JEMPUT JOIN KAMI

JEMPUT JOIN KAMI
Klik Logo Di Atas

Followers

RADIO ONLINE KOBATFM

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

Klik tunein untuk dengar melalui peranti mudahalih.

Wednesday, 5 November 2014

ISU FITNAH LIWAT DS ANWAR - FATWA YUSOF QARDHAWI

SEGALA puji bagi Allah, dan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarganya dan sahabat serta yang mengikuti petunjuk-Nya.

Malaysia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi kami, dan kami menaruh kasih sayang terhadapnya dengan hati yang jujur. Impian kami adalah untuk melihat Malaysia sebagai realisasi model Islam yang wasatiyyah, bertamadun, maju dan kontemporari. Semua itu tidak akan berlaku kecuali dengan perjuangan orang-orang ikhlas terdiri daripada anak-anak Malaysia, berusaha dan kerjasama berganding bahu, mereka yang amat ingin untuk menjayakan masa depan negara. Mereka saling bantu membantu sehingga berdiri tegak rakyat Malaysia seluruhnya.

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (As Saff: 4)

Adalah tidak patut bagi badan kehakiman bertukar menjadi pentas kebencian dan permusuhan politik atau wasilah bagi menjerat pihak lawan di dalam cengkaman kes-kes. Perkara demikian kebanyakannya bertujuan untuk mencalar peribadi melebihi tujuan mencari kebenaran.

Sesungguhnya kami percaya bahawa kemajuan Malaysia, kebangkitan dan kekuatannya terpancar daripada ketinggian nilai-nilai kebebasan dan demokrasi, dan pengukuhan prinsip-prinsip kepelbagaian pemikiran serta persaingan yang mulia demi berkhidmat untuk negara yang berdaulat ini.

Anwar Ibrahim terdiri daripada pemimpin ternama dengan sejarah dan pengalamannya serta perjuangannya, dan kesabaran serta ketabahannya sejak zaman usia muda sehingga ke hari ini. Anwar sewajarnya dilayani dengan jasa perjuangannya dan kerja gigihnya, bukannya menuduhnya dengan tuduhan-tuduhan batil yang tanpa asas.

Mahkamah sebelum ini telah membebaskannya daripada tuduhan itu. Tetapi jelas bahawa terdapat pihak yang yang merekayasa komplot dan tidak mempedulikan kebaikan negara dan masa depan rakyatnya.

Kami beriman dengan apa yang difirmankan Allah SWT tentang peristiwa Hadithat al Ifk:-

Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang- orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri, dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".

Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.

(Surah An Nur 12-13)

Aku menyeru kepada saudara-saudaraku rakyat Malaysia supaya bekerjasama dan saling bantu-membantu. Aku berharap saudara-saudara di Malaysia menjauhkan diri daripada konflik-konflik yang tidak ada faedah di sebaliknya, malah ianya memudaratkan, tidak memberi manfaat, menghancurkan, tidak membina, merosakkan dan tidak mendatangkan kebaikan.


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.


Yusuf al-Qaradawi
Presiden Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam


26 Oktober 2014
2 Muharram 1436



Read more: http://milosuam.blogspot.com/2014/10/tulisan-yusuf-al-qaradhawi-tentang.html#ixzz3I7wAoZv0

Saturday, 23 August 2014

KERETA PERISAI ADNAN TERBALIK, LAKUKAN SIASATAN SEGERA

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) mendesak satu siasatan terperinci dilakukan ekoran tragedi kereta perisai terbalik yang mengakibatkan kematian dua orang tentera di Sandakan, Sabah baru-baru ini.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, siasatan terperinci itu penting bagi merungkai persoalan yang bermain di kalangan rakyat khususnya lebih lebih lagi ia berlaku di kawasan yang sering berlaku ancaman keselamatan.

“Ini ditambah lagi dengan kebimbangan ekoran siri ancaman keselamatan yang sering berlaku akibat tindakan provokasi pihak-pihak luar.

“Saya yakin pihak tentera sendiri amat serius di dalam menjalankan tugas menjaga kedaulatan negara.

"Namun rakyat juga berhak untuk tahu apakah sebenarnya yang mengakibatkan kereta perisai yang sewajarnya digunakan untuk peperangan namun boleh hilang kawalan dengan mudah seterusnya mengakibatkan kematian,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga salah seorang tentera yang terkorban dalam kejadian itu, Ahmad Fikri Mansor di Kampung Galok, Chetok, Pasir Mas hari ini.

Seorang lagi tentera yang terkorban ialah Mohd Hanif Patahur dari Johor.

Turut sama mengiringi beliau ialah Ketua Pemuda PAS Dun Chetok Abdul Rahim Yahya dan Penghulu Mukim Jabo Chetok Shamsuddin Ismail.

