JEMPUT JOIN KAMI

JEMPUT JOIN KAMI
Klik Logo Di Atas

Followers

RADIO ONLINE KOBATFM

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

Klik tunein untuk dengar melalui peranti mudahalih.

Tuesday, 3 July 2012

CERAMAH KOBAT - WARGA TENTERA BAKAL BUAT KEJUTAN DI DALAM PRU AKAN DATANG

WFAUZDIN NS - Wakil dari KOBAT sedang berucap
Saya dari KOBAT PKR Pahang telah dihubungi oleh Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Dato' Kamarul Baharin Abas meminta KOBAT untuk hadir berceramah di kawasan penduduk majoritinya adalah di kalangan bekas-bekas tentera dan di kawasan berhampiran kem tentera iaitu di Batu 4, Port Dickson pada 30 Jun yang lalu.

Bersama Sdr Rafizi Ramli - Pengarah Strategi KEADILAN Pusat
Port Dickson telah diberi gelaran baru iaitu 'Bandar Tentera Darat' semenjak kempen PRK Bagan Pinang yang lalu. Tidak tahu dari aspek mana Port Dickson boleh dikenali sebagai 'Bandar Tentera Darat' walaupun berbagai perkara telah dijanjikan sewaktu kempen PRK di Bagan Pinang yang telah menyaksikan Isa Samad terpilih menjadi Adun di situ. Bandar kecil yang sepi sepanjang malam ini masih kekal seperti dahulu.

Program ceramah malam itu sememangnya dikhususkan untuk membicarakan soal-soal kebajikan anggota-anggota tentera dan pesara-pesara tentera termasuk juga isu-isu keselamatan negara yang mana dipertanggungjawabkan kepada Angkatan Tentera. Walaupun penceramah utama yang dijemput iaitu bekas Pegawai Kanan tentera, Brig Jen (B) Hadi tidak dapat hadir atas sebab kesihatan, program malam itu tidak sia-sia apabila tokoh muda yang banyak menyelongkar penyelewengan pimpinan Umno, Sdr Rafizi Ramli (Pengarah Strategi KEADILAN Pusat) telah hadir bersama.

Wakil KOBAT, memulakan ceramah dengan menceritakan tentang sumpah setia anggota tentera sewaktu mula-mula menyertai tentera. Kesetian anggota tentera hanya kepada dua iaitu kepada Yang DiPertuan Agong dan Negara, yakni menentukan tiada ancaman musuh terhadap kedua-duanya. Tiada kesetiaan kepada Umno/Bn di dalam sumpah setia tersebut.

Pada tahun 1993, merupakan tahun di mana pemimpin-pemimpin Umno begitu rakus melanyak raja-raja. Tidak cukup dengan itu, mereka telah menggunakan semua media di bawah kawalan mereka untuk mengaibkan raja-raja. KOBAT telah memberikan beberapa contoh tentang kerja jahat pemimpin Umno ketika itu mengaibkan raja-raja, termasuk oleh Zahid Hamidi yang sekarang ini menerajui Kementerian Pertahanan. Paling tragis berlaku di Terengganu tahun 2008 di hadapan istana, Sultan Terengganu yang ketika itu menjadi Yang DiPertuan Agong telah dihina dengan tulisan pada banner menggelar Tuanku sebagai `Natang' (Binatang) angkara keengganan istana menerima Idris Jusoh sebagai MB Terengganu.

Apakah tentera dapat menunaikan sumpah setia mereka untuk menjaga raja-raja dan Yang DiPertuan Agong? Tiada apa yang mampu dilakukan kerana kuasa raja telah dirampas oleh pemimpin politik yang rakus ini.

Selain dari isu tersebut, KOBAT juga membawa isu pengundi pos yang sehingga kini tidak meyakinkan dalam aspek ketelusannya. Mengundi di dalam kawasan kem, mengundi awal kemudiannya kertas-kertas undi akan disimpan untuk beberapa hari tanpa dijumlahkan terlebih dahulu di tempat pembuangan undi pastinya menimbulkan keraguan. Warga tentera seharusnya hadir mengundi tanpa memakai pakaian seragam tentera seperti yang digariskan di dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) Tahun 1972, Fasa 3 (8).

KOBAT turut menerangkan soal peraturan berpolitik buat warga tentera. Ramai warga tentera merasa bimbang untuk hadir di dalam ceramah-ceramah politik khususnya dari PR. Ramai di antara mereka tidak menyedari bahawa di dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) Tahun 1972, Fasa 3 (7) dengan jelas menyebut bahawa warga tentera DIBENARKAN hadir di dalam ceramah-ceramah politik asalkan;

1. Bukan di dalam waktu bertugas.

2. Tidak memakai pakaian seragam tentera atau menggunakan kenderaan tentera.

3. Tidak melibatkan diri di dalam berkempen atau gerak kerja parti.

Selain itu, tawaran di dalam Buku Jingga juga turut memberi manafaat kepada warga tentera dan bekas-bekas tentera, contohnya seperti penurunan harga minyak, penghapusan Tol, gaji minima dan sebagainya. PR juga menawarkan pemberian tanah kepada bekas-bekas tentera yang tidak mempunyai tanah untuk mendirikan rumah kediaman mereka. Ertikata lain, PR tidak mahu melihat bekas-bekas tentera ini merempat setelah mereka tidak lagi berkhidmat di dalam tentera.

Isu kepentingan keselamatan juga turut diperkatakan. KOBAT melihat sekarang ini aspek keselamatan khususnya di kem-kem tentera masih lemah. Sewajarnya kem-kem tentera sekarang ini dibekalkan dengan peralatan canggih sesuai dengan keadaan sekarang agar tidak begitu mudah kem-kem tentera diceroboh seperti di dalam beberapa kes yang lalu.

Sdr Rafizi juga menyentuh isu keselamatan negara. Beliau mendakwa bahawa Najib bertanggungjawab di dalam skandal penjualan dokumen sulit pertahanan negara ke pihak luar di dalam isu Scorpene yang kini sedang dibicarakan di Perancis.

Amat membanggakan, program malam itu mencapai objektifnya di mana majoriti yang hadir adalah terdiri dari warga tentera dan bekas-bekas tentera. Seorang rakan saya, bekas tentera yang menetap di situ berkata beliau akan memohon sekali lagi KOBAT untuk hadir memberikan penerangan di kawasan ini sebelum PRU akan datang memandangkan keghairahan warga-warga tentera di sini untuk menukar kerajaan yang ada sekarang.

Bagi kami di dalam KOBAT, sudah tentu kami bersedia membantu mana-mana pihak asalkan matlamat kita sama iaitu untuk membantu warga tentera dan bekas tentera ini dengan cara menjatuhkan kerajaan Umno/Bn secara demokratik iaitu melalui pilihanraya. Cuma, tumpuan dan fokus KOBAT PKR Pahang sekarang ini sudah tentu di negeri Pahang yang tidak kurang banyaknya penempatan tentera dan bekas tentera. KOBAT bukan sahaja bergerak melalui ceramah, tetapi kami juga mengadakan hubungan dengan warga tentera melalui kaedah kami sendiri. Kami yakin, warga tentera terutamanya akan melakukan perubahan besar di dalam PRU akan datang, InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment