JEMPUT JOIN KAMI

JEMPUT JOIN KAMI
Klik Logo Di Atas

Followers

RADIO ONLINE KOBATFM

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

Klik tunein untuk dengar melalui peranti mudahalih.

Saturday 25 February 2012

HIMPUNAN HIJAU 26 FEB - MENYUSAHKAN WARGA TENTERA ANGKARA ORANG POLITIK?

Baru dua tiga hari lepas askar dapat gaji.  Seperti biasa sudah tentu yang bujang mempunyai perancangan untuk keluar makan atau berhibur bagi melegakan tekanan diwaktu kerja di hujung minggu ini.  Bagi yang sudah berkeluarga pula, ada yang bercadang untuk keluar bandar membeli barang-barang keperluan dapor atau bercadang untuk membawa keluarga berjalan-jalan di hujung minggu.

Namun, semua ini agak terencat buat warga tentera sekitar Kem Batu 10, Kuantan.  Angkara Perhimpunan Hijau 2.0 pada 26 Feb ini (Ahad) dan sebelum itu pada malam ini (Sabtu -25 Feb) DS Anwar Ibrahim akan berceramah di Kuantan, maka diberitakan bahawa semua anggota tentera yang masih bujang tidak dibenarkan keluar kem mulai hari ini sehingga Ahad ini.  Bagi yang sudah berkeluarga pula, mereka dihadkan kawasan yang boleh mereka tuju iaitu sekitar Pasaraya Giant, Kuantan sahaja.

Lebih menarik lagi, difahamkan hari ini mungkin akan diadakan latihan bersama anggota-anggota tentera dengan Pasukan FRU.  Latihan itu memang baik dan patut diadakan selalu.  Persoalannya, mengapa hari ini?  Adakah kerana esoknya rakyat akan berhimpun di Padang MPK 4, Kuantan?

Ada sahabat yang merungut kerana beliau masih tidak faham mengapa sampai begitu sekali warga tentera dilibatkan di dalam Himpunan Hijau pada hari Ahad nanti?  Mungkinkah akan ada rusuhan atau kacau bilau apabila rakyat berhimpun secara aman membantah projek Lynas dan menyokong keselamatan alam sekitar?  Kebenaran dari pihak Polis telah diperolehi oleh pihak Penganjur maka tiada sebab mungkin berlakunya kekecohan sehingga pihak tentera terpaksa bertindak sedemikian. 

KOBAT merasakan, pihak kem tidak perlu menyusahkan warga tentera hanya dengan isu sebegini.  Lebih-lebih lagi amat malang sekiranya mereka hanya menurut arahan orang politik yang kini semakin takut dengan kebangkitan rakyat sekarang.  Hakikatnya, rakyat Pahang dan seluruh negara majoritinya menolak Lynas dan mereka akan terjemahkannya di dalam PRU akan datang.

Kami percaya, bukan sedikit warga tentera yang tahu implikasi Lynas yang akan bertapak di bumi Pahang ini.  Tindakan pihak kem yang dianggap terlalu mengongkong warga tentera akan menjadikan mereka seperti `robot' yang tidak tahu berfikir.  Isu Lynas bukan isu politik, ini harus difahami oleh pemerintah kem.  Adakah ada arahan dari orang besar di Pekan yang kini berkuasa di Putrajaya?

Kepada warga tentera, anda harus berfikir adakah anda mahu selama-lamanya dikawal oleh orang-orang politik seperti ini?  Tiada jalan lain, anda perlu mengubahnya melalui hak anda di dalam PRU akan datang.

Thursday 23 February 2012

HIMPUNAN HIJAU 2.0 - WARGA TENTERA MUNGKIN DI `KUARINTIN'?

Beberapa orang warga tentera telah bertanyakan soalan, " Bolehkah kami hadir di dalam Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan di Padang MPK 1 Kuantan pada pagi 26 hb Feb ini nanti?".  Kita telah dimaklumkan bahawa pada tarikh tersebut akan diadakan Himpunan Hijau 2.0 yang berthemakan menentang segala bentuk projek yang menjejaskan kesihatan dan keselamatan rakyat.

