JEMPUT JOIN KAMI

JEMPUT JOIN KAMI
Klik Logo Di Atas

Followers

RADIO ONLINE KOBATFM

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

Klik tunein untuk dengar melalui peranti mudahalih.

Wednesday 23 May 2012

RAYUAN DERMA KILAT UNTUK PEMBEDAHAN BEKAS TENTERA


Bekas tentera, Sdr Mazlan dan Isteri, Pn Norbaini di samping anak bongsunya
Pada 21 Apr 2012 yang lalu, Pengerusi KEADILAN Negeri Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman bersama wakil dari KOBAT (Kor Bekas Angkatan Tentera) serta Pemangku Ketua Cabang KEADILAN Indera Mahkota, Sdr Lee Chean Chung telah menziarahi satu keluarga bekas tentera di Bukit Sekilau, Kuantan. Lawatan itu juga turut disertai oleh pimpinan PAS kawasan yang diwakili oleh Setiausaha PAS Cawangan Bukit Sekilau, Sdr Asri dan Bendahari PAS Bukit Sekilau, Sdr Zuraini.

Kunjungan kami adalah di rumah Sdr Mazlan bin Mohd Husin (47) , yang tinggal bersama isterinya Puan Norbaini di sebuah rumah yang disewanya. Beliau memiliki 4 orang anak, 3 orang anak tinggal bersamanya manakala anak yang sulung sudah berkeluarga dan tinggal berasingan. Sdr Mazlan adalah seorang bekas tentera yang pernah berkhidmat selama 7 tahun yang tamat perkhidmatannya pada tahun 1991. Pasukan terakhir beliau berkhidmat adalah di pasukan 105 Bn Infanteri di bawah naungan Markas 8 Briged.
Dato' Fauzi sedang mendengar masalah yang disuarakan oleh isteri Sdr Mazlan
Semenjak dua tahun yang lalu, beliau tidak lagi dapat bekerja untuk menyara keluarganya kerana menghidapi penyakit kencing manis yang serius di samping menghidapi penyakit jantung sehingga mengakibatkan beliau tidak lagi boleh melihat dengan jelas dan terlantar di rumah. Isterinya pernah memohon gerai perniagaan untuk menyara keluarganya, namun gerai tersebut terpaksa di sita kerana tidak mampu menjelaskan bayaran. Dua anaknya masih bersekolah, seorang perempuan di Tingkatan Tiga manakala yang bongsu berada di Pra Persekolah. Seorang lagi tidak mampu bekerja ketika ini kerana terlibat di dalam kemalangan. Anak beliau yang sulung pula telah berkahwin dan mempunyai tanggungannya sendiri.

Wajah sayu keluarga bekas tentera yang pernah berjasa kepada negara

Akibat penyakitnya itu, Sdr Mazlan terpaksa berulang alik ke Hospital dua kali seminggu untuk pemeriksaan lanjutan. Setiap minggu anaknya yang sulung terpaksa balik ke rumah untuk menghantar ayahnya ke Hospital dan kadangkala beliau terpaksa menaiki teksi untuk ke Hospital kerana anaknya tidak mendapat cuti.

Puan Norbaini menceritakan, sewa rumah yang didiaminya sekarang sebanyak RM 250 se bulan, sudah dua tahun tidak dibayar. Alhamdulillah, hasil ihsan dan simpati tuan rumah, setakat ini beliau sekeluarga masih memiliki tempat tinggal. Akibat kesempitan kewangan, bekalan letrik di rumahnya telah dua kali dipotong kerana kegagalan menjelaskan bayaran bil. Beliau menerima bantuan dari Kebajikan Masyarakat sebanyak RM 95 sebulan, manakala bantuan dari Zakat pula hanya diperolehi sekali sahaja pada awal Februari yang lalu sebanyak RM 400. Sehingga kini, pihak Zakat masih memproses permohonan beliau untuk mendapatkan bantuan bulanan bagi menyara keluarganya.

Bersama pimpinan PAS kawasan
Sdr Lee Chean Chung (kanan sekali) bersama wakil PAS kawasan
Sdr Mazlan juga telah berhubung dengan PBTM (Persatuan Bekas Tentera Malaysia), tetapi sehingga kini beliau difahamkan permohonan bantuan dari pihak berkenaan masih diproses. Tanpa bantuan yang diperlukan, kehidupan beliau sekeluarga amat menyedihkan kerana terpaksa menanggung perbelanjaan harian di rumah, persekolahan anak-anak termasuk tambang van sekolah untuk anaknya yang seringkali tertunggak.

Isterinya, Puan Norbaini telah mengadu masalahnya kepada Pusat Khidmat Parlimen Kuantan. Justeru itu, lawatan telah dilakukan pada 21 April yang lalu diketuai oleh Pengerusi KEADILAN Pahang, Dato' Fauzi sendiri serta rombongan. Di dalam kunjungan tersebut, pihak kami telah menghulurkan sedikit sumbangan dan meminta segala bil yang tertunggak untuk kami uruskan bagi meringankan bebanan keluarga tersebut. Dua hari selepas kunjungan kali pertama, sekali lagi Dato' Fauzi dan Datin telah berkunjung ke rumah keluarga berkenaan untuk melihat keadaan dan mengenalpasti sebarang masalah yang boleh dibantu untuk keluarga bekas tentera tersebut.

Untuk makluman, pada 28 Mei ini nanti Sdr Mazlan akan menjalani satu pembedahan yang memerlukan kos lebih kurang RM 1, 350.00. Isteri beliau memberitahu semalam (22 Mei 2012), sehingga kini pihak PBTM masih belum menghubungi beliau tentang status permohonan bantuan dari PBTM yang telah dipohon termasuk bantuan kos pembedahan ini. KOBAT akan cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak PBTM selepas ini.

Sehubungan itu, KOBAT di bawah KEADILAN Pahang menyeru dan merayu kepada sesiapa yang sudi menghulurkan sedikit bantuan kewangan agar dapat disumbangkan kepada keluarga bekas tentera ini.
Kepada sesiapa yang sudi membantu sila berhubung dengan Sdr Mazlan sendiri di No Tel: 013-9154233. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi KOBAT di No Tel: 013-9410309 atau melalui Pemangku Ketua Cabang KEADILAN, Sdr Lee Chean Chung di No Tel: 012-9540498.

1 comment:

  1. Wan, sila lawat blog ini: veteran17ramd.blogspot.com
    Disana banyak panduan yang saya sediakan buat warga ini dan yang lain. PBTM tidak membantu andai ini berlaku tapi JHEAT akan membantu andai pemberhentian beliau bukan dibawah para.

    ReplyDelete