JEMPUT JOIN KAMI

JEMPUT JOIN KAMI
Klik Logo Di Atas

Followers

RADIO ONLINE KOBATFM

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

Klik tunein untuk dengar melalui peranti mudahalih.

Friday 30 November 2012

KOBAT BERKUNJUNG KE DUN LANCHANG, TEMERLOH PADA 01 DIS 12 (SABTU)


KOBAT sekali lagi akan berkunjung ke Temerloh, kali ini di Dun Lanchang iaitu di Taman Lanchang Permai, Bolok, Lanchang, Temerloh pada 01 Disember 2012 (Sabtu) bagi menyampaikan ceramah mulai jam 08.45 malam.

Wfauzdin NS (Penyelaras KOBAT)
Turut bersama adalah Puan Felicia Ling (AJK Wanita PKR Pusat), Sdr Razali Alias (Ketua Penerangan PKR Pahang), Sdr Man Kadir @ Pak Jabit (Timb Ketua Cabang PKR Temerloh) dan juga seorang aktivis Cikgu Jalaluddin.

Dijemput semua warga tentera dan bekas tentera yang berhampiran untuk hadir pada malam itu nanti.  Apakah yang KOBAT perlukan bagi merubah keadaan warga tentera dan bekas tentera sekiranya PR berjaya membentuk kerajaan?  Jom hadir untuk mendapatkan maklumat isu-isu semasa.

Wednesday 28 November 2012

GURU DIPECAT, KINI MENANTI WARGA TENTERA PULA?


Baru-baru ini kita dapat mengetahui kisah di mana seorang guru yang berkhidmat di Sekolah Rendah Agama di Labuan bernama Sdri Qatrun Nada Latfi telah dipecat akibat mengikuti satu program ceramah politik.

Tindakan zalim yang tidak berperikemanusiaan ini wajib ditentang.  Apakah satu jenayah apabila seseorang itu ingin mendapatkan haknya untuk mendapatkan maklumat dari berbagai pihak?  Adakah beliau melakukan kesalahan meninggalkan kelas untuk mendengar ceramah politik?  Tidak.  Beliau hadir di dalam program ceramah di luar waktu beliau bertugas.

KOBAT difahamkan, terdapat kes di dalam ATM akan meniru cara tersebut.  Sekiranya ianya benar, kami tidak akan berdiam diri untuk membela sesiapa sahaja dari warga ATM yang dizalimi angkara suruhan orang-orang politik.  Kami ingin mengingatkan semua pegawai di dalam ATM, bermuhasabahlah, berlakulah dengan adil kepada anak-anak buah sendiri tanpa takut dengan arahan parti politik yang bakal lingkup itu.

Jangan korbankan anak buah sendiri demi untuk menjaga perut pemimpin yang telah banyak mengaut hak-hak ATM.  KOBAT akan terus memantau perkara ini seperti kami memantau beberapa kes penyelewengan dan salah urus yang berlaku di dalam ATM

Tuesday 20 November 2012

CERAMAH KOBAT DI TAMAN SAGA, MENTAKAB MALAM INI (20 NOV 2012)

Ceramah KOBAT di Pekan baru-baru ini
InsyaAllah, malam ini (20 Nov 2012 - Selasa), KOBAT telah dijemput untuk memberikan ceramah di Apak Corner, Taman Saga, Mentakab di dalam satu program Ceramah Umum bersama Sdr Fariz Musa (Ahli MPP/Pengerusi Jingga 13), Sdr Man Kadir @ Pak Jabit (Timb Ketua Cabang KEADILAN Temerloh/Dramatis) dan Sdr Rizal Jamin (Penyelaras Dun Benta/Bekas Ketua AMK Pahang).

Kepada semua dijemput hadir beramai-ramai terutamanya kepada warga tentera/keselamatan dan juga pesara-pesara tentera.  KOBAT akan memperincikan isi kandungan memorandum tuntutan KOBAT yang baru-baru ini telah diserahkan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim di Kuantan.  Tuntutan itu adalah untuk Pakatan Rakyat pertimbangkan seterusnya untuk dilaksanakan sekiranya berjaya ke Putrajaya.

Apakah kandungan tuntutan tersebut?  Sama-samalah kita hadir beramai-ramai malam ini.

Saturday 17 November 2012

BEKAS TENTERA 'TERPAKSA' MENCURI SEPEKET SUSU UNTUK BERI MAKAN ANAK DIPENJARA

Jika anda seorang tentera atau bekas tentera yang ada walau sedikit iman di dada, paling tidak sedikit naluri kemanusiaan, pasti akan terasa sebak dengan kisah bagaimana seorang bekas tentera terpaksa mencuri demi untuk anak perempuannya.

Seperti dilaporkan semalam, Mahkamah Majistret Kuantan telah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas seorang bekas tentera yang mengaku bersalah mencuri sepeket susu tiga hari lepas. Penolong Kanan Pendaftar Jesseca Damis memerintahkan hukuman ke atas Mohd Sobir Kashim, 32, dijalankan bermula hari ini. Mohd Sobir yang tidak diwakili peguam, didakwa mencuri sepeket susu jenama Anlene Gold seberat 660 gram berharga RM21.99 di Pasaraya Jaya Gading, Semambu dekat sini, pada 2.15 petang, 13 Nov lepas. 

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda, dan bagi kesalahan kedua atau selepasnya boleh dipenjarakan, denda atau sebatan. 

Bukan salah atau silap Hakim apabila berkata, " Kamu adalah seorang bekas tentera dan sepatutnya kamu tidak buat kesalahan ini dan setelah mengambil kira rayuan kamu mahkamah menetapkan hukuman penjara tiga bulan ke atas kamu dan hukuman dijalankan bermula dari hari ini,” katanya.  Hakim menjatuhkan hukuman mengikut bidangkuasa yang ada padanya.  Tetapi, andainya Hakim berkenaan meneruskan ayat beliau, " Apakah sebagai bekas tentera, seorang yang pernah berjasa kepada negara ini, kamu tidak diberi pembelaan atau keistimewaan agar kamu boleh menampung kehidupan keluarga kamu?" Jika itu lah ayat yang keluar dari mulut Hakim sebelum menjatuhkan hukuman, nescaya kita semua mampu untuk menjawab bagi pihak bekas tentera tersebut.

Terdahulu, tertuduh yang berasal dari Padang Serai, Kedah, dalam rayuannya berkata dia terpaksa mencuri susu tersebut untuk dijual dengan alasan dia tidak mempunyai wang bagi membeli makanan untuk anak perempuannya. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari.  

Wang 'One Off' sebanyak RM1, 000 yang dijanjikan itu belum lagi diterima, walaupun bekas-bekas KEMAS yang hanya berkhidmat lebih 5 tahun telah pun menerimanya dengan jumlah RM3, 000 jauh berganda dari bekas tentera seperti beliau. 

Di dalam keadaan kita menyaksikan ratusan Juta duit rakyat disapu oleh pimpinan rakus dan masih tiada siapa yang ditahan atau didakwa, bekas tentera ini telah pun merengkok di dalam penjara hanya kerana satu tin susu untuk dijual bagi memberi makan kepada anaknya. 

Kepada anda yang tahu di mana alamat waris bekas tentera ini, mohon maklumkan kepada KOBAT melalui email kami zek_riy@yahoo.com atau No Tel: 013-9410309.  Kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu waris bekas tentera ini.


Wednesday 14 November 2012

KOBAT SERAH SUMBANGAN KEPADA KUMPULAN HIJAU ' BERJALAN KAKI' BANTAH LYNAS

Malam tadi KOBAT telah berkunjung ke tempat hentian (Check Point) Kumpulan Hijau Anti Lynas di Pekan Gambang sebagai tanda sokongan KOBAT kepada kempen mereka membantah Lynas yang telah mendapat kelulusan untuk beroprasi di Gebeng, Kuantan.

Kumpulan ini telah berjalan kaki seramai lebih kurang 45 orang dari Padang MPK 1, Kuantan diketuai oleh Pengerusinya, Sdr Wong Tack untuk menuju ke KL, berhimpun di Dataran Merdeka sebelum ke Parlimen bagi menunjukkan bantahan ke atas Lynas.  Di dalam perjalanan sejauh lebih kurang 300 Km itu, kumpulan ini telah berhenti rehat di Pekan Gambang dan akan meneruskan perjalanannnya awal pagi ini.

Dari kiri, Penyelaras KOBAT, Sdr Wfauzdin NS, Sdr Asri menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Kumpulan Hijau Anti Lynas, Sdr Wong Tack disaksikan oleh Sdr Lee Chean Chung selaku Pemangku Ketua Cabang KEADILAN Indera Mahkota dan ahli Kumpulan Hijau
Dalam kunjungan KOBAT malam tadi, kami telah memberikan sumbangan satu kotak air penambah tenaga '100 Plus' untuk kumpulan tersebut.  Wakil KOBAT, Sdr Asri telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pengerusinya.  

KOBAT sentiasa mendoakan agar perjalanan kumpulan tersebut berada di dalam keadaan selamat sepanjang perjalanan mereka ke KL.

Monday 12 November 2012

KOBAT CERAMAH DI KAWASAN NAJIB LAGI

Terlebih dahulu KOBAT mengucapkan ribuan terima kasih di atas jemputan SAMM Pahang untuk KOBAT menyampaikan ceramah di dalam Program Ceramah Jelajah Skandar Scorpene anjuran SAMM Kebangsaan dan SUARAM pada 10 hb Nov 2012 bertempat di Taman Indera Sempurna, Pekan baru-baru ini.