Isu utama di Pahang sekarang ada isu penentangan rakyat terhadap projek Lynas.  Walaupun isu ini kelihatannya dijuarai oleh pemimpin Pembangkang terutamanya oleh Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh bersama-sama beberapa gabungan NGO, namun hakikatnya isu ini bukan isu politik semata-mata.  Buktinya, tidak sedikit pimpinan dan ahli-ahli politik dari komponen Bn sendiri yang menentang projek ini terutamanya dari MCA sendiri.

Bagi menjawab persoalan yang diutarakan tadi, kami ingin memaklumkan bahawa Himpunan Hijau 2.0 pada 26hb Feb ini nanti adalah merupakan satu perhimpunan menentang sebarang projek yang menjejaskan kesihatan dan keselamatan rakyat.  Perhimpunan ini bukan perhimpunan atau demontrasi menentang Kerajaan.  Justeru itu, tidak menjadi satu kesalahan jika warga tentera yang prihatin dengan aspek keselamatan dan kesihatan untuk turut bersama-sama menyuarakan bantahan mereka.

Apakah pihak kem tentera merestui warga mereka untuk sama-sama terlibat?  Ini persoalan yang harus difikirkan dahulu.  Di dalam situasi sekarang, kami merasakan terdapat tekanan kepada pemerintah kem untuk melarang warga tentera menyertai perhimpunan ini.  Bahkan, tidak mustahil pemerintah kem akan mengeluarkan arahan `perintah berkurung' kepada warga tentera pada hari tersebut atas alasan `siap siaga' atas sebarang kemungkinan.

Jika ini benar-benar berlaku, amat malang sekali kerana warga tentera seolah-olah tidak diberi pilihan untuk menyuarakan hasrat mereka secara baik.  Harus diingat, warga tentera sekarang bukan seperti warga tentera di zaman 50-60-an.  Warga tentera sekarang rata-ratanya mempunyai pendidikan yang tinggi paling kurang adalah SPM, malahan mereka kini mempunyai kebolehan untuk mencari maklumat melalui internet.  

Sehubungan itu, kami mengharapkan agar pihak pemerintah kem lebih bertoleransi di dalam hal ini.  Kita sepatutnya berbangga jika terdapat segelintir warga tentera yang peka dan prihatin dengan isu-isu semasa yang secara langsung melibatkan kehidupan mereka juga.  Jangan kurung mereka.

Tuesday 21 February 2012

LEMBAGA TABUNG ANGKATAN TENTERA (LTAT) - SUATU PERSOALAN

Dari Sumber: Facebook

Kepada sahabat2 terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).  Baca dan Fahamilah berkaitan Caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). 
 

 
1. Semua peringkat anggota LLP ATM iaitu Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut adalah wajib untuk mencarum LTAT yang mana ia terdapat di dalam Laporan Tan Sri Sheikh Abdullah (TSSA 1972) dan AKTA LTAT 101 Tahun 1973 yang telah diluluskan dan anggota LLP ATM mula diwajibkan (dalam erti kata DIPAKSA) mencarum LTAT bermula pada tahun 1973 dan pegawai ATM pula diberi pilihan secara sukarela. 
 
2.  LTAT juga menyatakan bahawa anggota LLP ATM yang menamatkan perkhidmatan (berhenti) 12 / 15 dan 18 tahun layak mendapat duit caruman ahli dan caruman kerajaan serta bonus dari LTAT. Bagi anggota LLP ATM yang menamatkan perkhidmatan (bersara) 21 / 22 dan 25 tahun hanya layak mendapat duit caruman ahli sahaja serta bonus dari LTAT. Manakala duit caruman kerajaan serta bonus di kembalikan semula kepada kerajaan untuk melabur bagi tujuan membayar pencen anggota LLP ATM.  Ini adalah tidak adil bagi semua anggota LLP ATM sekiranya duit caruman kerajaan serta bonus tidak diberikan kepada semua LLP ATM yang berjaya menamatkan perkhidmatan (bersara) 21 / 22 dan 25 tahun sepertimana yang diperolehi oleh anggota LLP ATM yang tidak berjaya menamatkan perkhidmatan (berhenti) 12 / 15 dan 18 tahun. 
 
3. Dimanakah keistimewaan yang sepatutnya diberikan kepada anggota LLP ATM yang berjaya menamatkan perkhidmatan (bersara) 21 / 22 dan 25 tahun dan memberikan penuh taat setia kepada ATM , kerajaan dan AGONG berbanding dengan anggota LLP ATM yang hanya berkhidmat 12 / 15 dan 18 tahun sahaja dan layak pula mendapat keistimewaan penuh daripada kerajaan iaitu caruman kerajaan serta bonus dari LTAT?
 
4. LTAT menjelaskan bahawa pegawai-pegawai ATM iaitu Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut, pegawai-pegawai ATM boleh diberikan pilihan sama ada berminat atau tidak berminat untuk mencarum LTAT dan ini tidak sama seperti anggota LLP ATM yang diwajibkan (dalam erti kata DIPAKSA) mencarum LTAT.  Tetapi apabila pegawai-pegawai yang menamatkan perkhidmatan (bersara) umur 45 / 50 /53 / 55 dan 58 tahun pegawai-pegawai tersebut juga dibayar pencen tiap-tiap bulan untuk selama-lamanya dan Ganjaran daripada kerajaan (Gredtiuti) sedangkan ada di antara mereka tidak pernah mencarum di dalam LTAT.  Dari mana datangnya peruntukan pencen mereka yang tidak pernah mencarum itu, sedangkan difahamkan bahawa untuk LLP pembayaran pencen mereka adalah dari wang LTAT (caruman Kerajaan)?
 
 5. Ini bermakna bayaran pencen kepada Pegawai dan LLP ATM ada peruntukannya oleh KERAJAAN MALAYSIA tetapi mengapakah perkara ini tidak dibahagikan dengan adil kepada anggota LLP ATM terutama yang berpencen?
 
6.  Mengapakan wujudnya perbezaan di antara anggota LLP ATM yang menamatkan perkhidmatan (berhenti) 12 / 15 dan 18 tahun dengan anggota LLP ATM yang menamatkan perkhidmatan (bersara) 21 / 22 dan 25 tahun didalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Pegawai ATM berkaitan keistimewaan caruman Lambaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) iaitu caruman kerajaan serta bonus di dalam Lambaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ?
 
7.  Sekiranya Kementerian Pertahanan mengambil berat terhadap kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pihak kementerian mestilah mengkaji semula berkaitan caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan keistimewaannya./
 
ULASAN KOBAT

1.  Sewajarnya caruman KWSP diberikan sepenuhnya kepada semua pesara ATM (berpencen) kerana alasan Caruman Kerajaan di dalam LTAT itu untuk faedah pembayaran pencen samasekali tidak masuk akal.  Buktinya, dari mana sumber kewangan untuk pembayaran pencen buat Pegawai ATM yang tidak mencarum di dalam LTAT?  Ertinya, Kerajaan sememangnya mempunyai peruntukan untuk membayar pencen semua kakitangan kerajaan termasuk tentera dan tiada kaitan dengan LTAT.  Oleh itu, mengapa perlu diadakan potongan/caruman Kerajaan di dalam LTAT?

2.    Bagi menggalakkan anggota tentera berkhidmat sehingga tempoh bersara, maka wajar mereka diberi keseluruhan caruman LTAT mereka termasuk faedah-faedah yang lain.  Manakala bagi mengurangkan pemberhentian awal (tidak berpencen), maka anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan awal tersebut hanya diberikan sebahagian caruman KWSP mereka beserta faedah-faedah lain yang wajar.
 
 

MENGAPA WARGA TENTERA TAKUT UNTUK BERPOLITIK?

Adalah sesuatu yang malang bagi seseorang warga tentera sekiranya mereka tidak tahu hak mereka untuk berpolitik.  Di dalam ertikatanya, walaupun warga tentera DILARANG menyertai mana-mana parti politik samada parti yang menyokong Kerajaan mahu pun parti Pembangkang, namun hak mereka untuk mengambil tahu dasar dan perjuangan parti-parti politik adalah dibenarkan.

Kebanyakan warga tentera tidak tahu dan tiada sesiapa pun yang suka memberitahu kepada mereka bahawa warga tentera DIBENARKAN bercerita, mendengar atau mengulas berkaitan dasar dan perjuangan parti-parti politik dengan SYARAT mereka TIDAK BOLEH berkempen untuk mana-mana parti.  Ini jelas disebut di dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) yang MELARANG warga tentera menjadi Ahli atau berkempen bagi pihak parti politik atau pun membantu gerak kerja parti-parti politik.  Namun, tidak menjadi satu kesalahan buat mereka untuk hadir di dalam mana-mana majlis atau program penerangan parti-parti politik sekadar untuk mereka mengetahui perkembangan politik semasa dan dasar-dasar yang ingin diperjuangkan oleh parti-parti berkenaan asalkan di luar waktu bertugas tanpa memakai pakaian seragam tentera.

