Dato’
Menteri Besar Selangor memandang serius laporan susulan pendedahan oleh
Deepak Jaikishan bahawa usaha sedang giat dilakukan untuk menjual lebih
200 ekar tanah milik Awan Megah Sdn Bhd bernilai RM130 juta kepada
Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah yang
dimiliki sepenuhnya oleh Boustead Holdings Berhad, milik Lembaga Tabung
Angkatan Tentera (LTAT).
Menteri Besar yang kini berada di luar negara telah mengarahkan
Pengarah Tanah dan Galian Selangor untuk memantau sebarang bentuk
transaksi yang melibatkan hartanah-hartanah ini.
Semakan awal yang dilakukan, tanah-tanah di Bukit Raja tersebut telah
diberimilik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan melalui proses
pengambilan tanah pada tahun 1980an bertujuan sebagai Tapak Kem 9
Briged.
Kerajaan
Selangor juga akan menyiasat bagaimana tanah tersebut dikatakan telah
diberikan kepada syarikat Awan Megah Sdn Bhd yang mana pengarahnya
adalah Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiah Raja
Abdullah.
Kerajaan Selangor sangat hairan bagaimana tanah yang telah digazetkan
untuk kem tentera boleh diurusniaga secara komersil melainkan dengan
arahan dan campur tangan pihak yang benar-benar berkuasa.
Kerajaan negeri juga akan meneliti samada benar telah berlaku proses
jual beli tanah tersebut kepada Raja Ropiah pada harga RM7 kaki persegi
atau RM72 juta yang akhirnya Raja Ropiah juga didakwa telah menjual
sebahagian daripada tanah di Bukit Raja itu kepada syarikat lain dengan
harga RM16 kaki persegi bagi mendapat untung atas angin.
Kita akan melihat semula dokumen-dokumen yang berkaitan. sekiranya
kita dapati berlaku perlanggaran prosedur dan urusniaga yang menyalahi
peraturan sebelum 2008, kita tidak akan teragak-agak untuk menghentikan
sebarang urusniaga yang melibatkan tanah tersebut sama ada urusan pindah
milik atau penjualan yang sedang dirancang.
Semakan juga akan dilakukan terhadap semua permohonan pembangunan
yang bercanggah dengan matlamat pengambilan tanah tersebut yang
dilakukan seawal tahun 1980an.
Kerajaan negeri berpandangan bahawa semua urusniaga ini perlu
dipandang serius kerana melibatkan dana awam yang datangnya dari wang
pencen anggota tentera.
Kerajaan Selangor tidak akan membenarkan niat UMNO untuk
menyalahgunakan dana awam ini bagi menyelamatkan pemimpin-pemimpin
mereka yang menyalahguna kuasa demi kepentingan politik dan peribadi.
Nampaknya UMNO tidak serik dengan aib yang mereka hadapi setelah
kehilangan dana awam RM250 juta menerusi projek NFC yang melibatkan
pemimpin tertinggi mereka. Kini wujud pula pengkhianatan yang melibatkan
bukan sahaja dana awam tetapi hartanah yang dikhususkan untuk Angkatan
Tentera, juga oleh pimpinan kanan dan pemimpin wanita UMNO Selangor.
Selama ini Raja Ropiah cuba menonjolkan watak seorang pemimpin yang
membela hak rakyat dengan sering hadir setiap kali ibu tunggal
mengadakan perhimpunan menuntut hak dari kerajaan Selangor setelah
dilantik sebagai Senator menggantikan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang
pelantikannya tidak disambung semula. Rupa-rupanya beliau tidak jauh
beza dengan mentornya.
Deepak mungkin mempunyai agendanya tersendiri tetapi apa yang lebih
penting bagi rakyat Malaysia khususnya rakyat Selangor, pendedahan
Deepak telah membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional di bawah
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan barisan kabinetnya terlalu
kotor dan bergelumang dengan skandal dan salah guna kuasa pada setiap
peringkat./KD
FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK
KEPADA YAB DATO MENTERI BESAR SELANGOR
No comments:
Post a Comment