Fadhli yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Mas, turut menyampaikan sumbangan kepada ibu allahyarham yang menjalankan perniagaan kedai makan secara kecil-kecilan.

“Kita mengharapkan kerajaan dapat membantu ibu allahyarham yang hanya bergantung kepada perniagaannya yang sebelum ini dibantu oleh mangsa yang merupakan anak sulung di dalam keluarganya.

“Sesungguhnya, jasa Allahyarham kepada negara cukup besar sehingga terkorban ketika menjalankan tugas, “ katanya lagi./HRKH

Tuesday, 5 August 2014

KEKUATAN TENTERA KITA BOLEH DIPERKUATKAN DENGAN NILAI KEIMANAN

Sewaktu berhari Raya Aidil Fitri di kampong baru-baru ini sempat ketemu dengan ramai rakan-rakan bekas tentera dan rakan-rakan yang masih berkhidmat.  Kami berbual panjang dan tentunya berkaitan pengalaman pahit manis sewaktu berkhidmat.

Masing-masing akui bahawa kerjaya tentera amat menyeronokkan tetapi penuh dengan cabaran.  Tidak mudah untuk menjadi seorang tentera kerana ia memerlukan ketahanan mental dan fizikal.  Berbadan besar dan tegap bukan bererti seseorang itu kuat fizikal dan mentalnya.  



Kami turut berbicara tentang isu di Palestine.  Semangat para pejuang dan Mujahideen seperti kumpulan 'Al Qassam" menarik perhatian kami.  Kumpulan jihad ini tidak ramai, malahan kelengkapan senjata pun tidak banyak seperti yang dimiliki oleh musuh iaitu Israel Zionist Laknatullah.  Tetapi mengapa kumpulan Jihad Al Qassam ini amat digeruni oleh musuh?  

Tidak lain tidak bukan, kekuatan kumpulan Jihad ini adalah terletak kepada kekuatan kerohanian mereka iaitu nilai keimanan serta taqwa yang tinggi terhadap Allah.  Apabila memiliki nilai-nilai kerohanian yang tinggi serta ketaqwaan yang berkekalan, secara tidak langsung tentera Al Qassam akan memiliki ketahanan fizikal dan mental yang amat tinggi.  Mereka pikul senjata dan mara ke hadapan musuh hanya bercita-cita untuk mati syahid.  Bagi mereka, amat rugi berjuang jika tidak mati syahid.  Mati adalah cita-cita mereka.

Kami sama-sama muhasabah mengenangkan begitu hebatnya kekuatan kerohanian dan keimanan tentera-tentera Al Qassam ini.  Kami turut sependapat, alangkah manis dan indahnya jika kesemua tentera di negara kita mampu mencapai tahap seperti ini.  Apakah kita mampu melakukannya?

Monday, 14 July 2014

KESELAMATAN DI SABAH TERANCAM, ADAKAH KALI INI ANWAR JUGA DALANGNYA?

Seorang anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) maut ditembak manakala rakannya dipercayai diculik lapan lelaki dalam kejadian di Pulau Mabul, Semporna, jam 11.00 malam kelmarin.  Sementara itu, menurut sumber ‎mangsa, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, dipercayai hilang namun kemudian ditemui semula dan meninggal dunia dipercayai ditembak dalam kejadian terbabit.  Rakan mangsa, Konstabel Zakiah Aliep, 26, hilang dipercayai dilarikan kumpulan lelaki berkenaan yang memakai pakaian berceloreng.

Allahyarham Ab Rajah yang barasal dari Semporna dikatakan sudah berkeluarga bertugas sebagai jurumudi kapal rondaan air 1, di balai polis Pulau Mabul dan pernah bertugas di Kampung Acheh.  Zakiah turut sudah berkeluarga dan mempuyai seorang anak dan sebelum ini bertugas di Pulau Pinang.
 
KOBAT mengucapkan Takziah kepada waris Allahyarham Ab Rajah, semoga Rohnya di tempatkan bersama golongan orang yang Soleh dan diterima sebagai orang yang gugur di dalam mempertahankan kedaulatan negara dan agama.  Kita juga perlu memperbanyakkan doa agar rakan Allayarham yang dikatakan 'hilang' itu, Konst Zakiah agar dapat ditemui dengan selamat.
 
Telah berkali-kali kita mengingatkan pihak Kerajaan bahawa perlunya ketegasan dan prihatin dengan aspek keselamatan negara ini terutamanya di Sabah.  Pencerobohan Lahad Datu sebelum ini sepatutnya sudah cukup mengajar kita bahawa Sabah belum selamat walaupun Umno/Bn kuat di sana.  Ini bukan isu politik, tetapi sesiapa juga yang memerintah wajib menentukan keselamatan rakyat dan negara.  Jangan hanya fikir undi dari rakyat Sabah semata-mata menjelang pilihanraya.
 
Selepas kejadian memalukan di Lahad Datu, kita dimalukan lagi dengan kes penculikan yasng berturut-turut berlaku di negeri yang sama.  Rakyat mahupun pelancung sudah merasa tidak selamat lagi.  Kepada siapa lagi yang boleh mereka harapkan untuk menjaga keselamatan mereka?  Pihak keselamatan?  Anggota keselamatan pun sudah seperti tidak selamat.  Mereka diculik dan ditembak.
 
Rakyat Sabah sepatutnya sudah boleh berfikir samada mereka tepat membuat pilihan kerajaan yang dapat membela dan menjaga keselamatan mereka.  Rakyat Sabah tidak harus terpedaya dengan retorik politik dan fitnah memburukkan pemimpin PR kononnya Anwar juga terlibat di dalam isu di Lahad Datu dulu.   Apa yang berlaku sekarang adakah Anwar juga terbabit?
 

Saturday, 7 June 2014

SOKONGAN UNTUK MEJ ZAIDI - KES MAHKAMAH TENTERA 10 - 12 JUN INI


Mejar Zaidi Ahmad akan dibicarakan 10 hingga 12 Jun Kompleks Mahkamah Tentera Pangkalan TUDM, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur bermula jam 9.00 pagi.

Bersih 2.0 dalam satu kenyataan memaklumkan Mejar Zaidi telah didakwa dengan 7 tuduhan atas tindakan beraninya membuat laporan polis pada 1 Mei 2013 lalu mengenai isu dakwat kekal.

Akibat daripada itu, Mejar Zaidi kini berhadapan tindakan Mahkamah Tentera setelah didakwa melanggar etika/peraturan Angkatan Tentera Malaysia.

"Bagi pihak Bersih 2.0, kami mempertahankan Mejar Zaidi dan menekankan bahawa beliau sama sekali tidak bersalah, malah telah pun menunjukkan kesetiaannya terhadap negara dengan melaporkan perkara ini kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan terhadap isu dakwat kekal," ujar Bersih 2.0 .

Oleh yang demikian, Bersih 2.0 menjemput rakan-rakan sekalian untuk hadir bersama ke Mahkamah Tentera Sungai Besi pada tarikh seperti dinyatakan di atas untuk menunjukkan sokongan moral kepada Mejar Zaidi dan keluarganya.

"Kita harus berdiri bersama Mejar Zaidi yang mana pada ketika ini berhadapan dengan hukuman penjara jika disabitkan sebagai bersalah," tegas kenyataan itu.

Peringatan penting:
1. Apabila anda tiba di pintu masuk utama, anda harus mendaftarkan diri untuk mendapatkan pas masuk. Sila beritahu anda dari organisasi mana.

2. Setelah mendapat pas masuk, anda kemudian harus memandu/menunggang kenderaan ke dalam kompleks mahkamah. Jika menaiki teksi, sila turun di dalam kompleks, Perjalanan dari pagar ke Kompleks Mahkamah adalah sejauh 2 km.

3. Anda tidak dibenarkan membawa telefon bimbit, laptop atau apa-apa alat rakaman ke dalam kamar mahkamah. Pihak keselamatan mahkamah akan meminta anda meninggalkannya di dalam peti simpanan di luar mahkamah. (dinasihatkan untuk menyimpan alat-alat ini di dalam kereta)

4. Alat tulis dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi Mandeep/Adam di talian 03-77723275/019-4380428

Friday, 21 March 2014

PASUKAN KESELAMATAN PERLU PERTAHAN IMEJ - UCAPAN KOBAT MLM TADI DI KAJANG

Malam tadi (20/3/14) bertempat di Stadium Kajang, satu program Pentas Anak Muda dan NGO serta pimpinan telah diadakan mulai jam 09.00 malam.  Program anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor turut menampilkan beberapa tokoh ternama termasuk Prof Dr Aziz Bari.  Program tersebut turut mendapat perhatian dari Presiden PKR yang juga calon mewakili PR di PRK Dun Kajang, Datin Seri Wan Azizah Ismail yang tampil dipentas.


Sdr Wfauzdin NS (KOBAT) sedang berucap
Datin Seri Wan Azizah sedang berucap.  Turut kelihatan YB Elizebeth
Kor Bekas Angkatan Tentera (KOBAT) juga turut diberi peluang berada di pentas.  Penceramah KOBAT yang juga Penyelarasnya, Wan Fauzdin NS berucap dengan memberikan fokus kepada betapa pentingnya imej ATM atau Pasukan Keselamatan dipelihara dari dikuasai oleh pihak yang berkepentingan politik.