Warga tentera dibenarkan mengundi untuk memilih mana-mana parti yang mereka yakini boleh menguruskan negara ini dengan baik.  Sehubungan itu, mana mungkin mereka boleh buat pilihan sekiranya mereka tidak mengetahui dasar dan perjuangan parti-parti yang ada.  Apatah lagi, media-media yang dikawal oleh Kerajaan sering menyiarkan berita yang berat sebelah dan ruang buat parti selain dari parti Kerajaan tidak diberikan.  Justeru itu, amat penting buat warga tentera keluar mencari maklumat agar mereka tidak terpedaya dengan propaganda media yang sedia ada.

Di zaman IT ini, maklumat boleh diakses dengan mudah.  Melayari internet dengan membuka blog-blog parti politik serta Facebook boleh membantu memperluaskan pengetahuan politik mereka.  Hilangkan perasaan takut untuk mengetahui maklumat berkaitan politik kerana perasaan takut itu akan menyebabkan mereka tersilap membuat pilihan.

Monday 20 February 2012

TIM BOLA SEPAK ATM HEBAT - DI MANA ATM DAPAT PERBELANJAAN LUMAYAN MEMBAWA PEMAIN-PEMAIN HEBAT ITU?

Pasukan Bola Sepak ATM yang kini berada di Liga Perdana, merupakan satu pasukan yang terkuat di dalam liga tersebut.  Tidak mustahil ATM akan berjaya berada di dalam Kumpulan Liga Super tahun hadapan memandangkan pasukan ini memiliki beberapa `Bintang' hebat termasuk pemain `import' mereka.
Bruno Sebastian
Marlon Alex James

Di antara pemain yang dibeli oleh ATM dengan jumlah yang dikatakan agak lumayan adalah seperti Hairuddin Omar (Hi-O) dan pemain kembar Aidil serta Zaquan.  Kita memuji langkah ATM untuk mempertingkatkan prestasi dan kedudukan pasukan ATM agar sebaris dengan beberapa pasukan ternama seperti Kelantan, Terengganu, Selangor mahu pun Negeri Sembilan.  Sudah semestinya warga ATM akan teruja untuk melihat aksi ATM bermain di Perlawanan Akhir dan paling kurang mampu membawa sebuah Piala di dalam kancah Liga Bola Sepak negara ini.

Hairudin Omar (Hi-O)
Aidil Zafuan
Zaquan Adha

Namun demikian, beberapa persoalan di kalangan warga ATM adalah di mana sumber ATM perolehi bagi membiayai perbelanjaan lumayan dengan membawa masuk beberapa pemain hebat tersebut?  Sehingga kini, mereka tidak pasti di manakah sumber kewangan ATM.  Adakah ATM menggunakan peruntukan kewangan yang diperolehi dari LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera) atau melalui Koperasi Tentera?  Mungkin juga ATM memperolehi tajaan dari mana-mana pihak tanpa menggunakan dana tabungan warga tentera?

Kita mengharapkan pengurusan ATM dapat memberikan penjelasan agar segala keraguan dapat dihilangkan.  Selamat maju jaya Tim Bola Sepak ATM.

Tuesday 14 February 2012

CALON PR DI KAWASAN KEM TENTERA DIWAKILI OLEH BEKAS TENTERA?

Di dalam `posting' yang lepas, saya telah menulis di SINI tentang Sistem Undi Pos, di mana saya lebih menumpukan beberapa perkara yang harus dipertimbangkan oleh SPR dan mesti diberi perhatian oleh Pakatan Rakyat sendiri.

Di antara lain, perkara penting yang dicadangkan adalah agar kiraan jumlah undi pos mestilah dilakukan oleh SPR sebaik sahaja tempoh pengundian ditutup.  Kiraan tersebut mestilah dilakukan di tempat pengundian dengan disaksikan oleh wakil-wakil calon yang bertanding, direkodkan kemudiannya jumlah undian hanya akan dicamporkan dengan jumlah undian orang awam pada hari perjumlahan undian.  Ini adalah bagi mengelakkan sebarang keraguan akan berlakunya penipuan sekiranya kertas undi disimpan untuk beberapa hari.

