JEMPUT JOIN KAMI

JEMPUT JOIN KAMI
Klik Logo Di Atas

Followers

RADIO ONLINE KOBATFM

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

Klik tunein untuk dengar melalui peranti mudahalih.

Sunday 26 August 2012

JANJI DEMOKRASI DATARAN MERDEKA 30 OGOS, KOBAT SERU WARGA TENTERA/PESARA TURUN

KOBAT menyeru seluruh warga tentera atau pesara tentera untuk sama-sama menyambut Hari Ulangtahun Kemerdekaan di Dataran Mereka pada 30 hb Ogos ini bersama-sama lebih 47 NGO mulai jam 10.00 malam.

Bagi menunjukkan bahawa warga tentera dan pesara tentera juga memperjuangkan demokrasi tulen, maka marilah kita bersama-sama memakai baju Kuning 'Janji Demokrasi' yang sebelum ini dikenali sebagai 'Janji Bersih'.

Atas kesedaran bahawa terlalu banyak kepincangan di dalam amalan demokrasi di negara ini, maka sewajarnya warga tentera dan pesara tentera menunjukkan sokongan terhadap perjuangan rakyat untuk memulihkan demokrasi di negara ini.

KOBAT Negeri Pahang akan turut bersama-sama menyertai rakyat di Dataran Merdeka pada malam tersebut.

Saturday 18 August 2012

SELAMAT HARI RAYA, JANGAN LUPAKAN TEMAN SEPERJUANGAN

KOBAT mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Eidul Fitri, maaf zahir batin kepada semua warga tentera/Perajurit tanahair serta semua pesara-pesara tentera/Perajurit yang berugama Islam.

Mudah-mudahan ibadah kita di bulan Ramafhan ini mendapat keberkatan dari Illahi.  Di samping kita merayakan kegembiraan suasana Hari Raya ini, jangan kita lupakan teman-teman seperjuangan kita dahulu yang mungkin nasib mereka tidak sebaik kita.  Kunjungilah mereka walau di mana kita berada walaupun sekadsr bertanya berita dan memberikan sesuatu sekadar termampu mudah-mudahan semua amalan kita diberkati Allah SWT.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin

Thursday 16 August 2012

PRU13: Najib tertekan, perisik lapor peralihan kuasa

Muhammad Faizal, 
14 Ogs 2012



 
 
KUALA LUMPUR: PAS melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus berada dalam keadaan tertekan untuk membuat pengumuman pembubaran parlimen bagi menghadapi Pilihanraya Imum ke-13 (PRU13).

Kenyataan tersebut disuarakan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) apabila 'task force' rasmi yang terdiri daripada perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut melaporkan akan berlaku peralihan kuasa pada PRU13 nanti.

"Melihat kepada apa yang berlaku sekarang pada senario politik negara, Najib terus berada dalam keadaan tertekan untuk membuat pengumuman pembubaran parlimen bagi mengadakan PRU13.

"Tekanan itu lebih teruk lagi apabila laporan dari perisik rasmi kerajaan yang telah menyatakan rakyat telah menunjuk sikap tidak selesa mereka kepada kerajaan, malah menjangkakan akan ada perubahan kuasa," jelasnya sewaktu majlis berbuka puasa di sebuah hotel semalam.

Mahfuz yang turut menjangkakan Najib akan mengadakan pilihanraya pada awal tahun hadapan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Katanya lagi, faktor kesuntukkan masa iaitu sambutan kemerdekaan, musim haji dan juga peperiksaan kepada pelajar-pelajar sekolah juga antara sebab utama PRU13 dibawa ke tahun hadapan.

"Sudah pasti pilihanraya tidak akan diadakan pada musim haji kerana rakyat negara ini akan keluar untuk menunaikan haji dan begitu juga musim peperiksaan yang mana ibubapa akan lebih tumpukan kepada peperiksaan anak mereka.

"Jika Najib ingin mengadakan pada musim peperiksaan ia akan menimbulkan kemarahan kepada ibubapa, malah peglibatan guru-guru dalam menguruskan peperiksaan juga akan turut terganggu," sambungnya.