KOBAT turut melahirkan rasa dukacita terhadap apa yang berlaku ke atas Mej (U) Zaidi yang kini sedang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera hanya kerana soal aduan dakwat yang tidak kekal sewaktu PRU 13 yang lalu.

Malam ini (21/3/14) Jumaat malam Sabtu, ayuh kita ke Stadium Kajang bagi meraikan pelancaran Reformasi 2.0.  Kesemua pimpinan utama PR akan hadir malam ini. 

Thursday, 20 March 2014

PRK DUN KAJANG - USAH HARAP UNDI AWAL MENYEBELAHI KITA

Pengundian awal bagi PRK N25 Dun Kajang telah berlangsung pagi semalam (19/3/14) di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras, Dewan Anjung Forensik PDRM dan Rumah Perkep Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, membabitkan 1,197 anggota polis dan pasangan.


Usah bergantung harapan sangat dengan undian awal kerana sejarah Pilihanraya di negara kita telah mengajar kita tentang keputusannya nanti.  Namun, apa yang mengecewakan kita adalah berita bagaimana calon dari Bn boleh memasuki balai Polis bahkan siap bermesra minum teh bersama pegawai dan pasukan keselamatan di Balai Polis.  Berita yang diceritakan oleh Sdr Badrul Hisham Shahrin (Chegu Bard), Penyelaras SAMM ini tentunya membolehkan kita melakukan congakan awal tentang keputusannya nanti.

Bagaimana mungkin calon Bn boleh bebas di kawasan mengundi, manakala calon PR dikenakan berbagai sekatan?  Ini semua bukan kali pertama berlaku di dalam sejarah Pilihanraya di negara ini apabila melibatkan undi pos atau undi awal.  Sehubungan itu, kita mesti tentukan bahawa PR mendapat sokongan dua kali ganda dari PRU 13 yang lalu jika mahu atasi ketidakadilan sistem ini.

Sasaran PR adalah memenangi Kerusi Dun Kajang ini dengan majoriti yang lebih besar walaupun ada yang lebih yakin dan bersemangat untuk menghilangkan deposit calon dari MCA itu.  Kami optimis, calon kita iaitu Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah akan menang dengan bergaya di Dun Kajang.  Tiada kejayaan yang boleh dicapai tanpa usaha yang gigih, justeru itu semua jentera PR dituntut untuk melipatkali gandakan usaha ini menjelang beberapa hari sahaja untuk pengundi di Dun Kajang membuat pilihan.

 

Tuesday, 18 March 2014

Mejar Zaidi terharu dapat sokongan rakyat, NGO

KUALA LUMPUR 17 MAC: Kapten Mejar Zaidi Ahmad yang didakwa kerana membuat laporan polis mengenai dakwat kekal, menyatakan rasa terharu atas sokongan rakyat dan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Katanya, sokongan orang ramai itu ditunjukkan melalui media sosial dan rombongan ke rumah beliau sendiri.

 
 
“Saya rasa terharu, mereka datang daripada jauh, berikan sokongan, ada juga yang menyokong melalui media sosial, saya hargai itu,” tulisnya di laman Twitter.

Kapten Mejar Zaidi Ahmad sebelum ini dituduh melanggar arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam pengundian awal pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Beliau dihadapkan ke Mahkamah, di mana sebutan kes dibuat pada 7 Februari lalu dan akan dibicarakan pada 8 hingga 10 April 2014 di Mahkamah Tentera Tentera Udara Malaysia (TUDM), Kuala Lumpur.

“Sekarang ini (saya) masih bertugas sebagai tentera, tetapi hanya di pejabat, tidak bekerja luar di bahagian penerbangan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan kepada tindakan berani Mejar Zaidi.

Antaranya dengan mengambil gambar mereka bersama kad yang mengandungi mesej seperti “Gugur pertuduhan Mejar Zaidi” atau “Hukum SPR, bukan Mejar Zaidi”.

Beliau juga meminta pengguna laman sosial menyiarkan gambar tersebut dalam Facebook atau Twitter masing-masing dengan hashtag ‘#sokongzaidi’ sebelum perbicaraan bermula April nanti.

Sehingga kini, orang ramai menyatakan sokongan dalam laman Facebook ‘Sokong Mejar Zaidi TUDM’ yang menerima 20,000 tanda suka.

