JEMPUT JOIN KAMI

JEMPUT JOIN KAMI
Klik Logo Di Atas

Followers

RADIO ONLINE KOBATFM

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

Klik tunein untuk dengar melalui peranti mudahalih.

Wednesday 12 February 2014

ADUAN MEJ (U) ZAIDI TIADA KAITAN DENGAN POLITIK, BELIAU WAJIB DILEPASKAN



Mej (U) Zaidi tetap tabah dengan ujian
Kor Bekas Angkatan Tentera (KOBAT) terlebih dahulu mengucapkan tahniah dan syabas di atas keberanian pegawai tentera, Mejar (U) Zaidi yang berani menyuarakan kebenaran dan tidak menyembunyikan penipuan di dalam isu dakwat kekal pada PRU 13 yang lalu.
 
Selaku pegawai tentera, sikap ini sepatutnya mendapat pujian daripada Panglima Angkatan Tentera kerana seseorang pegawai tentera itu bukan sahaja perlu berdisiplin tetapi mesti berani dan tegas.  Malangnya ini tidak berlaku malahan beliau dilayan seolah-olah 'penderhaka' kepada negara yang selama ini beliau pertahankan.  
 
Pada 07 Feb lalu, Mejar Zaidi mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau ekoran pendedahan mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).  Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu di hadapan Yang Dipertua Mahkamah Tentera di Pengkalan TUDM, Sungai Besi.

Lima daripada pertuduhan berkenaan di bawah Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972, sementara dua lagi membabitkan Seksyen 51 akta sama.  Seksyen 50(2) adalah membabitkan kesalahan tidak patuh kepada pegawai atasan yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, manakala Seksyen 51 pula tidak patuh kepada perintah tetap yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau hukuman ringan lain.

Hakim menetapkan 8 hingga 10 April depan untuk perbicaraan kes tersebut.
 
KOBAT yakin mahkamah yang adil pasti membebaskan beliau dari pertuduhan yang tidak masuk akal itu.  Apakah salah seseorang tentera mengadu bahawa dirinya tertipu dengan dakwat kekal?  Apakah dengan menyatakan bahawa dakwat yang sepatutnya kekal dijarinya itu tetapi ternyata tidak kekal, itu merupakan satu kempen politik?  Mengikut Perintah Majlis Angkatan Tentera, 1972 (PMAT) sememangnya menjadi kesalahan seseorang anggota tentera;
 
1.  Menjadi ahli mana-mana parti politik.
2.  Berkempen untuk mana-mana parti politik.
3.  Menghadiri program politik dengan memakai pakaian seragam.
 
Di antara di atas, tiada satu pun yang dilakukan oleh pegawai tersebut.  Sehubungan itu, KOBAT merasakan adalah adil dan perlu pihak tentera menimbang kembali pertuduhan terhadap beliau.  Jasa-jasa dan pengorbanan selama ini yang dicurahkan oleh beliau demi negara sepatutnya tidak boleh di'jual beli' atau menjadi pertaruhan kepada orang-orang politik.  Adalah menjadi tanggungjawab ATM untuk membela anggota bawahannya daripada menjadi mangsa orang-orang politik.
 
Kami bimbang sekiranya perbuatan merendahkan martabat warga ATM seperti yang dilakukan terhadap Mej (U) Zaidi sekarang ini akan mendedahkan ATM kepada kejian dan pandangan rendah rakyat terhadap imej ATM itu sendiri.  Cukuplah PDRM sahaja yang sering terpalit dengan berbagai isu kontroversi, pertahankan maruah ATM sebagai pasukan yang hebat, gagah dan tidak takut kepada tangan-tangan orang politik.
 
 
WAN FAUZULDIN BIN WAN SAMAD
Penyelaras KOBAT

* Nyatakan sokongan anda, sertai halaman yang dinamakan Sokong Mejar Zaidi TUDM.

1 comment: