Pada petang Jumaat (28 Sept 2012) baru-baru ini,Najib selaku PM dan Menteri Kewangan telah mengumumkan Bajet 2013. "Bajet Gula-Gula Pilihanraya" seperti yang digelar oleh Pakatan Rakyat jelas menunjukkan Najib begitu bimbang dengan kebangkitan rakyat untuk menukar kerajaan pada PRU ke 13 akan datang.
KOBAT ingin mengingatkan kepada semua bekas tentera terutamanya kepada mereka yang tidak berpencen tentang `kebaikan' Najib terhadap bekas-bekas tentera yang tidak berpencen ini apabila beliau mengumumkan bantuan (bukan untuk fakir miskin kah?) "One-Off" sebanyak RM 1, 000.
Sudah tentu kita patut bersyukur ke hadrat Allah S.W.T di atas apa jua rezeki yang dikurniakan kepada kita. Tetapi, apa yang menjadi persoalan kepada ramai bekas tentera yang tidak berpencen ini adalah keadilan di dalam memberikan "One-Off" tersebut. Semua maklum, beberapa bulan yang lalu diumumkan bahawa bekas-bekas Guru KEMAS yang pernah berkhidmat melebihi 5 tahun telah diberikan "One-Off" sebanyak RM3, 000. Sekiranya bekas-bekas Guru Kemas ini hanya perlu berkhidmat melebihi 5 tahun untuk melayakkan mereka menerima RM 3,000, apakah kurangnya bekas tentera yang pernah berkhidmat lebih dari 5 tahun tetapi sekadar mendapat "One-Off" sebanyak RM 1,000 sahaja?
Adakah jasa Guru KEMAS ini lebih besar kepada negara jika dibandingkan dengan bekas-bekas tentera ini? Benar, semua tahu peranan KEMAS adalah sebagai jentera Pilihanraya kepada Umno/Bn pada setiap pilihanraya. Guru-guru KEMAS ini akan dikerah untuk membantu Umno/Bn setiap kali diadakan Pilihanraya. Itukah saja jasa Guru-Guru KEMAS ini sehingga melayakkan mereka berada di atas kepala bekas-bekas tentera?
Sehubungan itu, KOBAT menyeru agar kerajaan memikirkan kembali kadar "One-Off" kepada bekas-bekas tentera tidak berpencen tersebut. Sayugia diingatkan, Pakatan Rakyat sekiranya memerintah Putrajaya, kita akan memberikan elaun sara hidup kepada semua bekas tentera yang tidak berpencen berjumlah RM 500 sebulan. Apakah elaun sara hidup berjumlah RM 500 sebulan itu merugikan mereka jika dibandingkan dengan bayaran RM 1,000 (One-Off) yang hanya akan diberi sekali sahaja?
Marilah kita melakukan perubahan di dalam PRU akan datang. Percayalah, apa yang mereka janjikan darihal gaji dan elaun warga tentera di dalam Bajet 2013 oleh Najib baru-baru ini tidak akan dibatalkan oleh kerajaan baru (Pakatan Rakyat) nanti, bahkan kita akan meningkatkan lagi sejajar dengan janji kita di dalam Buku Jingga.
Ertikata lain, tiada apa yang merugikan sekiranya warga tentera dan bekas tentera memilih Pakatan Rakyat di dalam PRU akan datang kerana sememangnya keazaman PR untuk memberikan kesejahteraan dan keselesaan kepada semua warga tentera/keselamatan termasuk Polis dan mereka yang telah bersara atau menamatkan perkhidmatan.
Jangan takut untuk lakukan perubahan bagi jangkamasa panjang.
No comments:
Post a Comment