Menurutnya, kerajaan akan menggunakan sebaik mungkin belanjawan 2013 yang akan dibentangkan pada sesi parlimen akan datang.

"Sokongan rakyat sudah semakain menurun dan saya pasti Najib akan menggunakan sepenuhnya kelebihan senjata terakhir mereka pada belanjawan kali ini untuk menarik undi rakyat.

"Apatah lagi senario perubahan yang besar akan berlaku di Sabah, Najib dijangka bertindak luar biasa kepada rakyat di sana.

Sebelum itu, menurut laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin yang telah keluar BN dan mengisytiharkan sokongan kepada Pakatan Rakyat turut mendakwa tiga lagi ahli parlimen BN akan lompat parti selepas Hari Raya.

Menurut Lajim lagi, seramai 18 daripada 35 ahli jawatankuasa Umno bahagian Beaufort menuruti langkahnya meletak jawatan dan mempromosi Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang menyokong Pakatan./HarakahDaily

Friday 10 August 2012

BANTUAN RM 100,000 KEPADA KELUARGA MENDIANG LOGA, BAGAIMANA DENGAN NASIB BEKAS PERAJURIT?

PM, Najib Razak telah mengumumkan bantuan sebanyak RM100,000 kepada keluarga mendiang Loganathan atas kemalangan yang menimpa keluarga pengasas kumpulan Alleycats itu malam kelmarin.  "Sebagai menghargai jasa mendiang kepada budaya kita dan semangat 1Malaysia, Yayasan 1MBDB akan beri RM100,000 kepada keluarga mendiang", kata Najib.


 
 
Tambah Najib lagi, "Ini sebahagian dari sumbangan, budi kepada mereka yang banyak berjasa melalui profesion menyanyi dan menyumbang kepada pembentukan negara bangsa," katanya.  Najib yang merupakan Pemangku Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berkata demikian dalam ucapannya di program Karisma Ramadan anjuran kementerian itu di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.
 
Keluarga Mendiang Loga memang patut dibantu, itu tidak boleh dipertikaikan samasekali.  Apa yang menjadi persoalannya jumlah bantuan sebanyak RM100,000 itu adakah turut dirasai oleh rakyat biasa, rakyat miskin, anggota pasukan keselamatan atau bekas perajurit sekiranya bencana seperti itu menimpa mereka?  
 
Siapa boleh nafikan jasa Mendiang Loga, penyanyi terkenal dari Kumpulan Alleycat ini dan sememangnya beliau ada jasa terhadap perkembangan seni tanahair.  Tetapi, jasa terhadap seni tidak boleh dibandingkan dengan jasa terhadap mempertahankan negara seperti yang dilakukan oleh anggota-anggota keselamatan termasuk mereka yang telah bersara.  Kita ingin bertanya, siapakah di antara anggota keselamatan dan bekas perajurit yang pernah mengalami bencana rumah terbakar yang mendapat seperti yang diperolehi oleh keluarga Mendiang Loga?
 
Adakah kita mahu nafikan masih ramai bekas pesara tentera/polis yang masih hidup dengan menumpang atau menyewa rumah.  Seperti yang pernah kami siarkan di sini, terdapat satu keluarga bekas tentera yang suaminya sakit tidak boleh bekerja sehingga kini masih menyewa rumah yang sewanya tidak berbayar selama lebih kurang dua tahun.  Bayangkan, jika keluarga Mendiang Loga yang telah memiliki rumah sendiri tetapi terbakar mendapat RM100,000 yang dianggap sudah mencukupi untuk sebiji lagi rumah baru,bagaimana pula nasib bekas tentera ini?  Jika Mendiang Loga dikatakan mempunyai jasa besar terhadap seni, adakah bekas tentera ini jasanya terlalu kecil?
 
Kita tidak mempertikaikan bantuan sebanyak mana pun terhadap sesiapa yang ditimpa bencana.  Tetapi apa jua bentuk bantuan biarlah adil kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama.  Jika kerajaan tidak mampu memberi banyak bantuan, biarlah yang sedikit itu dikongsi bersama oleh mereka yang senasib. 

Wednesday 8 August 2012

TIDAK UNDI BN DIANGGAP KHIANAT DAN DERHAKA?

Bekas ketua CID: Polis bimbang dianggap derhaka


Abdul Rahim Sabri

WAWANCARA Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari berkata, anggota polis mengundi BN kerana bimbang dianggap "derhaka dan tidak bersyukur" sekiranya mengundi pembangkang.

Fauzi yang menyertai PAS Mei lalu berkata perkara itu timbul kerana "keterikatan" anggota polis kepada kerajaan yang membayar gaji dan elaun kepada anggota pasukan terbabit.

 
 
"(Ramai anggota polis) berpandangan gaji, elaun dibayar oleh kerajaan. (Mengikut) fahaman kita, kerajaan adalah tak boleh selain daripada BN.

"Lantaran itu, (mengikut) fahaman kita, dalam keadaan mengundi, siapa yang tidak mengundi BN itu... akan dianggap sebagai derhaka, atau tidak berterima kasih atau bersyukur kepada orang (kerajaan) yang beri elaun, gaji beri kita makan," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.

Tegasnya, kerajaan dan parti adalah dua perkara yang perlu dibezakan dan anggota polis berhak membuat pilihan masing-masing bagi memilih parti tertentu untuk menerajui kerajaan dalam pilihan raya.

"Kita boleh pilih mana-mana (parti), yang lebih baik, telus, jujur, berpegang amanah, tidak menekan (dan) tidak rasuah.

"Jadi, jangan ada kekhuatiran, kita nak sokong parti lain, (menyebabkan) kita akan dilabel khianat, derhaka. Tidak timbul sama sekali. Sepatutnya semangat sebegini ada," katanya.

 
 
Ditanya sekiranya kerajaan memberi tekanan kepada anggota polis supaya menyokong BN dalam pilihan raya, bekas ketua polis Selangor itu berkata perkara itu tidak berlaku.

Namun, selagi anggota polis atau penjawat awam lain bekerja dalam kerajaan, mereka perlu mematuhi peraturan, garispanduan operasi atau perintah yang telah ditetapkan, katanya.

Jika anggota polis menyatakan sokongan politik secara terbuka kepada parti tertentu pula, mereka juga dianggap "mengingkari peraturan umum", katanya.

"Kerajaan mengikat kamu, kamu kena patuh, kena berkhidmat. Tetapi dalam berkhidmat, tidak ada unsur-unsur supaya memihak. Tidak (ada). (Polis berkhidmat) untuk semua rakyat, (dengan) adil. Jadi kita kena adil," katanya.

Sepanjang 32 tahun perkhidmatannya dalam pasukan polis, Fauzi juga pernah menjadi ketua polis Sarawak./Malaysiakini

Thursday 2 August 2012

NAHAS JALANRAYA, ANAK TENTERA JADI YATIM PIATU - TAKZIAH DARI KOBAT

 
Kuala Lumpur - “Tolong jaga anak saya baik-baik,” itulah pesanan terakhir Allahyarham Siti Noor Edayu Roslan, 26, kepada penjaga anaknya sebelum dia bersama suaminya, Mohd Hafeeze Mohd Hanafi, 30, maut dalam kemalangan di Jalan 15/56 AU3, Keramat, di sini, pagi semalam.

Gambar: Di sebelah adalah gambar kanak-kanak yang kehilangan ibu bapanya dalam kemalangan di Jalan 15/56 AU 3, Keramat semalam. Kanak-kanak kecil ini bernama Mohd Hanif Hafezee dan baru berumur 2 tahun.

Bapa Allahyarham Siti Noor Edayu, Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Lumpur, Sarjan Roslan Jalil, berkata dia tidak menyangka itu adalah kata-kata terakhir anaknya setelah dimaklumkan oleh penjaga cucunya.

Menurutnya, ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan kerana mereka semua menanti kelahiran anggota keluarga baru.

“Kali terakhir kami sekeluarga berbuka puasa bersama pada Isnin lalu, Allahyarham ada memberi sejumlah wang untuk diadakan majlis kenduri pada hari raya Aidilfitri,” katanya.

Pasangan itu meninggalkan seorang anak lelaki, Mohd Hanif Hafeeze berusia dua tahun.

