JEMPUT JOIN KAMI

JEMPUT JOIN KAMI
Klik Logo Di Atas

Followers

RADIO ONLINE KOBATFM

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

Klik tunein untuk dengar melalui peranti mudahalih.

Sunday 29 July 2012

RAIS YATIM MENGAMPU TIDAK KENA TEMPAT

Lagu tema kemerdekaan paling buruk dalam sejarah negara


Najwan Halimi
Jul 29 2012

Saya tertarik untuk mengulas tentang lagu tema sambutan kemerdekaan negara ke-55 yang kini sedang hangat diperkatakan di kalangan rakyat khususnya anak muda Malaysia.

Jika diteliti respon dan sambutan di laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan laman-laman blog, ternyata lagu Janji Ditepati yang mana liriknya ditulis oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim ini diperlekeh dan dijadikan bahan jenaka oleh khalayak internet khususnya di kalangan anak-anak muda.

 
 
Semakan saya di laman YouTube mendapati, setiap video yang memaparkan lagu ini menunjukkan bilangan pengunjung yang mengundi untuk tidak menyukai (dislike) jauh lebih tinggi berbanding pengunjung yang mengundi untuk menyukai (like) video lagu ini.

Malang bagi lagu ini kerana bukan hanya susunan muzik dan melodinya yang cincai dan tidak teratur, bahkan apa yang jelas adalah lirik lagu ini secara tersurat bersifat propaganda picisan dan bertujuan untuk memesongkan minda rakyat dari menghayati matlamat sebenar sambutan ulangtahun kemerdekaan negara.

Bermula dari rangkap awal lagu ini yang mengungkapkan perumpamaan kabur -- "macam malam ikut siang, macam bulan ikut matahari" -- diikuti dengan "satu Malaysia terus berjuang, janji kita ditepati", pendengar pastinya gagal memahami apa sebenarnya yang cuba disampaikan menerusi lagu ini.

Apa kaitan malam, siang, Bulan dan Matahari dengan konsep 1Malaysia? Apakah 1Malaysia ini hanya retorik bersifat janji kosong sehingga objek-objek angkasa lepas seperti Bulan dan Matahari pun boleh ditawarkan kepada rakyat?

 
 
Maka dari rangkap awal lagi lirik pembukaan lagu ini sudah bermasalah dan gagal menyampaikan sebarang mesej kepada pendengar.

Pendengar kemudiannya akan dibuai dengan lirik perihal "janji dikota" (kononnya) dan kemudiannya bertemu dengan bait paling bermasalah iaitu "janji sudah ditepati, kini masa balas budi". Persoalan yang timbul adalah janji siapa yang sudah ditepati? Dan apa maksudnya "kini masa balas budi"?

Pendengar yang bijak pasti akan dapat memahami bahawa lirik ini secara tersirat bertujuan memerangkap minda khalayak seolah-olah Umno-BN (kerajaan sekarang) telah berjaya menepati janji dan kini telah sampai masanya rakyat (pendengar) supaya mengundi Umno-BN dalam pilihan raya umum akan datang sebagai membalas budi atas janji-janji tersebut.

Lantaran itu, timbul persoalan apakah kewajaran bagi sesebuah lagu yang seharusnya bertemakan penghayatan kemerdekaan diolah sebagai medium propaganda picis dan ditransformasikan menjadi lagu kempen untuk meraih undi dalam pilihan raya?


 
 
Pada bahagian korus pula, secara jelas dapat disimpulkan bahawa lagu ini sebenarnya adalah wahyu penguasa yang diturunkan sebagai ingatan kepada rakyat.

Ini berbeza dengan lagu-lagu tema sambutan kemerdekaan sebelum ini khususnya di era Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi yang lebih berteraskan unsur kekitaan dan kebersamaan di antara pelbagai lapisan rakyat.

Keseluruhan bahagian korus lagu ini jika diteliti sememangnya tiada langsung penzahiran elemen patriotisme dan penghargaan terhadap nikmat kemerdekaan yang dikecapi negara. Apa yang ditonjolkan hanya sekadar memuja-muja dan mengangkat retorik kosong janji 1Malaysia yang sehingga kini masih kabur dan mengelirukan.

Akhir sekali adalah pada rangkap 'rap' -- lirik yang mengisi rangkap akhir ini paling parah dan bersifat cacamarba. Entah apa yang bersarang dalam benak si penulis lirik sehingga terhasil bait-bait lirik yang lemah, dangkal dan membosankan.

Alangkah jeleknya bila mana lirik rap pada rangkap terakhir itu diselit dengan istilah (Bantuan Rakyat 1Malaysia) BR1M, klinik dan kedai yang berorientasikan retorik 1Malaysia.