Selain itu, satu rombongan Bersih 2.0 yang terdiri daripada Maria, Naib Pengerusi Bersih (Semenanjung Utara), Datuk Dr Toh Kin Woon, ahli Sekretariat Mandeep Singh dan Adam Adli, serta bendahari Ikram Mustafa Basri telah melawat pegawai itu di rumahnya di Bertam, Kepala Batas pada 24 Februari lalu./KD

Friday, 14 March 2014

ANWAR CUBA DIAIBKAN, SEBALIKNYA IMEJ NAJIB TERUK TERCEMAR

Misteri kehilangan Pesawat MH370 adalah satu sejarah hitam buat negara kita.  Bagaikan hukuman terhadap rejim yang memerintah secara zalim, apatah lagi tragedi itu berlaku sehari selepas sistem kehakiman negara ini tercemar dengan tindakan menghumban Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim ke dalam penjara selama 5 tahun.

Bukan bermaksud tragedi malang ini adalah kerana nasib yang menimpa Anwar, tetapi sebagai pengajaran atau untuk kita bermuhasabah tidak ada salahnya kerana kita perlu percaya bahawa setiap kezaliman itu ada hukumannya samada di dunia mahu pun di Akhirat.  Niat dihati rejim adalah untuk mengaibkan Anwar dengan sabitan kes Liwat II, tetapi Allah Maha Berkuasa secara tidak dijangka yang paling menanggung aib sekarang ini adalah Najib yang mengetuai rejim sekarang.  Seluruh dunia memperlekehkan kerajaan 47% ini dengan berbagai gelaran.  Tindakan lembab, bercakap bohong, tidak telus dan berbagai lagi diperkatakan kepada kerajaan kita apabila rejim gagal menangani isu kehilangan pesawat ini secara pantas.

Semenjak awal tragedi ini berlaku, kita dapati terlalu banyak percanggahan kenyataan dari pemimpin negara dan kenyataan dari pegawai eksekutif yang terlibat.  Kesemua mereka seolah-olah cuba untuk melindungi kesilapan masing-masing, dan tidak seorang pun yang berani mengaku salah jauh sekali untuk melepaskan jawatan sebagai tanda bertanggungjawab ke atas kejadian malang ini.  

Imej negara tercalar teruk jauh lebih teruk dari imej yang cuba dicalarkan oleh rejim terhadap Anwar Ibrahim.  Berbeza dengan Anwar, apabila tuduhan dibuat dan dijatuhkan hukuman kononnya bersalah, sokongan kepada Ketua Pembangkang ini bertambah kuat.  Perpaduan Pakatan Rakyat bertambah kukuh kerana rakyat sedar usaha untuk menguburkan kerjaya politik Anwar bukan baru.  Semenjak tahun 1998 lagi rejim telah berusaha untuk menghapuskan Anwar. "Dan mereka merancang, Dan Allah juga merancang, Dan Allah adalah sebaik-baik perancang".  Tragedi kehilangan Pesawat MH370 ini telah merosakkan imej Najib dengan teruk sekali.  

Paling memalukan rejim seolah-olah merasa bangga apabila sekumpulan "Pengamal Khurafat" dijemput kononnya bomoh untuk membantu mencari pesawat yang hilang.  Bermula dengan "teropong ajaib" dan "Bubu" yang digunakan sehinggalah ke tahap "Tikar Terbang Ala Do Re Mi" beserta dua biji kelapa yang digunakan oleh "Bomoh 1 Malaysia", ianya bukan sahaja dihina oleh dunia luar malahan menjadi bahan ketawa seluruh dunia.  Rakyat Malaysia menjadikannya sebagai bahan lawak di media sosial seperti facebook.  

Jika peristiwa ini berlaku di Jepun, nescaya pemimpin mereka dan beberapa Menteri mereka akan serta merta meletakkan jawatan kerana malu yang teramat sangat.  Sebab itulah Jepun jauh lebih maju dari negara kita kerana Jepun mempunyai budaya 'tahu malu' dan mempunyai integriti yang kuat di kalangan pemimpin mereka.  Negara kita, usah diharap berlaku sedemikian kerana pemimpin tahu rakyat boleh disuap dengan BR1M untuk pujuk hati mereka.

Sudah sampai masanya pemimpin negara yang ada sekarang meletakkan jawatan.  Janganlah kerana kebodohan kamu, rakyat dan negara menanggung malu.

Monday, 3 March 2014

KUMPULAN ALI TINJU MULA MENCARI MAKAN DENGAN "TARIAN PUNGGUNG"

Akibat terlalu kuatnya mengampu, "Ali Tinju" bekas anggota tentera yang tidak berpencen itu memberi amaran kepada Malaysiakini untuk mempersembahkan lagi "tarian punggung" sekiranya Malaysiakini tidak menyiarkan 'kehebatan' Rosmah.

