JEMPUT JOIN KAMI

JEMPUT JOIN KAMI
Klik Logo Di Atas

Followers

RADIO ONLINE KOBATFM

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

Klik tunein untuk dengar melalui peranti mudahalih.

Friday 4 May 2012

TENTERA DIBENARKAN HADIRI CERAMAH POLITIK, MENGAPA MASIH ADA YANG TAKUT?

Ramai di kalangan warga tentera terkeliru atau pun tidak mengetahui hak-hak mereka untuk berpolitik.  Pada era sekarang, amat malang sekiranya warga tentera `buta' terhadap perkembangan semasa isu-isu politik kerana politik adalah melibatkan urus tadbir negara dan ianya sudah pasti memberi kesan yang besar kepada organisasi ketenteraan.

KOBAT bukan bercadang atau ingin mempengaruhi warga tentera bagi menyertai secara aktif di dalam politik.  Kami menyedari bahawasanya warga tentera TIDAK DIBENARKAN samasekali bergiat aktif atau menjadi ahli mana-mana parti politik samada parti yang memerintah atau sebaliknya.  Kami hanya mengajak warga tentera untuk membuka minda melihat sekeliling apakah isu-isu politik sekarang dan apakah peranan warga tentera untuk menggerakkan amalan demokrasi di negara ini demi kebaikan tentera itu sendiri khususnya, dan negara ini amnya.

Ramai di antara warga tentera merasa takut untuk menyebut soal politik, jauh sekali untuk mendengar ceramah-ceramah penerangan dari parti-parti politik terutamanya dari parti Pembangkang.  Peliknya, tanpa mereka sedari mereka juga kerap disajikan dengan cerita-cerita dan kempen politik dari parti pemerintah yang mengambil kesempatan atas kuasa yang mereka miliki dengan memasuki kem-kem tentera untuk berkempen.  Mengapa perlu takut dan bimbang untuk keluar dari kem bagi menghadiri mana- mana program ceramah atau penerangan dari parti-parti Pembangkang?  Mengapa takut untuk membeli dan membaca akhbar-akhbar milik Pembangkang?

Mendengar ceramah dari parti-parti Pembangkang atau membaca akhbar milik mereka bukan bererti anda menyokong Pembangkang.  Cukup sekadar anda mengetahui apakah dasar parti-parti berkenaan dan anda boleh buat perbandingan dengan parti yang memerintah sekarang.  Mana yang pada fikiran anda lebih baik, anda akan mengundi parti tersebut di dalam Pilihanraya.  Mana mungkin anda boleh membuat pilihan parti yang akan anda pangkah sekiranya anda disekat atau tidak mahu mendapatkan penerangan dari parti sebelah sana?

Jelas termaktub di dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera, Tahun 1972, Fasal 3 (7) menyebut, warga tentera DIBENARKAN mengikuti mana-mana program ceramah atau penerangan mana-mana parti politik asalkan tidak memakai pakaian seragam, tidak mengambil apa-apa bahagian atau tugas di dalam program tersebut dan anda hadir bukan di dalam waktu bertugas. 

Memang benar, anda TIDAK DIBENARKAN menjadi ahli mana-mana parti politik, tetapi ini tidak bermakna anda disekat dari mendapatkan maklumat berkaitan isu-isu politik semasa.  Di zaman seluruh masyarakat terutamanya golongan muda mula mengambil kisah tentang politik semasa di negara ini, amat malang sekali sekiranya warga tentera ketinggalan di dalam aspek ini.  

Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama merayakan demokrasi di negara ini dengan penuh kebijaksanaan tanpa sebarang rasa takut dan bimbang.  Bagaimana untuk menghadapi musuh di medan tempur seandainya untuk melakukan perubahan dengan hanya menggunakan sebatang pen pun kita masih gentar. Rakyat sekarang menanti gelombang kebangkitan di kalangan warga tentera untuk bersama-sama mereka melakukan perubahan.

No comments:

Post a Comment