Di dalam artikel yang disebutkan di atas, saya tertarik dengan cadangan seorang pembaca agar Pakatan Rakyat meletakkan calon di kalangan bekas tentera yang layak bertanding di kawasan-kawasan yang terdapatnya pengundi pos yang ramai.  Cadangan ini dianggap releven kerana Pakatan Rakyat mesti menunjukkan komitmen tinggi untuk membela warga tentera dan bekas-bekas tentera kerana mereka dilihat lebih rapat dengan permasalahan pasukan keselamatan itu.

Justeru itu, saya mencadangkan agar bekas-bekas tentera dan Polis untuk bergiat aktif di dalam gerak kerja bersama Pakatan Rakyat samada melalui KERABAT yang diterajui oleh PAS mahupun KOBAT yang diterajui oleh PKR.  Sekiranya bekas-bekas tentera dapat bergiat aktif di dalam parti, maka tidak mustahil cadangan untuk meletakkan calon di kalangan bekas-bekas tentera atau Polis akan menjadi kenyataan.

Saturday 11 February 2012

SISTEM UNDI POS - JUMLAH UNDI TENTERA/POLIS MESTI DIKIRA AWAL

Sistem Undi Pos di dalam Pilihanraya di negara ini lazimnya digunakan terutamanya oleh warga tentera dan Polis.  Sistem ini asalnya bagi membolehkan seseorang warga tentera/Polis membuang undi di dalam Pilihanraya walaupun ketika mereka berada di lokasi latihan/operasi atau pun penugasan di luar negara.

Sekiranya undi pos ini digunakan kepada mereka yang terlibat di dalam latihan/operasi di luar kem sewaktu Pilihanraya diadakan maka ada kewajarannya dipraktikkan.  Namun apa yang berlaku sebelum ini, sistem ini digunakan juga kepada semua warga tentera/polis yang bertugas di dalam kem/pengkalan masing-masing.  Oleh yang demikian, PR mahu agar sistem ini dimansuhkan apatah lagi terdapat beberapa aduan yang menyebut bahawa sistem undi pos tidak telus.


Sekiranya sistem ini masih mahu digunapakai lagi, sewajarnya beberapa perkara perlu dilakukan agar sistem undi pos benar-benar dilihat telus mewakili kehendak warga tentera/polis yang membuang undi. Di antara perkara penting yang mesti dilakukan adalah seperti berikut; 

1.  Bagi mereka yang berada di kem/pengkalan, pengundian hendaklah dilakukan di luar kawasan kem yang ditetapkan oleh SPR dan waklil-wakil calon atau calon sendiri dibenarkan berada di tempat pengundian.

2.  Bagi mereka yang berada di lokasi latihan/operasi di luar kawasan, mereka hendaklah membuang undi di lokasi mereka dengan diawasi oleh Pegawai/anggota tentera dari JRP (Jabatanarah Rekod dan Pencen) yang dilantik oleh SPR.  Wakil calon juga perlu dimaklumkan lokasi tempat mereka membuang undi dan mereka diberi pilihan samada mahu hadir atau tidak sewaktu pengundian.

3.  Paling penting, selepas semua undian selesai dijalankan maka pengiraan jumlah undian mestilah dilakukan pada hari itu juga dengan disaksikan oleh wakil calon.  Jumlah undi akan dicatatkan oleh setiap wakil calon.  

4.  Jumlah undi yang telah dikira hendaklah disahkan oleh setiap wakil calon dan SPR, kemudian jumlah tersebut hanya akan dicamporkan dengan jumlah keseluruhan undian oleh orang awam pada hari pengundian sebenar di Dewan Perjumlahan Undi yang ditetapkan.

Perjumlahan undian mestilah dilakukan sebaik sahaja semua warga tentera/polis ini membuang undi bagi mengelakkan penipuan jumlah undi sekiranya kertas undian ini disimpan selama satu atau dua hari sebelum orang awam mengundi.

Adalah diharapkan sistem undi pos di dalam PRU akan datang bebas dari keraguan samada oleh mana-mana parti mahu pun oleh warga tentera/polis itu sendiri.

