KENYATAAN MEDIA
21 Mac 2013
UNTUK SEBARAN SEGERA
Saya
merujuk kepada rencana yang diterbitkan New Straits Times hari
ini bertajuk "Nurul Izzah hits out at police", yang saya anggap berniat
jahat dan telah menyeleweng ucapan yang telah saya berikan dalam satu
ceramah di Jemapoh, Negeri Sembilan pada 19 Mac 2013.
Ingin saya nyatakan di sini bahawa saya menyokong
sepenuhnya pihak keselamatan, khususnya anggota-anggota Polis Di Raja
Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang pada waktu ini sedang
berjuang di perbatasan mempertahankan kedaulatan negara di bumi Sabah.
Saya tidak
pernah sekali-kali memperlekeh usaha anggota-anggota keselamatan yang
berkorban dan memenuhi ikrar taat setia yang telah dilafazkan.
Saya menegaskan bahawa isu yang diketengahkan adalah tindakan ahli-ahli
politik di Putrajaya dalam menangani masalah keselamatan di Lahad Datu.
Saya bersependapat dengan kenyataan Lt Gen (B) Datuk Abd Ghafir dalam
sidang media 13 Mac 2013 di mana beliau telah menyatakan kegagalan
risikan - khususnya berkenaan insiden Lahad Datu - yang telah berlaku
akibat aktiviti risikan yang difokuskan ke arah pengintipan perkembangan
politik negara
sejak tahun 2000.
Integriti
kewartawanan yang bertanggungjawab adalah mercu tanda demokrasi di
negara kita dan sedang kita melalui krisis yang mengancam
keselamatan negara, saya berpendapat bahawa laporan yang tidak tepat dan
menyeleweng itu harus ditarik balik dan saya menuntut New Straits Times
memohon maaf dalam masa 24 jam melalui media digital dan cetak
sebagaimana rencana berbaur fitnah itu telah disebarkan.
Saya
telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang ke
atas akhbar New Straits Times - alat sebaran propaganda UMNO-Barisan
Nasional terbitan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad - dengan
serta-merta.
Saya sekali lagi menegaskan pendirian konsisten
Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak mengadakan
sidang Parlimen tergempar di samping kertas putih untuk mendalami
krisis di Lahad Datu, demi keselamatan tanah air tercinta.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN
BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya
No comments:
Post a Comment