 
 
Dalam kejadian pada jam 7 pagi itu, Hafeeze bersama Edayu Roslan (gambar) yang hamil tujuh bulan, baru menghantar anak sulungnya di rumah pengasuh.

Hafeeze, seorang anggota tentera yang bertugas di Bahagian Gaji, Kementerian Pertahanan di sini dalam perjalanan menghantar Edayu yang berkhidmat sebagai kerani di sebuah syarikat di Cheras.

Kedua-dua mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda Z, dirempuh dari belakang oleh sebuah bas semasa berhenti di satu persimpangan lampu isyarat.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Abdullah Roning, berkata mangsa dirempuh bas yang datang dari arah Flat Polis Cempaka menghala ke Taman Setiawangsa.

“Kejadian itu dipercayai berlaku ekoran kegagalan pemandu bas mengawal kenderaannya ketika menuruni bukit lalu melanggar mangsa yang sedang berhenti di belakang sebuah bas sekolah yang lain di persimpangan itu,” katanya.

Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan pasangan itu tersepit di antara dua bas. Hafeeze maut di tempat kejadian manakala isterinya meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

“Kita masih menyiasat kejadian tersebut. Ia berkemungkinan berpunca daripada kegagalan sistem brek bas terbabit,” katanya.

Beliau berkata, mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, saksi Saiful Azhar Ismail berkata, kemalangan tragis itu berpunca daripada bas yang dipandu laju ketika menuruni bukit yang curam sehingga gagal dikawal dan bergesel dengan sebuah kenderaan sebelum merempuh sebuah motosikal.

Menurutnya, dia dalam perjalanan ke tempat kerja melihat bas sekolah yang menuruni bukit dengan laju cuba mengelak sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan sebelum merempuh pasangan itu.

“Sebelum melanggar motosikal itu, saya nampak bas tersebut cuba mengelak kereta jenis Mercedes, lalu merempuh motosikal yang dinaiki mangsa di hadapannya, menyebabkan mereka tersepit di antara dua bas,” katanya.

Menurutnya, kemalangan maut itu melibatkan sekurang-kurangnya sembilan kenderaan iaitu dua bas, lima kereta dan dua motosikal.






berita:sinar harian
foto:ondscene.my

Wednesday 1 August 2012

JIKA PR PERINTAH IMEJ POLIS AKAN DIPELIHARA

Bekas ketua CID kaji isu jenayah untuk bajet Pakatan


Abdul Rahim Sabri

Bekas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari yang menyertai PAS pada Mei lalu merupakan antara tokoh yang terlibat dalam kajian penambahbaikan pasukan polis, khususnya dalam membanteras jenayah.

Fauzi berkata, kajian yang akan dimasukkan ke dalam bajet Pakatan Rakyat itu antara lainnya bertujuan untuk memperbaiki persepsi masyakat ke atas pasukan Polis Diraja Malaysia.


 
 
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di ibu pejabat PAS hari ini.

Sementara itu, setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata pelantikan Fauzi yang berpengalaman sebagai pegawai tertinggi PDRM akan dapat membantu memberi input kepada kajian yang dilakukan itu."Kedudukan soal jenayah semakin parah sehingga kerajaan terpaksa mengambil RELA untuk bantu polis... Jenayah (semakin) parah, polis macam tak cukup tenaga," katanya."Ini menggambarkan jenayah itu (semakin) parah, dan semacam tak cukup tenaga untuk mengendalikan perkara ini," katanya.

Berdasarkan kajian pihaknya, Mustafa berkata Pakatan berpendapat perkara itu boleh diselesaikan dengan mengurangkan penggunaan anggota pada bahagian kurang keutamaan untuk diserapkan dalam bahagian tertentu khususnya jenayah dan penyiasatan.

Menurutnya, penambahan tenaga penyiasatan dalam kes-kes jenayah mampu mengurangkan beban yang ditanggung oleh pegawai penyiasat berbanding seramai 10 orang bagi sesuatu kes.

"Ini yang kita sedang teliti, kita akan beri maklumat yang lengkap apabila siap untuk kita bentuk satu kaedah dalam bajet, yang menggambar keupuyaan kita apabila kita mengambil alih kerajaan," katanya./Malaysiakini