Friday 10 February 2012

APA SUDAH JADI DENGAN BEKAS PENGARAH KAGAT INI?

Sebelum ni RM700,000 dah lesap. Kini RM800,000 akan lesap lagi. Yang dah lesap taktau banyak mana dah.


 
Pendedahan penyalahgunaan wang zakat yang dikait dengan Datuk Seri Jamil Khir Baharom menimbulkan tanda tanya berikutan perbelanjaan Yayasan Taqwa sebanyak RM800,000 tidak dilapor dalam Laporan Tahunan 2010 Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pengarah Pasukan Khas Zakat Dewan Pemuda PAS Malaysia, Kamaruzaman Mohamad berkata, perbelanjaan pengurusan yayasan itu juga tidak munasabah kerana mencecah RM2 juta.

Mengikut laporan tahun 2010 MAIWP, beliau berkata, pendapatan Yayasan Taqwa ialah RM7.78 juta manakala perbelanjaan RM6.98 juta tetapi RM800,000 tidak dilapor dalam laporan.

Memetik HarakahDaily, katanya, belanja pengurusan itu sangat tinggi, tambahan pula yayasan itu hanya mempunyai seorang pengurus besar dan 17 kakitangan sahaja.

“Mengikut peratusan penyaluran zakat Yayasan Taqwa kepada asnaf, didapati agihannya ialah RM4.98 juta atau 64 peratus manakala kos pengurusan RM2 juta atau 36 peratus.

“Kenapa peratusan penyaluran agihan hanya 64 peratus sedangkan ramai tidak mendapat bantuan,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut di sini, hari ini.

Kamaruzaman – Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berkata, laporan lengkap tahunan Yayasan Taqwa juga tidak disertakan dalam laporan tahunan MAIWP.

Beliau berkata, yayasan itu ialah agensi bawah MAIWP yang ditubuh pada 1990 dan dipengerusikan Jamil Khir selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menjaga hal ehwal agama.

“Kami mendesak Jamil Khir jawab. Ke manakah wang RM800,000 yang tidak dilapor dalam laporan tahunan 2010 itu dibelanjakan?” katanya.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga, katanya, mendesak Jamil Khir menjelaskan mengapa perbelanjaan pengurusan Yayasan Taqwa mencecah RM2 juta.

“Semua ini dijelaskan segera dan terperinci. Sekiranya dikatakan wang yang dibelanjakan itu bukan wang zakat, sila jelaskan dengan terperinci,” katanya.

Beliau turut mendesak pihak terbabit melantik satu badan bebas untuk mengaudit kewangan Yayasan Taqwa secara menyeluruh.

Sebelum ini, Jamil Khir turut didakwa menyalahgunakan wang Yayasan Taqwa untuk program politik di Kedah.

Beliau juga dipalit skandal penggunaan wang zakat kira-kira RM65,000 sebagai kos guaman untuk menghalang permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Saiful Azlan Bukhari./Siasahkini

Sunday 5 February 2012

TUNTUTAN KERABAT UNTUK KEBAIKAN BEKAS TENTERA

KERABAT (Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia) yang dipimpin oleh  Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar adalah satu pertubuhan yang diwujudkan bersama Pakatan Rakyat.

Pada awal bulan Okt tahun lalu, KERABAT telah mengadakan perhimpunan bersama pimpinan PR bertempat di Stadium Tertutup Subang Jaya, Serdang Jaya di satu memorandum telah diserahkan kepada Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang.  Turut hadir adalah Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah serta beberapa pimpinan PR yang lain. 
Memorandum KERABAT diserahkan kepada Presiden PAS

Di dalam memorandum yang diserahkan, terdapat 8 tuntutan KERABAT kepada PR sekiranya parti gabungan ini berjaya mengambil alih Putrajaya.   Memorandum menyenaraikan lapan tuntutan tersebut seperti berikut;

1.  Memperkasakan NGO itu di bawah kerajaan pusat dan negeri serta bertanggungjawab memberikan khidmat nasihat kepada kebajikan untuk mempastikan khidmat balas jasa dan kebajikan veteran Angkatan Tentera (ATM) dan tanggungan.