Ali Tinju pun mengungkit semula betapa baiknya Rosmah membantu mangsa kebakaran dan banjir namun tidak diwar-warkan oleh Malaysiakini.  Mungkin bagi Ali Tinju tidak cukup lagi media pencacai yang ada untuk mempromosikan "kemuliaan" insan bernama Rosmah Mansor ini.  Sampai ke peringkat mengugut Malaysiakini, punyalah hebatnya 'kipas' si Ali Tinju ini.

Kali ini katanya, beliau akan membawa sekitar 20-30 orang sahaja untuk membuat 'persembahan' kerana kononnya tidak mahu mengganggu orang ramai.  Melucukan juga apabila beliau menyebut tidak mahu membawa seramai seribu ke dua ribu orang pengikutnya kerana kita pun tahu berapa kerat sahaja pengikut Ali Tinju.  Jika beliau boleh bawa sekitar 20 orang itu pun sudah kira hebat.

Beliau kata, beliau tidak mahu bawa ramai sangat pengikut kerana itu adalah budaya songsang yang menyusahkan orang ramai.  Budaya 'tonggeng punggung dan goyang" depan orang ramai itu adalah budaya mulia dan bersopan pada pandangan bekas tentera yang berhenti tentera tidak sampai 10 tahunperkhidmatan ini.

Beruntunglah bekas-bekas tentera yang tidak terlibat dengan kumpulan Ali Tinju ini.  Jika tidak, di manakah mahu diletakkan muka kita sebagai bekas perajurit yang hanya tahu 'goyang punggung"?.  Sikap membodek dan mengampu Ali Tinju ini mungkin diwarisi semenjak beliau di dalam perkhidmatan lagi maka sebab itulah amat sukar buat beliau meninggalkannya.  Apatah lagi itulah satu-satunya cara beliau cari makan untuk anak bininya.  Kami dari bekas tentera merasa amat simpati dan kesihan dengan kumpulan Ali Tinju ini yang berterusan menjadi balaci kepada pemimpin dan isteri pemimpin. 

Thursday, 27 February 2014

KOBAT DAN PENGERUSI ANAK BERCERAMAH DI KERATONG 2 MALAM INI


Mari bertemu malam ini (27/2/14) di Markas PAS, Keratong 2, Rompin.  Ceramah berkaitan Felda oleh Pengerusi ANAK, Sdr Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat).  Wakil dari KOBAT juga akan tampil malam ini.

Mohon hebahkan.

Friday, 14 February 2014

Mejar Zaidi tidak patut didakwa kerana ketegasannya, kata Anwar

OLEH MD IZWAN
February 14, 2014
 


 
Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap di majlis perasmian mesyuarat agung kali ke-2 Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) yang diadakan di Kelab Darul Ehsan.
 
14 Februari, 2014.Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan Mejar Zaidi Ahmad tidak sepatutnya didakwa hanya kerana mempertahankan kebenaran, selepas anggota tentera itu diheret ke Mahkamah Tentera.

Ketua Pembangkang itu berkata, laporan polis yang dibuat oleh Mejar Zaidi terhadap dakwat kekal membuktikan integriti dan disiplin yang dimilikinya.

"Mejar Zaidi dilatih soal integriti dan disiplin, sebab itulah dia buat laporan terhadap dakwat kekal yang tidak kekal," kata Anwar semasa merasmikan mesyuarat agung kali ke-2 Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) hari ini.

Anwar membidas tindakan yang diambil ke atas bekas Pegawai Pemerintah Skuadron 12 Pengkalan Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah tidak wajar kerana ia bukan satu kesalahan yang besar dilakukannya.

"Kalau salah pecah amanah itu lain, tapi ini sebab Mejar Zaidi menjadi seorang yang bertanggungjawab.

"Beliau mendapati dakwat pada jarinya tidak kekal, oleh itu beliau membuat laporan polis," kata Anwar lagi.

Menyifatkan tindakan ke atas Zaidi tersebut sebagai malapetaka, Anwar berkata pihak yang sepatutnya dibawa ke muka pengadilan adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana kegagalan memastikan dakwat yang digunakan tersebut tidak tanggal.

"Yang patut dihukum sebenarnya adalah SPR kerana menipu, tetapi yang dihukum sekarang Mejar Zaidi.

"Ini matapetaka kerana mereka yang baik dihukum pula," tegas beliau lagi.

Pada 7 Februari lalu, Zaidi didakwa atas tujuh tuduhan di Mahkamah Tentera, Kompleks Mahkamah TUDM Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Lima daripada pertuduhan berkenaan di bawah Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 sementara dua lagi membabitkan Seksyen 51 akta sama.

Seksyen 50(2) adalah membabitkan kesalahan tidak patuh kepada pegawai atasan yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, manakala Seksyen 51 pula tidak patuh kepada perintah tetap yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau hukuman ringan lain.