Sejajar dengan prinsip KOBAT iaitu menentang sebarang bentuk penyelewengan atau rasuah, lebih-lebih lagi melibatkan penjualan rahsia keselamatan negara, maka amat tepat KOBAT menerima jemputan dari pihak Penganjur malam itu.

Penyelaras KOBAT, Sdr Wfauzdin NS sedang berucap

Penceramah dari KOBAT, Sdr Wfauzdin NS yang juga admin kepada blog ini mengambil kesempatan untuk mengulas beberapa isu walaupun masa agak singkat bagi memberikan laluan kepada penceramah utama iaitu Sdr Badrul Hisham Shahrin atau Chegu Bard, Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan juga wakil peguam dari SUARAM.

KOBAT telah menyentuh isu skandal pembelian kenderaan RIV sepertimana yang pernah ditegur oleh Tuanku Sultan Johor.  Turut disentuh adalah berkaitan memorandum KOBAT yang telah diserahkan kepada Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sewaktu Program Jelajah Merdeka Rakyat ke Pahang baru-baru ini, di mana memorandum tersebut turut meminta sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Putrajaya, maka pemberian Elaun Sara Hidup setiap bulan hendaklah diberi kepada bekas-bekas tentera yang tidak berpencen mengikut tempoh perkhidmatan mereka.

Di antara yang hadir dalam Ceramah Jelajah Skandal Scorpene di Pekan
Pemberian 'One Off'" sebanyak RM 1, 000 kepada bekas-bekas tentera yang tidak berpencen ini amat jauh bezanya dari pemberian 'One Off' kepada bekas Guru-Guru KEMAS yang telah berkhidmat lebih dari 5 tahun, sedangkan kebanyakan bekas tentera yang tidak berpencen mereka telah berkhidmat lebih dari 10 tahun.

Turut disentuh adalah perkembangan yang amat positif di kalangan warga tentera kini untuk menukar tampuk pemerintahan kepada Pakatan Rakyat.  Oleh sebab kebangkitan dan kesedaran ini lah maka dapat dilihat bagaimana pihak mereka cuba untuk menekan warga tentera agar menjauhkan diri dari Pakatan Rakyat dengan berbagai kaedah dan cara, sedangkan di pihak Umno/Bn mereka bebas untuk berkempen di kalangan warga tentera.

KOBAT akan terus memberikan penerangan dengan apa jua cara untuk memberi kesedaran kepada warga tentera dan bekas tentera bahawa sudah sampai masanya negara ini perlu berubah menjadi sebuah negara yang bersih, adil dan selamat.

Friday 9 November 2012

INTIPATI MEMORANDUM KOBAT PADA JELAJAH SKANDAL SCORPENE DI PEKAN PADA 10 NOV 2012 (SABTU) INI


KUALA LUMPUR 8 Nov: Penyerahan memorandum tuntutan Kor Bekas Anggota Tentera/Perajurit (Kobat) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, membuktikan bekas tentera lebih menyakini kepimpinan KEADILAN dan Pakatan Rakyat berbanding Umno BN, kata Datuk Fauzi Abdul Rahman.

“Umno BN dakwa menjaga kebajikan bekas tentera, tiada sebab mengapa bekas tentera akan beri kepercayaan kepada pembangkang. Jelas hanyalah telahan kosong semata.

“Kenapa kita serahkan memorandum kepada Anwar? Kerana kita yakin dengan kepimpinan beliau. Kita yakin hanya Pakatan boleh merealisasi tuntutan,” kata Pengerusi Kobat Pahang itu kepada Keadilan Daily, hari ini.
 
 

Beliau yang juga Pengerusi KEADILAN Pahang itu berkata, perbincangan mengenai tuntutan yang dibangkitkan dalam memorandum akan diadakan dalam masa terdekat.

“Mengikut makluman, memorandum sedang disemak Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution. Selepas selesai, akan ada pertemuan untuk bincang lebih lanjut,” katanya.

Pada 4 November lalu, Anwar menerima memorandum tuntutan Kobat pada ceramah perdana Jelajah Merdeka Rakyat di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan, Pahang.

Ia memuatkan tuntutan berkaitan tiga aspek iaitu dasar dan pentadbiran, latihan dan kerohanian, keselamatan dan logistik agar dapat dilaksanakan setelah Pakatan berjaya ke Putrajaya.

Tuntutan itu boleh dibaca di sini.
 