2.  Mengambil alih dan memperkemaskan dasar dan urustadbir Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Syarikat Perumahan Angkatan Tentera (SPAT).
3.  Memberikan keutamaan kepada kebajikan tentera, veteran, balu-balu dan anak-anak yatim tentera khususnya dalam pemilikan tanah Felda Plantation dan rumah mesra rakyat.

4.  Melaksanakan bantuan pendidikan sepanjang hayat secara percuma kepada tentera, balu dan tanggungan mereka.

5.  Memberikan rebet 50 peratus untuk bayaran api dan air bagi setiap premis kediaman kepada tentera dan bekas tentera sepanjang hayat.

6.  Pelarasan kenaikan gaji dan pencen sebanyak RM500 sebukan kepada semua tentera dan veteran serta imbuhan khas sebanyak RM500 setiap bulan kepada bekas tentera yang tidak berpencen.

7.  Setiap anggota tentera dan pesara tentera dikecualikan dari cukai untuk pendapatan gaji dan pencen kerajaan.

8.  Memberikan peruntukan dana khas dan merancang plan dasar penempatan Bandar Baru Veteran yang lengkap dengan prasarana latihan medan tempur untuk bekas tentera agar ketrampilan kepakaran semasa berkhidmat dapat dikekalkan.
KOBAT menyokong penuh semua tuntutan di atas dengan beberapa tuntutan lain yang akan diperincikan oleh KOBAT kemudian.  KOBAT akan menyenaraikan beberapa tuntutan yang wajar diberi pertimbangan oleh PR untuk dilaksanakan sekiranya PR berjaya mengambil alih teraju pemerintahan negara ini.

Saturday 4 February 2012

TANAH UNTUK BEKAS TENTERA - JAMINAN PR PAHANG

Semalam, di Felda Jengka 2, Maran telah diadakan Program Hi-Tea anjuran Keadilan Cabang Maran, Pahang.  Program tersebut telah mengundang dua tokoh utama PR Pahang iaitu Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan juga Pengerusi Keadilan Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman.

Apa yang menarik buat warga tentera dan bekas tentera, Us Tuan Ibrahim Tuan Man telah menjanjikan kepada semua bekas tentera di Pahang yang memerlukan tanah untuk kediaman mereka akan diberikan hak milik tanah termasuk tanah di Felda Plantation. 

Ini adalah janji PR sekiranya mengambil alih Kerajaan Negeri selepas PRU akan datang.  Sebenarnya masih lagi janji-janji PR yang terdapat di dalam Buku Jingga yang memberi manafaat kepada warga tentera dan bekas tentera. 

Sehubungan itu, KOBAT menyeru kepada warga tentera dan bekas tentera termasuk warga Polis dan bekas Polis untuk bersama-sama KOBAT merealisasikan hasrat PR ini. 

BEKAS PENGARAH KAGAT MEMALUKAN WARGA TENTERA?

Di dalam KAGAT (Kor Agama Angkatan Tentera), para-para ustaz ini amat dihormati oleh warga tentera tidak kita dari yang berugama Islam mahu pun dari yang Non-Muslim.  Setinggi mana pun pangkat anggota atau pegawai KAGAT ini, mereka lazimnya digelar `Ustaz' oleh warga tentera.

Berbeza dengan Jamil Khir sewaktu beliau mengetuai KAGAT dahulu.  Beberapa ustaz KAGAT sendiri yang terdiri daripada peringkat bawahan dan pegawai sering merungut dengan `tabiat' Jamil Khir yang terlalu protokol dan kadangkala seperti `gila hormat'.  Memang benar, di dalam tentera peringkat bawah wajib menghormati pegawai atasannya dan apabila berjumpa dengan pegawai atasan mereka hendaklah memberi `tabik' sebagai tanda hormat.

Jamil Khir, bekas Pengarah KAGAT

Namun demikian, kebanyakan pegawai-pegawai KAGAT mereka tidak terlalu `menuntut' kepada kewajipan memberi `tabik' ini.  Bagi mereka, cukup sekadar sesiapa sahaja yang bertemu mereka akan memberikan `Salam' (Assalamualaikum) kerana ucapan Salam tersebut akan mendapat pahala dan menjawabnya pun berpahala juga.  Sedikit sebanyak, rasa riak, takbur atau sifat meninggi diri akan hilang dengan hanya menjawab Salam tanpa menuntut `Tabik'.