Tindakan tersebut mengundang kritikan banyak pihak, malah bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenavasan turut menyatakan sokongan kepada Zaidi dan menyifatkan keberanian anggota tentera tersebut sebagai patriotik. – 14 Februari, 2014./M/Insider

Wednesday, 12 February 2014

ADUAN MEJ (U) ZAIDI TIADA KAITAN DENGAN POLITIK, BELIAU WAJIB DILEPASKAN



Mej (U) Zaidi tetap tabah dengan ujian
Kor Bekas Angkatan Tentera (KOBAT) terlebih dahulu mengucapkan tahniah dan syabas di atas keberanian pegawai tentera, Mejar (U) Zaidi yang berani menyuarakan kebenaran dan tidak menyembunyikan penipuan di dalam isu dakwat kekal pada PRU 13 yang lalu.
 
Selaku pegawai tentera, sikap ini sepatutnya mendapat pujian daripada Panglima Angkatan Tentera kerana seseorang pegawai tentera itu bukan sahaja perlu berdisiplin tetapi mesti berani dan tegas.  Malangnya ini tidak berlaku malahan beliau dilayan seolah-olah 'penderhaka' kepada negara yang selama ini beliau pertahankan.  
 
Pada 07 Feb lalu, Mejar Zaidi mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau ekoran pendedahan mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).  Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu di hadapan Yang Dipertua Mahkamah Tentera di Pengkalan TUDM, Sungai Besi.

Lima daripada pertuduhan berkenaan di bawah Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972, sementara dua lagi membabitkan Seksyen 51 akta sama.  Seksyen 50(2) adalah membabitkan kesalahan tidak patuh kepada pegawai atasan yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, manakala Seksyen 51 pula tidak patuh kepada perintah tetap yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau hukuman ringan lain.

Hakim menetapkan 8 hingga 10 April depan untuk perbicaraan kes tersebut.
 
KOBAT yakin mahkamah yang adil pasti membebaskan beliau dari pertuduhan yang tidak masuk akal itu.  Apakah salah seseorang tentera mengadu bahawa dirinya tertipu dengan dakwat kekal?  Apakah dengan menyatakan bahawa dakwat yang sepatutnya kekal dijarinya itu tetapi ternyata tidak kekal, itu merupakan satu kempen politik?  Mengikut Perintah Majlis Angkatan Tentera, 1972 (PMAT) sememangnya menjadi kesalahan seseorang anggota tentera;
 
1.  Menjadi ahli mana-mana parti politik.
2.  Berkempen untuk mana-mana parti politik.
3.  Menghadiri program politik dengan memakai pakaian seragam.
 
Di antara di atas, tiada satu pun yang dilakukan oleh pegawai tersebut.  Sehubungan itu, KOBAT merasakan adalah adil dan perlu pihak tentera menimbang kembali pertuduhan terhadap beliau.  Jasa-jasa dan pengorbanan selama ini yang dicurahkan oleh beliau demi negara sepatutnya tidak boleh di'jual beli' atau menjadi pertaruhan kepada orang-orang politik.  Adalah menjadi tanggungjawab ATM untuk membela anggota bawahannya daripada menjadi mangsa orang-orang politik.
 
Kami bimbang sekiranya perbuatan merendahkan martabat warga ATM seperti yang dilakukan terhadap Mej (U) Zaidi sekarang ini akan mendedahkan ATM kepada kejian dan pandangan rendah rakyat terhadap imej ATM itu sendiri.  Cukuplah PDRM sahaja yang sering terpalit dengan berbagai isu kontroversi, pertahankan maruah ATM sebagai pasukan yang hebat, gagah dan tidak takut kepada tangan-tangan orang politik.
 
 
WAN FAUZULDIN BIN WAN SAMAD
Penyelaras KOBAT

* Nyatakan sokongan anda, sertai halaman yang dinamakan Sokong Mejar Zaidi TUDM.

Tuesday, 4 February 2014

PRK DUN KAJANG - ADA KETIKANYA STRATEGI PERANG PERLU DIRAHSIAKAN DARI 'ASKAR LASKAR"

Perhatian kini tertumpu di PRK Dun Kajang.  Dato' Seri Anwar Ibrahim sanggup mengambil risiko untuk mengisi kekosongan Dun Kajang apabila Wakil Rakyat daripada PKR telah sukarela melepaskan Kerusi tersebut bertujuan merealisasikan "langkah mempertahankan Selangor" seterusnya merampas Putarajaya.