Sumber:  KeadilanDaily
 
Nota:  InsyaAllah, pada Program Jelajah Skandal Scorpene Anjuran SAMM dan SUARAM di Taman Indera Sempurna, Pekan, Pahang pada 10 hb Nov 2012 (Sabtu) ini, wakil KOBAT akan diberi peluang untuk memberikan ceramah.  Intipati memorandum tersebut akan dinyatakan di dalam ceramah berkenaan.

Tuesday 6 November 2012

DS ANWAR TERIMA MEMORANDUM KOBAT

Kelmarin, pada 04 hb November 2012 (Ahad) sempena Jelajah Merdeka Rakyat ke Negeri Pahang, KOBAT mengambil kesempatan tersebut untuk menyerahkan 'Memorandum Tuntutan KOBAT' kepada Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum KEADILAN, YB Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Sepatutnya memorandum tersebut telah diserahkan kepada pimpinan Pakatan Rakyat pada Konvensyen Pakatan Rakyat Pahang baru-baru ini tetapi memandangkan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu tidak dapat hadir, maka KOBAT menangguhkan penyerahan tersebut.

Penyerahan Memorandum Tuntutan KOBAT kepada Dato' Seri Anwar
Kelmarin, sewaktu Program Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat bertempat di Taman Seri Mahkota Aman, Batu 11, Kuantan, KOBAT telah menyerahkan Memorandum tersebut ke tangan Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri yang disaksikan oleh puluhan ribu yang hadir malam tersebut.  Penyerahan malam itu mendapat tepukan dari ramai bekas-bekas tentera yang hadir dan kebanyakannya menginap di kawasan berhampiran termasuk juga ramai warga tentera yang meraikan demokrasi hadir untuk mendapatkan maklumat semasa dari Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ribuan yang hadir
Dato' Seri Anwar Ibrahim mengucapkan ribuan terima kasih di atas usaha KOBAT dan beliau berjanji akan bertemu dan bersemuka dengan KOBAT di dalam masa terdekat ini bagi membincangkan lebih lanjut tentang memorandum yang telah disampaikan itu.  

Apakah tujuan memorandum tersebut disampaikan?  Ianya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memberikan cadangan dan tuntutan kepada Pakatan Rakyat berkaitan tiga aspek yang terkandung di dalam memorandum tersebut agar dapat dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya ke Putrajaya, InsyaAllah.

Tiga aspek penting tersebut melibatkan:

1.  Dasar dan Pentadbiran
2.  Latihan dan Kerohanian
3.  Keselamatan dan Lojistik

Tuntutan KOBAT bukan hanya untuk kepentingan pesara-pesara atau bekas tentera sahaja, tetapi lebih banyak menumpukan kepada kebajikan warga tentera yang sedang berkhidmat.  Di antara kandungan tuntutan tersebut telah kami siarkan sebahagiannya di dalam Blog ini dan akan kami siarkan dari semasa ke semasa.

KOBAT mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim kerana sudi menerima memorandum kami.  Turut kami hargai adalah pihak Penganjur Program Ceramah malam tersebut yang telah memberikan sedikit ruang kepada KOBAT walaupun tidak dirancang lebih awal untuk menyerahkan memorandum berkenaan.

Friday 2 November 2012

JELAJAH MERDEKA RAKYAT - PELUANG WARGA TENTERA/BEKAS TENTERA DAPATKAN MAKLUMAT

Jelajah Merdeka Rakyat bersama bas 'kontroversi' akan tiba ke Pahang pada 04 November (Ahad) ini bersama rombongan Dato' Seri Anwar Ibrahim.


Setibanya beliau ke bumi Pahang, kawasan pertama yang akan beliau kunjungi adalah di Pekan Lanchang, Temerloh.  Kemudian rombongan akan ke K.Krau iaitu di Perkarangan Ibu Pejabat KEADILAN K.Krau.



Lokasi seterusnya adalah di Kuantan dan Indera Mahkota.  Dato' Seri Anwar akan mengerjakan Solat Maghrib di Madrasah Medan Warisan (Depan Giant) Kuantan seterusnya akan memberikan tazkirah.  Sejurus selepas itu, beliau akan ke lokasi ceramah pertamanya iaitu di Pelangi Resort, Balok.  Ceramah kedua pula selepas itu adalah di Perkarangan PASTI Taman Mahkota Aman, Batu 11, Jln Gambang, Kuantan.


Kepada semua warga tentera dan bekas-bekas tentera di kawasan berhampiran dijemput hadir.  Sekali lagi diperingatkan kepada warga tentera, adalah tidak menjadi satu kesalahan kepada anda untuk hadir semata-mata untuk mendapatkan maklumat dan penerangan berkaitan isu semasa politik tanahair.  

Anda hanya DILARANG berkempen, menjadi ahli atau terlibat secara langsung membantu jentera parti (Rujuk PMAT 1972, Bahagian 3).  Maka, jadilah warga tentera yang bermaklumat kemudiannya pilihan di tangan anda.