Jamil Khir tidak sedemikian.  Beliau terlalu protokol sehinggakan sehinggakan peringkat bawahan tidak merasakan beliau sebagai Ustaz yang sering dikaitkan dengan sifat merendah diri dan tawadhuk.  Beliau meminati sukan golf, dan ke mana pun beliau pergi samada atas tugas resmi atau tidak, padang golf sudah semestinya buat Pengarah KAGAT ini.  Itu cerita dahulu sewaktu beliau berada di dalam tentera.  

`Istana' Jamil Khir

Kini, beliau menjadi Menteri yang menjaga Agama Islam.  Sudah tentu perangainya akan bertambah-tambah ganjil lagi.  Memiliki rumah yang mewah yang dikatakan hasil dari pinjamannya sewaktu di dalam tentera lagi kita tidak mahu pertikaikan, walaupun ada yang berkata layakkah beliau membuat pinjaman dengan harga rumah umpama mahligai itu dengan hanya menjadi Pengarah KAGAT?  Ada pula yang berkata, rumah itu tersergam indah sebaik sahaja beliau menjadi Senator dan Menteri.  Berbeza dengan Tuan Guru Nik Aziz yang menjadi MB Kelantan lebih dari 20 tahun, namun rumahnya tewas dengan rumah Ketua Cawangan Umno di Kelantan sahaja.  Jamil Khir berapa tahun menjadi Menteri?

Isu wang zakat yang melanda bekas Pengarah KAGAT ini tidak terjawab sehingga sekarang.  Jika ada pun jawapan, jelas terpesong dari jawapan Timbalan beliau Mashitah Ibrahim di Parlimen.  Rekod jelas menunjukkan wang zakat digunakan untuk membayar kos guaman menentang Qazaf yang difailkan oleh DS Anwar Ibrahim.  Ada yang sebut, ini adalah salah satu dari `Fisabillillah' iaitu menentang Qazaf dan layak menerima bantuan zakat. 

Terbaru pula, beliau dikaitkan dengan isu menggunakan wang Yayasan Taqwa bagi tujuan politiknya di Parlimen Jerai.  Beliau menafikan dan menuduh itu semua fitnah pembangkang.  Tetapi, kita baca semula Hansard Parlimen yang disertakan di dalam artikel di bawah ini;  Nilaikan semula Siapa Jamil Khir ini sebenarnya.  Warga tentera dan bekas tentera patut malu dengan perangai beliau.

Petikan Artikel Di Bawah Dari: mafiaboss2u.blogspot

Hansard Parlimen Buktikan Menteri Agama 1Malaysia 'PEMBOHONG BESAR'


Sila Baca Hansard Parlimen Dibawah Dan Bandingkan Kenyataan Jamil Khir Kepada Para Pemberita Akhbar.



 
PUTRAJAYA 3 Feb. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan dakwaan pembangkang bahawa beliau menggunakan peruntukan Yayasan Taqwa untuk program politiknya sebagai berniat jahat.

Katanya, permainan politik pembangkang sudah tidak amanah kerana sanggup mengetepikan aspek benar dan salah demi menimbulkan persepsi negatif rakyat.

"Dakwaan yang kata saya guna duit Yayasan Taqwa tidak betul,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jamil Khir mengulas dakwaan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan bahawa beliau menggunakan peruntukan Yayasan Taqwa yang berada di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang dipengerusikannya bagi membiayai program politiknya di Jerai, Kedah.


Laporan itu menyebut, Jamil Khir menggunakan peruntukan tersebut untuk memberi bantuan kepada masyarakat di Jerai iaitu kawasan yang akan ditandingi beliau pada pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

Thursday 2 February 2012

BLOG KOBAT BARU DIWUJUDKAN 02 FEB 12

Salam Perjuangan...

Selamat datang kepada semua rakan yang mengunjungi blog baru KOBAT ini.  Untuk makluman, pihak kami telah mewujudkan blog ini lama dahulu tetapi telah disabotaj oleh pihak-pihak tertentu, blog tersebut tidak dapat diakses.

Namun, kami tidak berputus asa maka kami mewujudkan blog KOBAT yang baru untuk terus menyalurkan maklumat dan pandangan kami untuk dikongsi bersama dengan anda semua.  Buat masa ini, blog baru ini masih di dalam kemaskini.  Terima kasih.

Moderator 
KOBAT PKR PAHANG