Bukan rahsia lagi, Selangor adalah satu-satunya negeri idaman kalbu oleh gerombolan rejim Umno/Bn.  Tiada ertinya menguasai Pusat apatahlagi menguasai 47% undi popular tanpa memiliki negeri terkaya atau lubuk emas iaitu Selangor.  Bertuahnya PR adalah menguasai 53% undi popular dan memiliki Selangor sebuah negeri terkaya dan termaju di Malaysia.
 
Najib sanggup berbuat apa sahaja demi untuk merampas Selangor.  Jika beliau tidak boleh memperolehinya dengan cara demokrasi atau melalui sokongan rakyat, beliau sanggup melakukannya melalui kaedah lain biarpun berapa bilion wang yang akan digunakan asalkan Selangor dapat dirampas.  Perak adalah satu contoh dan PR belajar melalui sejarah rampasan kuasa di Perak.
 
Kemelut di antara Tan Sri Khalid dan Azmin Ali di Selangor bukan satu faktor besar untuk Anwar campurtangan secara langsung di Selangor.  Anwar melihat jauh lagi ke hadapan.  Perak dan Kedah, adalah salah satu sabjek yang Anwar pelajari bersama pimpinan PR di mana di dalam politik ada ketikanya terpaksa mengatur 'strategi' luar biasa dan di luar jangkaan sesiapa.  Mungkin strategi ini tiada di dalam doktrin PR, tetapi tidak salah memilih strategi seperti ini apabila semua strategi tidak memberi kesan yang hebat.
 
Di dalam ketenteraan, tidak semua strategi yang dirancang untuk menghadapi musuh perlu dimaklumkan kepada 'askar laskar'.  Demi kerahsiaan dan mengelakkan strategi ini diketahui mungkin oleh 'musuh di dalam selimut', maka strategi ini hanya perlu dibincangkan dan diatur sesama beberapa 'Jeneral atau Pegawai Kanan'.  Apabila tiba perlaksanaannya iaitu waktu untuk menggempur, barulah 'askar laskar' ini dimaklumkan tentang strategi berkenaan.  Jika ada pun musuh di dalam selimut, risikonya amat kecil kerana mereka tidak mempunyai masa lagi untuk menghadapi atau mengagalkan strategi yang diatur.
 
Sehubungan itu, langkah PKR mengosongkan Kerusi Dun Kajang dengan hanya berbincang dengan beberapa "pegawai kanan" di dalam PR adalah tepat.  Kini, waktu untuk bertempur di mana 'askar laskar' telah dimaklumkan apa yang perlu dibuat.  Terbukti, musuh kini panik dengan strategi yang dilakukan.  
 
Persoalannya, adakah strategi ini berkesan untuk merobek pertahanan dan kekuatan musuh sekaligus menggagalkan segala perancangan jahat mereka?  Semuanya terpulang kepada 'askar laskar' yang berjuang.  Jika kita berjaya, ini adalah kejayaan kita bersama.  Jika kita gagal, ertinya strategi kita belum cukup berkesan atau kita masih memiliki 'askar laskar' yang menjadi 'musuh dalam selimut' yang mungkin 'menembak' kita di dalam kubu sendiri.  


Saturday, 11 January 2014

PENCEN WARGA TENTERA - MENGAPA TERLALU LEWAT DIBAYAR?

Baru-baru ini saya sempat bertemu beberapa orang rakan lama sewaktu di dalam perkhidmatan tentera.  Saya telah bersara lebih awal daripada mereka.  Mereka pula bersara pada bulan september tahun lalu.

Di dalam perbualan kami, mereka menyatakan rasa kesal kerana mereka masih belum menerima pencen.  Saya terperanjat kerana saya dahulu difahamkan telah ada dasar bahawa pembayaran pencen akan dibuat seberapa segera sebaik sahaja warga tentera bersara.  Ini memandangkan kebanyakan warga tentera yang bersara masih menangung anak-anak yang masih dipersekolahan serta terpaksa membayar hutang kenderaan dan berbagai lagi.  

Bayangkan jika memasuki 3 bulan mereka tidak memperolehi pencen, mereka terpaksa mencari kerja secepat mungkin tanpa waktu untuk berehat seketika selepas begitu lama berkhidmat di dalam tentera.  Sudah lah pencen lewat dibayar, wang atau ganjaran perkhidmatan atau wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diberikan kepada mereka juga tidak diperolehi sepenuhnya.  

Benarkah khabar-khabar angin yang mengatakan wang yang diperuntukan untuk membayar pencen mereka ini telah digunakan?  Jika benar, alangkah malang nasib mereka.  KOBAT akan cuba mendapatkan pengesahan serta kesahihan perkara ini daripada beberapa orang lagi pesara yang terlibat di samping akan berusaha mendapatkan jawapan mengapa pencen mereka ini tertangguh begitu lama.