Apa kaitan BR1M, klinik dan kedai dalam proses penyampaian mesej kemerdekaan dan semangat patriotisme kepada rakyat? Ini langsung tiada kena mengena dengan semangat patriotisme.

 
 
Dan paling memalukan adalah tatkala dihebahkan kepada khalayak bahawa penulis lirik lagu ini merupakan seorang yang memegang jawatan menteri dan bertanggungjawab menjaga portfolio kebudayaan.

Jelas, menerusi lagu ini, Umno-BN cuba untuk memanipulasi sentimen patriotisme bersempena sambutan ulangtahun kemerdekaan negara dengan menerapkan propaganda lekeh dalam usaha terdesak mereka untuk meraih undi menjelang PRU yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Tidak dapat tidak untuk disimpulkan bahawa tiada langsung sebarang elemen patriotisme di dalam lagu ini melainkan puja-pujian dan sanjungan melangit ke atas retorik 1Malaysia serta pujukan halus supaya rakyat terus mengekalkan kuasa di tangan Umno-BN.

Semangat kemerdekaan dan nilai patriotisme langsung tidak dirasai di dalam lagu ini.

Justeru, rakyat khususnya anak muda tidak wajar untuk terus membiarkan diri mereka dihenyak dan diperbodohkan oleh propaganda sempit ini.

Kemerdekaan seharusnya dirai dan dihargai dengan menghayati nilai patriotisme berasaskan semangat pencerahan yang tulen; bukannya dengan propaganda lapuk yang disandarkan pada sebuah lagu "kemerdekaan" paling buruk dalam sejarah negara./Malaysiakini

Friday 27 July 2012

SELAMAT MENYAMBUT HARI PAHLAWAN



Sumber: AffinBank

Rayuan Hari Pahlawan 2012 - Pahlawan Perkasa Rakyat Sejahtera

 Sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai 2012 bertujuan untuk memupuk semangat patriotik dan cintakan negara khususnya di kalangan masyarakat Malaysia supaya memperingati perjuangan dan pengorbanan para pahlawan negara dengan bertemakan "Pahlawan Perkasa Rakyat Sejahtera". 

 Rayuan Hari Pahlawan bermula dari Ogos hingga Oktober 2012 bagi mengumpul dana Tabung Kebajikan untuk bekas-bekas tentera dan keluarga mereka yang memerlukan, terutamanya keluarga prajurit yang terkorban demi mempertahankan negara. 

 Anda boleh menderma melalui affinOnline.com atau mana-mana cawangan AFFINBANK dan AFFIN ISLAMIC (Akaun: AFFINBANK 105950003201) 

 


BERTUAH RAKYAT SELANGOR - BONUS DAPAT, SIMPANAN PUN DAPAT

S'gor beri bonus setengah bulan, RM200 Simpanan Selangorku

Jul 26 2012

Kerajaan Negeri hari ini meluluskan pemberian bonus setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM500 kepada semua kakitangan awam Selangor bagi membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kerajaan Selangor juga memutuskan untuk memberi bonus tambahan dalam bentuk Simpanan Selangorku sebanyak RM200 kepada setiap kakitangan awam, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam satu kenyataan hari ini, menteri besar berkata, bagi yang beragama Islam, wang tersebut akan dimasukkan dalam Simpanan Tabung Haji.

"Manakala bukan beragama Islam akan diberikan dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN).

"Kedua-dua bonus ini akan dimasukkan dalam akaun kakitangan awam pada minggu hadapan," katanya.

Menteri besar berkata,Kerajaan Selangor memperuntukkan RM20 juta untuk pembayaran bonus dan bonus tambahan Simpanan Selangorku kepada kakitangan awam untuk tahun ini.

"Kerajaan negeri berharap bonus ini dapat meringankan beban penjawat awam untuk membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Pada masa sama, Kerajaan Selangor mahu menggalakkan kakitangan awam menabung demi masa depan," katanya./Malaysiakini

Saturday 21 July 2012

UCAPAN SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN DARI KOBAT


KOBAT mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh warga tentera dan bekas tentera serta perajurit yang berugama Islam.

Semoga dengan kehadiran bulan yang penuh dengan keberkatan ini akan dapat melatih kita untuk memperkuatkan kerja amal kita di dunia dan Akhirat.  Selamat Berpuasa dan Beramal Soleh.

Tuesday 17 July 2012

SYABAS SKUAD ATM BERJAYA KE LIGA SUPER

KOBAT mengucapkan tahniah dan syabas kepada Skuad ATM yang telah berjaya menempatkan diri ke dalam Liga Super mulai tahun hadapan. Sejarah terukir buat ATM dan kami mengharapkan ATM juga mampu menjulang Piala Malaysia selepas ini. Diharapkan semua warga ATM dan bekas-bekas tentera memberikan sokongan padu pada setiap perlawanan yang melibatkan Skuad ATM selepas ini. Kerjasama setiap pasukan tentera yang berdekatan dengan stadium tempat perlawanan melibatkan ATM agar dapat mengerahkan anggota masing-masing hadir ke stadium untuk memberikan sokongan padu. Syabas ATM.

Tuesday 3 July 2012

CERAMAH KOBAT - WARGA TENTERA BAKAL BUAT KEJUTAN DI DALAM PRU AKAN DATANG

WFAUZDIN NS - Wakil dari KOBAT sedang berucap
Saya dari KOBAT PKR Pahang telah dihubungi oleh Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Dato' Kamarul Baharin Abas meminta KOBAT untuk hadir berceramah di kawasan penduduk majoritinya adalah di kalangan bekas-bekas tentera dan di kawasan berhampiran kem tentera iaitu di Batu 4, Port Dickson pada 30 Jun yang lalu.

Bersama Sdr Rafizi Ramli - Pengarah Strategi KEADILAN Pusat
Port Dickson telah diberi gelaran baru iaitu 'Bandar Tentera Darat' semenjak kempen PRK Bagan Pinang yang lalu. Tidak tahu dari aspek mana Port Dickson boleh dikenali sebagai 'Bandar Tentera Darat' walaupun berbagai perkara telah dijanjikan sewaktu kempen PRK di Bagan Pinang yang telah menyaksikan Isa Samad terpilih menjadi Adun di situ. Bandar kecil yang sepi sepanjang malam ini masih kekal seperti dahulu.

Program ceramah malam itu sememangnya dikhususkan untuk membicarakan soal-soal kebajikan anggota-anggota tentera dan pesara-pesara tentera termasuk juga isu-isu keselamatan negara yang mana dipertanggungjawabkan kepada Angkatan Tentera. Walaupun penceramah utama yang dijemput iaitu bekas Pegawai Kanan tentera, Brig Jen (B) Hadi tidak dapat hadir atas sebab kesihatan, program malam itu tidak sia-sia apabila tokoh muda yang banyak menyelongkar penyelewengan pimpinan Umno, Sdr Rafizi Ramli (Pengarah Strategi KEADILAN Pusat) telah hadir bersama.

Wakil KOBAT, memulakan ceramah dengan menceritakan tentang sumpah setia anggota tentera sewaktu mula-mula menyertai tentera. Kesetian anggota tentera hanya kepada dua iaitu kepada Yang DiPertuan Agong dan Negara, yakni menentukan tiada ancaman musuh terhadap kedua-duanya. Tiada kesetiaan kepada Umno/Bn di dalam sumpah setia tersebut.

Pada tahun 1993, merupakan tahun di mana pemimpin-pemimpin Umno begitu rakus melanyak raja-raja. Tidak cukup dengan itu, mereka telah menggunakan semua media di bawah kawalan mereka untuk mengaibkan raja-raja. KOBAT telah memberikan beberapa contoh tentang kerja jahat pemimpin Umno ketika itu mengaibkan raja-raja, termasuk oleh Zahid Hamidi yang sekarang ini menerajui Kementerian Pertahanan. Paling tragis berlaku di Terengganu tahun 2008 di hadapan istana, Sultan Terengganu yang ketika itu menjadi Yang DiPertuan Agong telah dihina dengan tulisan pada banner menggelar Tuanku sebagai `Natang' (Binatang) angkara keengganan istana menerima Idris Jusoh sebagai MB Terengganu.

Apakah tentera dapat menunaikan sumpah setia mereka untuk menjaga raja-raja dan Yang DiPertuan Agong? Tiada apa yang mampu dilakukan kerana kuasa raja telah dirampas oleh pemimpin politik yang rakus ini.

Selain dari isu tersebut, KOBAT juga membawa isu pengundi pos yang sehingga kini tidak meyakinkan dalam aspek ketelusannya. Mengundi di dalam kawasan kem, mengundi awal kemudiannya kertas-kertas undi akan disimpan untuk beberapa hari tanpa dijumlahkan terlebih dahulu di tempat pembuangan undi pastinya menimbulkan keraguan. Warga tentera seharusnya hadir mengundi tanpa memakai pakaian seragam tentera seperti yang digariskan di dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) Tahun 1972, Fasa 3 (8).

