah berkhidmat melebihi 5 tahun diberikan wang tunai `One Off' sebanyak RM3 Ribu kerana mereka dikatakan telah berjasa kepada kerajaan.  Bagaimana pula dengan bekas anggota tentera dan Polis yang pernah berkhidmat melebihi 5 tahun tetapi tidak berpencen?  Adakah mereka tidak pernah berjasa kepada negara?

Janji PR untuk memberikan tanah kepada bekas-bekas tentera yang layak sepatutnya diberi sokongan oleh bekas tentera dan warga tentera itu sendiri.  Begitu juga dengan isu keselamatan yang dianggap semakin tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan.  Bagaimana seorang awam, Blogger pro Umno yang terkenal dengan kisah-kisah fitnah seks di dalam Blog beliau boleh bebas memasuki kapal selam kepunyaan ATM baru-baru ini.

Berbagai-bagai isu lain juga turut dijelaskan oleh wakil KOBAT malam semalam termasuk isu-isu politik semasa.