KOBAT turut menerangkan soal peraturan berpolitik buat warga tentera. Ramai warga tentera merasa bimbang untuk hadir di dalam ceramah-ceramah politik khususnya dari PR. Ramai di antara mereka tidak menyedari bahawa di dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) Tahun 1972, Fasa 3 (7) dengan jelas menyebut bahawa warga tentera DIBENARKAN hadir di dalam ceramah-ceramah politik asalkan;

1. Bukan di dalam waktu bertugas.

2. Tidak memakai pakaian seragam tentera atau menggunakan kenderaan tentera.

3. Tidak melibatkan diri di dalam berkempen atau gerak kerja parti.

Selain itu, tawaran di dalam Buku Jingga juga turut memberi manafaat kepada warga tentera dan bekas-bekas tentera, contohnya seperti penurunan harga minyak, penghapusan Tol, gaji minima dan sebagainya. PR juga menawarkan pemberian tanah kepada bekas-bekas tentera yang tidak mempunyai tanah untuk mendirikan rumah kediaman mereka. Ertikata lain, PR tidak mahu melihat bekas-bekas tentera ini merempat setelah mereka tidak lagi berkhidmat di dalam tentera.

Isu kepentingan keselamatan juga turut diperkatakan. KOBAT melihat sekarang ini aspek keselamatan khususnya di kem-kem tentera masih lemah. Sewajarnya kem-kem tentera sekarang ini dibekalkan dengan peralatan canggih sesuai dengan keadaan sekarang agar tidak begitu mudah kem-kem tentera diceroboh seperti di dalam beberapa kes yang lalu.

Sdr Rafizi juga menyentuh isu keselamatan negara. Beliau mendakwa bahawa Najib bertanggungjawab di dalam skandal penjualan dokumen sulit pertahanan negara ke pihak luar di dalam isu Scorpene yang kini sedang dibicarakan di Perancis.

Amat membanggakan, program malam itu mencapai objektifnya di mana majoriti yang hadir adalah terdiri dari warga tentera dan bekas-bekas tentera. Seorang rakan saya, bekas tentera yang menetap di situ berkata beliau akan memohon sekali lagi KOBAT untuk hadir memberikan penerangan di kawasan ini sebelum PRU akan datang memandangkan keghairahan warga-warga tentera di sini untuk menukar kerajaan yang ada sekarang.

Bagi kami di dalam KOBAT, sudah tentu kami bersedia membantu mana-mana pihak asalkan matlamat kita sama iaitu untuk membantu warga tentera dan bekas tentera ini dengan cara menjatuhkan kerajaan Umno/Bn secara demokratik iaitu melalui pilihanraya. Cuma, tumpuan dan fokus KOBAT PKR Pahang sekarang ini sudah tentu di negeri Pahang yang tidak kurang banyaknya penempatan tentera dan bekas tentera. KOBAT bukan sahaja bergerak melalui ceramah, tetapi kami juga mengadakan hubungan dengan warga tentera melalui kaedah kami sendiri. Kami yakin, warga tentera terutamanya akan melakukan perubahan besar di dalam PRU akan datang, InsyaAllah.

Monday 2 July 2012

KEM TENTERA KITA TEMPAT SOROK PELARIAN?

Bakal menantu Najib dari Kazakhstan lari ke Malaysia?







KUALA LUMPUR 29 Jun: Beberapa blog dan facebook memberi gambaran Daniyar Nazarbayev – bakal menantu Perdana Menteri, berada di negara ini berdasarkan dua gambar yang tersebar di internet.

Ia memaparkan seorang individu lelaki menyerupai Daniyar, menjalani latihan ketenteraan dan lengkap berseragam seakan-akan tentera Malaysia.

Sedangkan, keluarga Daniyar Nazarbayev sebelum ini menyatakan Daniyar mendaftar di Sandhurst Military College, sebuah kolej ketenteraan berprestij.

 
 
Namun, gambar itu menunjukkan seolah-olah Daniyar berada di Malaysia, malah ada pendapat menyatakan ia dirakam di kem askar Port Dickson.

Kesahihan gambar berkenaan berkenaan belum dapat dipastikan tetapi Najib sehingga kini tidak pula membuat sebarang penafian.

Sebelum ini, Daniyar – mengikut laporan New York Post dan media antarabangsa lain, menipu bapa tirinya, Bolat Nazarbayez seunit kondominum mewah berharga AS$20 juta (RM60 juta).

Mengikut media berkenaan, ia berdasarkan dokumen mahkamah yang difail di Mahkamah Agung Manhattan, Amerika Syarikat manakala Daniyar kemudian dilapor menghilangkan diri.

Daniyar bertunang dengan Nooryana Najwa Jun tahun lalu. Ibunya, Maira Nazarbayev – bakal besan Najib pula dipercayai ditangkap di Dubai ketika dalam perjalanan ke Eropah.

Sumber yang dipetik portal berita tempatan, Free Malaysia Today melaporkan, Maira ditahan Jumaat lalu oleh polis Dubai ekoran notis daripada Interpol.

Dalam New York Post juga, Maira dikehendaki pihak berkuasa kerana terlibat dalam kes jenayah termasuk penculikan dan peras ugut.

Gambar Daniyar yang dikatakan berada di Malaysia boleh diakses di sini